Selasa, Februari 14, 2017

PAS KENA TEGAS DENGAN PKR



KUALA LUMPUR 12 Feb. - Pas dilihat terus menzahirkan penolakan parti itu terhadap DAP dan PAN apabila terbaharu, parti itu menegaskan ia bakal mengkaji semula hubu­ngan dengan PKR selewat-lewatnya pada muktamar tahunan yang dijangka berlangsung di Kedah pada April ini.

Abdul Hadi Awang

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut memberikan ‘isyarat’ kerjasama antara parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mungkin tidak direalisasikan berdasarkan hubungan semasa PPBM membabitkan DAP serta PAN, meskipun wujud perbincangan sebelum ini.

Bukan itu sahaja, Abdul Hadi menolak memberi komitmen di­suarakan oleh Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad ber­hu­bung tempoh sebulan yang di­berikan kepada Pas untuk mem­­buat keputusan sama ada menyertai pakatan pembangkang atau sebaliknya.


“Kita sudah ada dasar, kita tidak bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan PAN, ini keputusan kita, mudah sahaja. Tidak perlu tunggu masa, tidak perlu tunggu sebulan, apabila sudah ada hubungan dengan DAP dan PAN, habislah.

“PKR pun kita akan buat keputusan, insya-Allah selewat-lewatnya masa muktamar, kita akan lihat kerjasama dengan PKR. Begitu juga dengan kedudukan Pas di Selangor, kita tunggu dan lihat perkembangannya nanti,” kata Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Kebajikan anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas di sini hari ini.

Untuk rekod, pakatan pembangkang ketika ini didahului DAP yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak di Dewan Rak­yat, diikuti PKR, PAN dan juga PPBM.

Penjelasan Abdul­ Hadi terhadap hu­bungan dengan PKR itu memberi gambaran jelas bahawa tiada ruang untuk Pas berkompromi soal kerjasama membabitkan parti-parti pembangkang yang mempunyai hubu­ngan dengan DAP serta PAN.

Meskipun sebelum ini beliau dilihat mempertahankan kerjasama antara Pas-PKR selepas memutuskan hubungan dengan DAP selain tidak mahu mempunyai kaitan dengan PAN, namun nada Abdul Hadi kali ini berbeza.

Menyentuh sama ada masih ada ruang untuk Pas bekerjasama dengan parti-parti lain, Abdul Hadi dengan tegas memberitahu, sekiranya berkaitan dengan isu-isu tertentu khususnya syariat Islam, parti itu tidak mempunyai masalah.

“Kita terbuka dengan semua isu yang tidak menimbulkan masalah, tetapi kalau politik ada masalah kerana DAP dan penyokongnya, PAN yang menentang Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355). Tentang pelaksanaan syariat, itu kita jadikan sempadan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, berhubung perhimpunan menyokong pindaan RUU 355 yang bakal diadakan Sabtu depan di Padang Merbok dekat sini, Abdul Hadi berharap semua parti dianggotai orang Islam menyokongnya memandangkan meninggikan martabat mahkamah syariah merupakan satu kewajipan.

Ulasan saya, PAS kena tegas dengan PKR. PKR pun ada hubungan dengan DAP maka PAS kena tinggalkan PKR. Jangan bimbang PAS hilang jawatan Exco di Selangor kerana yang penting PAS tidak hilang prinsip. PKR juga menolak RUU355 maka PAS tak perlu kaji lagi hubungan dengan PKR. Buat keputusan sekarang tak perlu tunggu muktamar bulan April ini.