Rabu, Februari 26, 2014
JANGAN TERPEDAYA DENGAN GELAGAT ANWAR
KOTA KINABALU, 26 Feb (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Umno Sabah Datuk Seri
Dr Salleh Said Keruak menggesa pengundi agar tidak terpedaya dengan gelagat
politik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berusaha menawan
hati mereka menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang
bulan depan.
Sambil mengingatkan pengundi mengenai janji yang tidak ditepati oleh Anwar,
beliau berkata pemilih tidak harus mudah tertipu dengan propaganda yang
diuar-uar pembangkang kali ini.
Salleh berkata Anwar berjanji untuk bersara daripada politik dan menjadi
pensyarah jika pakatan pembangkang gagal menawan Putrajaya dalam pilihan raya
umum pada Mei lepas.
"Mereka gagal ke Putrajaya namun Anwar enggan bersara seperti yang
dijanjikan. Malah beliau kini mahu menjadi menteri besar Selangor, tidak
termasuk cubaannya merampas Putrajaya (pada 16 Sept 2008). Rakyat sudah muak
dengan janji tidak ditepati," katanya menerusi entri dalam blognya
www.sskeruak.blogspot.com.
Pilihan raya kecil DUN Kajang ditetapkan pada 23 Mac ini dengan penamaan
calon pada 11 Mac, selepas penyandang yang juga daripada Parti Keadilan Rakyat
(PKR) Lee Chin Cheh meletak jawatan pada 27 Jan lepas.
Salleh yang juga Speaker DUN Sabah turut menempelak DAP kerana melontar
pelbagai tohmahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi mendapat sokongan
politik.
"Selepas pilihan raya umum pada Mei 2013, DAP menuduh BN menang pilihan raya
menerusi penipuan dengan mendakwa berlaku insiden terputus bekalan elektrik
ketika proses pengiraan undi dan 40,000 rakyat Bangladesh mengundi di beberapa
kawasan," katanya.
Menurut Salleh, kempen 'Blackout 505' hanya satu sandiwara yang dibuat oleh
pembangkang termasuk DAP bagi merasionalkan kekalahan mereka dalam pilihan raya
itu.
-- BERNAMA
NAM MGN NM
Langgan:
Catatan (Atom)