Khamis, Mei 19, 2016

PAS TAK PEDULI PAKATAN HARAPAN BERTANDING

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- PAS tetap akan bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak bulan depan sekiranya PKR pun turut serta, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

Beliau berkata calon PAS bagi kedua-dua kerusi itu akan diumumkan dalam masa terdekat.


"PAS dah buat keputusan bertanding, dah ada calon...akan umumkan, (calon) tempatan, insya-Allah," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Namun, Abdul Hadi berkata PAS akan tetap meneruskan kerjasama dengan kerajaan Selangor pimpinan PKR sungguhpun jika PKR meletakkan calon di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Beliau berkata Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Besar Selangor tidak pernah menemuinya untuk berunding tentang soal calon.

Presiden PAS itu berkata walaupun digesa pelbagai pihak supaya tidak bertanding, namun PAS tetap bertegas untuk bertanding di kedua-dua kawasan berkenaan.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calonnya pada 5 Jun.

-- BERNAMA