Isnin, Julai 14, 2014

HABIS MANIS SEPAH DIBUANG

Semalam Alumni Bekas Staf Kumpulan Karangkraf mengadakan majlis berbuka puasa di pejabat Karangkraf di Shah Alam. Ramai bekas staff menghadiri majlis tersebut seperti Datuk Khusairi Talib (ADUN Slim River), Mazlan Mir, Sharifah Abu Salem, Datuk Ghafar Nin.Sebut sahaja Kumpulan Karangkraf, rakyat Malaysia sudah mengenali penerbit majalah terbesar di Malaysia itu. Ia diasaskan oleh dua beradik, Datuk Hushamuddin Yaacob dan Fikry Yaacob dengan sepupunya Nasir Hamzah pada tahun 1978. Akhbar tabloid yang pertama diterbitkannya ialah Bacaria dengan Datuk kamal Amir sebagai editornya. Pada 28 November 1984, Kumpulan Karangkraf menerbitkan akhbar Watan yang dibeli dari Pustaka Antara dengan Tan Sri Khir Johari sebagai Pengerusinya. Saya menyertai akhbar Watan pada 6 April 1987 sebagai wartawan pertama yang diambil dari skim siswazah. Kami enam orang termasuk Rusmin Fadzil, Drs Kamarulzaman Zainal ditawarkan gaji RM600 dalam tempoh percubaan selama enam bulan. ketika itu editor akhbar Watan ialah Khairune Mohd Ali (kini penerbit Warta Perdana)manakala wartawannya ialah Bidin Beseri saad, Lokman Abdullah, Misrom Matleham, Datuk Khusairi talib, Azlan Ghani, Abu hassan shaari,Shamsuri Ruslan, Shamsuri Mamat, Haris Ribut. Watan diterbitkan dua kali seminggu ketika itu mendapat sambutan kerana kami tidak memihak kepada mana-mana parti. Ketika itu Umno bergolak dengan Team A dan Team B akibat perebutan jawatan presiden Umno di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Watan yang banyak memberi liputan kepada Team B. Watan diharamkan bersama The Star dan Sin Chew Jit Poh pada Oktober 1987. Maka ramai yang kena letak jawatan tetapi saya ditukarkan ke majalah SPM dan STPM sebagai editor menggantikan Ujid Darmawan yang meletakkan jawatan. Ketika ini gaji saya sudah naik RM850.Pada bulan Februari 1988 Watan dihidupkan semula dengan saya sebagai penolong editornya dengan gaji RM1200. Datuk Jamaluddin Abdul Aziz dari Bacaria ditarik ke Watan juga sebagai penolong editor dan Malungun sebagai Penasihat Editorial. Kami bekerja siang malam menaikkan jualan Watan dan akhirnya Watan diterbitkan tiga kali seminggu. Ketika itu Umno sudah berpecah dengan ku Li memipin Semangat 46. maka banyak berita Semangat 46 mendapat tempat dalam akhbar Watan.Ketika ini ramai staff baru Watan masuk termasuk Sharifah Abu salem, Imlan Adabi, Daud Ibrahim, Shahbudin Husin, Zulkofli Jamaluddin,Noraini Nordin, Makasom Halim, Rahim tahir, Roshidah Alang ishak, Rusmin fadzil, Mohd Shah Abdullah, V. Ashok, Azhar, baha Azuwan. Apabila Watan mahu membuka cawangan di sabah, saya menawarkan diri pergi ke sana sebagai Wakil Watan di Sabah dengan gaji RM2,500 mulai 1 Januari 1989 hingga 30 Jun 1991. Kami mempunyai ramai pembaca apabila menerbitkan edisi Sabah yang mana muka hadapan dan belakang serta muka tengah berlainan dengan edisi Semenanjung. Saya membawa keluarga saya ke sana dan sempat menaiki Feri Malaysia membawa tiga orang anak yang berusia 7, 5 dan 3 tahun. Di Sabah saya dapat dua anak lelaki yang dilahirkan pada tahun 1989 dan 1990. Seronok saya bekerja di Sabah kerana orang politiknya pemurah. Ketika itu Datuk Khusairi bekerja dengan Datuk zaki Gusmiah sebagai pegawai akhbar kepada Pengerusi Ko Nelayan. Khusairi bawa saya wawancara Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk hasan Alban Sandukong. Lepas wawancara, saya terkejut beliau beri wang RM200 kepada saya. Saya tak tahu rupanya orang politik Sabah memang pemurah berbanding dengan orang politik Semenanjung, jangan harap orang politik Semenanjung akan beri wang kepada wartawan selepas wawancara. Rupanya ini budaya orang Sabah di mana rakyat diajar beri wang oleh pemimpinnya. Di Sabah saya baik dengan semua pemimpin, PBS, USNO, BERJAYA, PRS, PAS maka mereka mendapat liputan yang adil dalam akhbar Watan. Yang lucunya mereka bergaduh dalam akhbar tetapi malam mereka minum semeja. Di sini saya rapat dengan Exco pemuda Usno seperti Datuk Bung Mokhtar, Datuk Johari janan, Datuk Rizalman Abdullah dan Kipli Abas. Setiap kali mereka berada di Kota Kinabalu, saya menemani mereka untuk mendapatkan berita. Datuk onn Ariffin yang juga Pengarah Perhubungan Persekutuan Usno, seringkali marah saya kerana menyiarkan berita PBS. Beliau tak faham dengan konsep Watan yang tidak menyebelahi mana-mana pihak. Kita tetap siar berita Usno walaupun Usno tak mungkin menang dalam pilihanraya lagi. Saya rapat dengan bekas pemimpin usno, Datuk karim Ghani yang mahu Umno masuk ke Sabah. Saya rapat dengan semua orang termasuk pemimpin PBS ketika itu seperti Datuk Salleh Said Keruak dan Datuk Lajim Ukin. Namun demikian Ketua Menteri sabah, Datuk Pairin Kitingan tidak menyenangi Watan apabila watan seringkali menulis PBS anti Islam. malah Tun datu Mustapha, Presiden usno marah dengan watan apabila Watan menonjolkan Umno ke Sabah. beliau tanya mana wakil akhbar Syaitan (watan). Selepas pilihanraya umum 1990, Umno masuk ke Sabah dan tun datu Mustapha terpaksa membubarkan parti usno. Selepas pilihanraya kecil usukan di mana Tun Mustapha sebagai calon BN mewakili Umno menentang calon PBS, selepas itu saya ditukarkan semula ke Kuala Lumpur sebagai penolong editor akhbar Watan. Selepas pilihanraya umum 1990, jualan Watan merosot kerana rakyat sudah tahu BN masih menang dan Semangat 46 kalah, maka orang dah bosan baca akhbar politik. Dalam masa yang sama PAS menerbitkan akhbar harakah yang lebih berani dari Watan. maka juala Watan makin merosot. saya ditukarkan ke bahagian iklan untuk mencari iklan. maka saya dapati Haji Hushamudin sudah tidak memerlukan saya lagi sedangkan saya boleh ditukar ke bahagian majalah lain. Karangkaraf ketika itu ada lebih dari 10 buah majalah. maka saya pun meletakkan jawatan pada 1992. Begitulah manusia, habis manis sepah dibuang. Masa kita diperlukan Hushamudin menjaga kita, bila Watan sudah tidak beri untung lagi kepadanya, maka kita semua disingkirkan. Itulah hakikat yang kita perlu terima yang menyebabkan saya kecil hati dengan Hushamuddin yang menyebabkan saya tidak hadiri majlis alumni Karangkaraf malam tadi. Saya akui tanpa Karangkraf saya tidak akan dikenali sebagai wartawan tetapi cara Karangkraf melayan wartawan hendaklah diperbetulkan semula supaya mereka dihargai sama ada akhabar atau majalah mereka buat untung atau tidak. Buat apa kaya raya hasil perah keringat orang lain. Lihat apa yang berlaku pada Malungun, balik dari menunaikan fardu haji, kerusi dan mejanya tidak ada lagi. Malungun yang mengerti meletakkan jawatan kerana Hushamuddin sudah tidak memerlukannya lagi.