Selasa, September 06, 2016

RIZAB ANTARABANGSA BANK NEGARA BERJUMLAH RM391.9 BILION

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM391.9 bilion atau bersamaan US$97.5 bilion pada 30 Ogos 2016, sama dengan jumlah rizab antarabangsa pada 15 Ogos 2016.


Dalam satu kenyataan hari ini, BNM berkata, kedudukan rizab itu cukup untuk membiayai 8.1 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar negara jangka pendek.

Komponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (US$89.7 bilion); kedudukan rizab Tabung Mata Wang Antarabangsa (US$0.8 bilion); Hak Pengeluaran Khas (SDR) (US$1.1 bilion); emas (US$1.5 bilion) dan aset rizab lain (US$4.4 bilion).

Jumlah asetnya berada pada RM412.262 bilion.

Aset bank pusat itu termasuk emas dan pertukaran asing serta rizab lain seperti SDR (RM391.922 bilion); kertas kerajaan Malaysia (RM1.643 bilion); deposit dengan institusi kewangan (RM2.685 bilion); pinjaman dan pendahuluan (RM7.558 bilion); tanah dan bangunan (RM2.113 bilion) dan aset lain (RM6.338 bilion).

Liabiliti pula merangkumi modal berbayar (RM100 juta); rizab (RM110.174 bilion); mata wang dalam edaran (RM91.058 bilion); deposit oleh institusi kewangan (RM157.265 bilion); deposit oleh kerajaan persekutuan (RM19.261 bilion); deposit lain (RM1.175 bilion); kertas Bank Negara (RM13.648 bilion); peruntukan SDR (RM7.521 bilion) serta liabiliti lain (RM12.055 bilion).

-- BERNAMA