Sabtu, September 26, 2009

NAMA ISA HARUM KALAU TIDAK TANDING


Bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menasihati supaya bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Isa Samad tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, sebaliknya memberi laluan kepada calon lain.

"Kalau saya jadi (Tan Sri) Isa, saya sendiri akan minta kepada parti supaya janganlah calonkan saya. Sebaliknya saya akan berusaha membantu mana-mana calon yang dipilih untuk berkempen.

"Dengan itu nama Isa akan jadi cukup harum, tapi di Malaysia budaya kita budaya nak semua," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Seri Kembangan, dekat sin

Mengenai tindakan akar umbi Umno Bahagian Teluk Kemang yang tetap mahu Isa bertanding, Dr Mahathir berkata, mereka tidak mengambil kira kepentingan parti secara keseluruhannya.

Beliau berkata, mereka jelas berpandangan singkat dan hanya melihat kepentingannya dan kepentingan bahagian sahaja.

"Jika parti meletakkan calon yang tidak bersih, maka keseluruhan parti akan dikutuk. Kita dah ada sebelum ini di Permatang Pasir, itu pun kotor juga, ni nak bubuh kotor lagi," katanya.

Dr Mahathir berkata, walaupun penting bagi Umno menang di Bagan Pinang, tetapi calon yang tercemar akan memalukan parti dan kerajaan BN.

SYAZNA MINATI TUNGGANG KUDA


Anak gadis Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, Syazna Leena Zulhasnan, memang minati menunggang kuda yang merupakan sukan yang mampu diamalkan oleh orang kaya sahaja.

Sebenarnya menunggang kuda adalah sunah Rasulullah. Oleh itu usaha orang kaya menceburi sukan ini merupakan usaha yang dialu-alukan oleh sunah Nabi.

Syazna bersama teman baiknya, Quzandria Nur Datuk Seri Muhamad Fathil, biasanya menunggang kuda di pusat ekuestrian milik bapa Quzandria, di 3Q Equestrian, Sungai Serai, Kuang, Selangor.

Menyentuh soal raya, kata Syazna, tahun ini merupakan tahun pertama dia akan beraya di luar negara.

Ini kerana dia bersama keluarganya telah terbang ke United Kingdom (UK) sebelum hari raya aidilfitri.

Menurut pelajar undang-undang di Universiti of Leicester, UK ini, walaupun telah tiga tahun menuntut di luar negara namun pada setiap kali raya dia akan menyambut bersama keluarga di tanah air.

Tetapi kali ini oleh disebabkan adiknya, Syara Leana akan mula menyambung pengajian peringkat pra universiti di Benenden School, UK dan dia juga akan memulakan kelas tidak lama selepas raya, maka terpaksalah mereka berhari raya di luar negara tahun ini.

“Keluarga saya akan berada di sana selama lima hari. Agar dapat juga merasai suasana raya di sana, kami bawa bekal kuih tat, serunding daging, nasi himpit, kuih baulu dan sebagainya,’’ kata Syazna yang menyukai rendang daging, pulut kuning, soto dan nasi dagang.

Tambahnya, jika beraya di Malaysia, di pagi raya, mereka sekeluarga akan menziarah pusara datuk kedua-dua belah pihak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Selepas itu, mereka akan ke rumah nenek sebelah mak di Wangsa Melawati dan sebelah ayah di Taman Tun Dr. Ismail.

Berbeza dengan kebanyakan gadis remaja sepertinya, Syazna yang menyukai rekaan Inai ini berkata, dia tidak banyak berbelanja mengenai persiapan baju raya. Ini kerana dia hanya menempah sepasang sahaja baju kurung untuk dipakai di pagi raya.

“Saya rasa hari raya paling indah semasa kecil-kecil dahulu. Sepupu-sepupu semua sebaya dengan saya dan kami akan bersama-sama bermain bunga api. Tetapi sekarang semua sudah dewasa dan masing-masing menuntut di luar negara. Kami dah jarang berjumpa dan sudah pasti suasana raya sekarang amat berbeza,’’ ujar anak sulung daripada tiga beradik ini.

Pemergian Syazna ke luar negara bermakna dia terpaksa meninggalkan kuda kesayangannya, Helu de Codard. Kuda jantan berusia 15 tahun ini akan ditinggalkan di pusat ekuestrian 3Q di Kuang.

Bercerita mengenai sukan berkuda, Syazna nampak begitu teruja sekali.

Katanya, Helu, kuda daripada Perancis ini merupakan hadiah daripada ayah selepas memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Helu telah bersama saya selama empat tahun. Sebelum Helu, saya mempunyai kuda poni bernama Big Ben, hadiah ayah selepas Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Sekarang ini Helu ditunggang oleh adik bongsu saya, Muhammad Suhail, 14 tahun,’’ tambahnya.

Syazna berkata, dia mula berjinak-jinak dengan kuda semasa berumur tujuh tahun. Ketika itu, ayahnya yang meminati sukan polo meletakkannya di atas kuda.




“Mula-mula tu takut tetapi lama kelamaan sudah biasa. Setiap hari Ahad, saya bersama ayah ke Kelab Polo di Ampang untuk berlatih menunggang.

“Semasa berumur 14 tahun saya terfikir untuk serius dengan sukan berkuda dan bukan setakat main-main. Ayah pun belikan Big Ben dan sekarang ini saya memiliki Helu pula,’’ jelasnya.

Nampaknya minat Syazna dalam sukan berkuda tidak sia-sia kerana berjaya menempa beberapa kejayaan yang mengharumkan nama negara.

Di antaranya ialah pada tahun 2007, Syazna memenangi anugerah Young Rider Terbaik Malaysia, pingat emas di Sukan Sea, Korat, Thailand, Young Rider Kategori No. 4 di KL Grand Prix 2006 dan banyak lagi.

‘‘Tahun depan, saya hendak cuba menyertai Sukan Asia dan ini bermakna saya perlukan kuda lain yang sesuai untuk sukan itu,’’ katanya yang menganggap kuda merupakan haiwan yang paling cantik dan jinak di dunia.

SENIMAN PERLU TUBUH YAYASAN BANTU ARTIS


Pelawak terkenal, Ahmad Busu yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat strok minggu lalu susah hati memikirkan cara untuk menyara keluarga dan membiayai rawatan perubatannya.


Dia yang mengalami kesukaran berdiri, terpaksa menolak pelbagai tawaran termasuk rakaman rancangan Bersamamu di Pulau Pinang pada 3 Oktober ini dan pementasan bangsawan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama tiga hari bermula 9 Oktober ini.


Ekoran penyakitnya, Ahmad yang terkenal dengan watak Mat Deris dalam siri sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu terpaksa membatalkan persetujuan menjadi pengacara sebuah majlis perkahwinan di Ipoh, Perak yang bakal berlangsung pada 8 Oktober ini.


“Memang saya rasa susah hati sebab tawaran sebegitu adalah punca pendapatan saya sekeluarga,’’ katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Seri Andalas di Kelang, semalam.


Dengan keadaannya itu, Ahmad juga tidak mampu membantu adiknya, Norgayah, 51, yang mengambil kontrak menyediakan makanan di kantin Sekolah Menengah Seri Andalas untuk menambah pendapatan mereka.


Apa yang merunsingkan, perbelanjaan rawatannya di klinik kini mencecah RM200 sehari.


Menurut Ahmad, minggu ini sahaja, dia perlu berulang-alik mendapatkan rawatan susulan termasuk penyakit kencing manis yang menjangkau hampir RM1,000 seminggu.


“Itu belum lagi kos yang diperlukan untuk rawatan terapi. Keadaan ini memakan masa yang lama untuk pulih kerana doktor mengatakan sekurang-kurangnya mengambil tempoh enam bulan.


“Saya kini tidak mampu melakukan pelbagai perkara sendirian kerana terpaksa bergantung kepada isteri dan anak-anak,” katanya.


Selain bekerja di Lembaga Pelabuhan Klang (PKA), kerjaya seni yang diceburi sejak 1978 menjadi punca pendapatan utamanya bagi menyara empat anak iaitu Nur Hamizah, 25, Mohd. Afiq, 24, Muhammad Luqman, 17 dan Nur Hanis, 6.


Menurut isterinya, Seri Mohamad, 50, mujur sejak bersara daripada Lembaga Pelabuhan Klang pada 1992, suaminya itu memperoleh pencen RM800 sebulan yang digunakan untuk perbelanjaan rumah tangga.


Selama enam hari terlantar di wad Neurosains, PPUM sejak 13 Oktober lalu, Ahmad menjalani pelbagai rawatan termasuk imbasan sinar-X dan ujian elektrokardiogram (ECG).


Dia bagaimanapun dibenarkan pulang ke rumah pada 18 September lalu.


Pelawak terkenal itu ketika ditemui turut mengadu masih lagi mengalami pening kepala dan kebas di bahagian kaki.


Pada hemat saya, persatuan artis seperti SENIMAN perlu memikirkan cara mana mahu membantu artis yang sedang sakit. SENIMAN perlu tubuhkan satu yayasan untuk membantu kebajikan artis. Dahulu ada cadangan supaya beri elaun tetap bulanan kepada artis supaya masa depan mereka lebih terjamin tetapi cadangan itu sampai sekarang belum jadi kenyataan.


Malah cadangan kementerian untuk memotong satu peratus dari peruntukan membuat program televisyen untuk membantu artis masih di peringkat cadangan lagi. Oleh itu sesuatu yang lebih konkrit perlu dilaksanakan segera untuk menjamin masa depan artis di negara kita terutamanya mereka yang sedang terlantar sakit yang tidak dapat menyanyi, berlakon dan melawak. Itulah nasib artis yang mampu menghibur orang ramai tetapi nasib mereka sendiri tidak terhibur,