Menurut Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, isu penyamunan seperti Tanah FELDA di Jalan Semarak, Kuala Lumpur boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara.
"Bila rakyat marah pelbagai perkara boleh berlaku yang akhirnya mengancam keselamatan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, melalui ASE mereka yang terlibat mensabotaj ekonomi negara boleh ditahan serta merta selama 30 hari tanpa mendapat perintah mahkamah.
"Penyiasatan lebih cepat dan berkesan jika yang disyaki disiasat sewaktu dalam tahanan seperti Akta ISA dahulu," katanya berbanding dengan cara sekarang yang mungkin berlaku bukti boleh dimusnahkan dan saksi pula mungkin dibeli atau disogok.
Katanya lagi, proses perbicaraan pula makan masa yang panjang dan bila mahkamah dapati yang tertuduh bersalah hukuman pula cuma dua hingga tiga tahun penjara sahaja.
"Tidak berbaloi dan munasabah. Ada yang berkata apa salah masuk penjara lima hingga 10 tahun bila keluar ada ratusan juta," ujarnya lagi.
Ibrahim yang pernah dua kali ditahan di bawah ISA menegaskan hukuman rasuah dan penyalahgunaan kuasa mesti ada hukuman mandatori rotan, semua harta dirampas dan minimum penjara 10 tahun.
Beliau mengulas skandal tanah FELDA yang perlu dijadikan ikhtibar bahawa rakyat perlu mendesak kerajaan supaya mencari satu mekanisma undang undang yang lebih berkesan mencegah rasuah seperti diwujudkan segera ASE atau apa jua kaedah yang diikirkan sesuai dan berkesan.
Beliau sedih penyalahgunaan kuasa mengenai tanah FELDA yang bernilai ratusan juta ringgit dirompak secara terancang dan cukup licik oleh mereka yang terlibat tanpa rasa malu, berdosa dan takut kepada Allah.
Katanya, individu yang terlibat menyamun mengikut saluran dan peraturan kononnya.
"Dari segi undang undang, ia nampak seolah olah ianya halal. Ini yang saya kata jenayah moral yang amat keji, terkutuk dan wajib dikutuk," tegasnya lagi.