OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN
(sudah disiarkan dalam Berita Harian)
Sememangnya perkataan kontroversi tidak boleh dipisahkan dari lipatan sejarah peribadi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Dan bukannya semua pemimpin yang sanggup dilabelkan sebagai seorang yang kontroversi kerana perkataan tersebut lebih banyak mengandungi elemen negatif. Apa sahaja yang dilakukan oleh Zahid Hamidi akan mendapat perhatian dan setiap laungan atau kata-kata yang dikeluarkan pasti akan mendapat respons sama ada yang positif ataupun negatif
Zahid Hamidi bukanlah setahun jagung dalam permainan ini. Kata-kata yang pernah diluahkan oleh pihak lawan akan diterjemahkan dengan cara dan nada yang lain apabila Zahid pula yang bersuara. Benarlah bagai dikata,pengalaman adalah sebaik baik guru. Dan dalam hal ini, Zahid sudah banyak makan garam dan melalui pelbagai rintangan dan dugaan, terutamanya ketika mula-mula mencipta nama semasa menjadi Ketua Pemuda UMNO pada tahun 1996 dahulu.
Sepak terajang yang dilalui dalam dunia politik telah dilalui oleh Zahid Hamidi.Beliau pernah dilabel sebagai “orang itu” dan “orang ini”. Namun hakikatnya beliau tidak pernah menumpang kejayaan dan populariti orang lain.Kejayaan Zahid Hamidi adalah disebabkan oleh usaha beliau sendiri yang telah menunjukkan sifat kepimpinan yang jitu sejak dari dahulu lagi.
Perhatikan sahaja bagaimana beliau menempa nama dalam perjuangan politiknya. Beliau telah melalui pelbagai proses, bertanding pelbagai jawatan dalam UMNO dan telah diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan.Beliau tidak pernah diberikan laluan mudah dan telah merasai jatuh bangun sebagai seorang ahli politik.
Hari ini, sekali lagi beliau berdepan dengan satu lagi fitnah, kononnya beliau telah berjumpa dengan bekas pemimpin UMNO,Tun Mahathir Muhamad dan digambarkan seperti mempunyai niat untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak. Zahid Hamidi bukanlah seorang insan yang sanggup menikam sahabat dari belakang dan jangan sekali kali kita semua mempertikaikan kesetiannya kepada Perdana Menteri kita, Najib Tun Razak.
Hubungan kerja antara Zahid Hamidi dengan Najib sudah lama terjalin iaitu sejak beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Najib semasa Najib memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Pertahanan iaitu dari tahun 1986 sehingga 1993. Itu sebabnya kesetiaan Zahid Hamidi jangan dipersoalkan.
Hari ini pihak lawan akan sentiasa memerhatikan apa yang dilakukan oleh Zahid Hamidi. Sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam dunia politik, Zahid Hamidi tahu yang segala usaha baik yang cuba dilakukan oleh dirinya dan pihak kerajaan umumnya akan dilenyapkan apabila timbulnya sesuatu yang lebih kontroversi.
Contohnya ,barangkali mungkin ada yang masih ingat baru-baru ini Zahid Hamidi telah menegaskan bahawa Pusat Sufi Sedunia akan ditubuhkan di sini sebagai pusat untuk menjalankan kajian dan menghimpunkan pandangan mengenai amalan itu, seterusnya menyebarkannya ke seluruh dunia. Zahid Hamidi menjelaskan lagi bahawa ini merupakan satu usaha yang baik untuk membantu membetulkan pandangan serong, prasangka dan prejudis terhadap agama Islam.
Namun belum sempat kita menilai secara mendalam akan usaha murni yang dilakukan ini, Zahid Hamidi terus diserang bertubi-tubi oleh pihak lawan yang nampaknya tidak memberi peluang langsung kepada Zahid Hamidi.
Ini semua adalah permainan seteru politik yang begitu cemburu melihat gandingan mantap
Najib dan Zahid Hamidi yang pastinya dapat terus memberikan kekuatan dan semangat baru kepada perjuangan UMNO dan Barisan Nasional untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
Apa yang pasti, fitnah dan serangan terhadap Zahid Hamidi serta Najib ini akan berterusan. Ini juga membuktikan bahawa kombinasi kedua pemimpin tertinggi ini begitu digeruni oleh pihak lawan hingga sanggup menabur fitnah bagi mencerobohi benteng yang kukuh dibina dan sukar untuk ditembusi ini.
Zahid Hamidi juga tahu yang setiap langkahnya akan diawasi dan setiap kata-katanya akan cuba digunakan oleh pihak lawan untuk menentangnya. Namun bagi Zahid Hamidi, ini semua adalah permainan kotor pihak lawan yang semakin ketandusan idea untuk menjatuhkan beliau sebagai seorang pemimpin.