Khamis, Mac 26, 2009

SAYAP UMNO KEKALKAN TRADISI


Siapa menang dan siapa kalah dalam pertandingan tiga sayap UMNO semalam sudah diketahui. Naib Ketua Wanita, Shahrizat Jalil berjaya mengalahkan ketuanya, Rafidah Aziz dengan majoriti besar 227 undi. Shahrizat memungut 507 undi dan Rafidah hanya mendapat 280 undi.


Rafidah mengakhiri karier politiknya dengan menerima kekalahan kedua dalam sejarah karier politiknya. Beliau pernah tewas di tangan Dr. Zaharah Sulaiman pada tahun 1996 tetapi berjaya menebus kekalahaannya itu empat tahun kemudian. Rafidah tertipu dengan pencalonan yang diterimanya begitu banyak.


Jika Rafidah menarik diri dari awal, maka namanya tidaklah rosak seperti hari ini yang mana akhirnya beliau tidak dihormati lagi kerana beliau adalah seorang yang kalah. Bolehkah Rafidah menerima kekalahannya itu? Mahukah Rafidah membantu calon BN berkempen di Bukit Gantang dan Bukit Selambau?


Shahrizat membuktikan bahawa seorang naib ketua dinaikkan pangkat sebagai ketua. Tradisi yang sama berlaku dalam pemuda dan puteri. keputusan semalam menunjukkan bahawa percubaan orang luar untuk menjadi ketua pemuda atau ketua puteri ditolak oleh para perwakilan. Perwakilan berpegah teguh kepada tradisi bahawa naib ketuanya perlu dinaikkan pangkat sebagai ketua.


Dalam puteri, naib ketuanya, Rosnah Shirlin Abdul Rashid dengan majoriti 6 undi. Rosnah mendapat 245 undi, manakala pencabar terdekat, Shaniza mendapat 239 undi. Pencabar ketiga, Ida Rohayu mendapat 149 undi, Bibi Sharliza mendapat 86 undi, Ismalina Ismail mendapat 59 undi dan Saarah m,endapat tiga undi sahaja.


Kemenangan Rosnah membuktikan perwakilan puteri memilih pemimpin bukan berdasarkan semangat kenegerian. Perwakilan Semenanjung boleh menerima orang Sabah seperti Rosnah sebagai ketuanya. Inilah kali pertama dalam sejarah UMNO orang Sabah pertama menjadi pemimpin utama di peringkat nasional. Dapatkah Shafie Afdal mengulangi kejayaan Rosnah hari ini?


Dalam pemuda, naib ketuanya, Khairy Jamaluddin disahkan sebagai ketua yang baru. Khairy yang mendapat 304 undi menang dengan majoriti 50 undi mengalahkan pencabar terdekat, Dr. Khir Toyo yang mendapat 254 undi. Mukhriz yang khayal dengan pencalonan tertinggi mendapat 232 undi. Sudah banyak kali diberitahu bahawa seseorang calon jangan percaya kepada pencalonan kerana perwakilan mengundi tidak membawa mandat yang dicalonkan oleh bahagian masing-masing.


Biarlah pemuda diketuai oleh muda seperti Khairy kerana Dr. Khir dan Mukhriz sudah melebihi umur 40 tahun. Orang muda yang tahu aspirasi orang muda. Oleh itu saya ingin ucapkan tahniah kepada Khairy. Semoga beliau dapat menegur UMNO induk dan membawa pemuda UMNO ke tahap yang lebih cemerlang seperti di zaman Datuk Harun Idris dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sekurang-kurangnya Khairy sudah membuktikan bahawa beliau menang ketua pemuda dengan bertanding, tidak seperti bossnya, Hishamuddin Hussein Onn yang menang tanpa bertanding. Sekurang-kurangnya sepanjang berkempen ini beliau sudah kenalpasti siapa penyokong setianya.


Pak Lah kini rasa lega dapat melepaskan jawatan Perdana Menteri dengan tenang kerana menantunya sudah diterima oleh pemuda walaupun Khairy berkata yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua kerana beliau dapat 304 undi daripada 793 perwakilan. Syabas Khairy!