Jumaat, Oktober 24, 2008

KHAIRY MULA KENAL SIAPA KAWAN SEJATI


Bukannya mudah mahu jumpa Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia,Khairy Jamaluddin. Walaupun beliau bukan menteri atau timbalan menteri, jadual hariannya amat padat. Saya berpeluang menemuinya di pejabatnya di Plaza Damansara, Bukit Damansara,Kuala Lumpur petang ini untuk mengadakan wawancara ekslusif dengannya untuk akhbar WATAN.

Sepanjang satu jam wawancara dengan beliau, saya dapati Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ adalah seorang yang petah bercakap. Tidak sia-sialah kalau perwakilan pemuda memilihnya sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada bulan Mac depan.

Minggu ini beliau dijangka dapat lesen yang penuh untuk bertanding Ketua Permuda untuk menentang Mukriz Mahathir yang sudah dapat pencalonan yang agak tinggi, 66 pencalonan manakala seorang lagi calon adalah Dr.Khir Toyo yang sudah mendapat 20 pencalonan lebih.

Pencalonan tidak menggambarkan pengundian. Walaupun di atas kertas Mukriz sudah jauh meninggalkan Khairy, tetapi p[ada hari pengundian keputusan mungkin berlaku di sebaliknya. Oleh itu beliau cuba menambat hati para perwakilan agar terpikat dengan visinya jika beliau menangi dalam pertandingan ini.

Beliau mahu supaya pemuda UMNO dihormati oleh semua.Oleh itu tugas KJ amat mencabar jika beliau menang kerana dalam mempertahankan kedudukannya sebagai pemimpin muda Melayu beliau juga mahu menjadi pemimpin muda Malaysia. Katanya, kita terima hakikat bahawa kita perlu berjuang untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Dalam pada itu hak orang Melayu tetap dipertahankan.

KJ yang juga ahli parlimen Rembau sentiasa dilihat sebagai tokoh muda yang kontroversi. Apatah lagi penonjolannya amat ketara di zaman bapa mertuanya,Pak Lah menjadi Perdana Menteri. Hishamuiddin tidak aktif dalam politik sewaktu bapanya, Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Mukriz tidak aktif dalam politik ketika bapanya, Dr.Mahathir menjadi Perdana Menteri.Oleh itu penonjolan Khairy di zaman Pak Lah amat dicemburui oleh semua pihak.

Menghayati visinya selama satu jam, saya dapati lulusan Oxford ini amat bijak orangnya. Cara beliau menjawab soalan amat tenang dan bersahaja sekalipun diprovokasi oleh kami. Beliau menyanjung falsafah politik bapa mertuanya walaupun dipecat dari jawatan menteri pada tahun 1987, Pak Lah tetap setia dengan UMNO. Walaupun Pak Lah kalah Naib Presiden UMNO pada tahun1993, beliau tetap setia dengan UMNO.

Katanya,”Saya menawarkan diri pemuda. Terpulanglah kepada pemuda.Jika saya menang, saya akan pastikan pemuda akan dibawa secara orang muda kerana saya adalah di bawah umur 40 an sedangkan dua calon lagi adalah berusia lebih 40an.Orang muda yang lebih memahami kehendak orang muda. Jika saya kalah saya tetap setia dengan UMNO”.

Katanya, beliau bersedia bekerja di bawah Najib Razak selaku Perdana Menteri yang baru kelak dan pemuda tidak perlu jadi pendesak sebaliknya perlu seiring sejalan dengan kepimpinan induk UMNO.

“Yang penting kita kena pastikan golongan muda terus menyokong BN pada pilihan raya umum datang,” katanya lagi.

Beliau tidak bersetuju perhimpunan agung UMNO dipercepatkan jika ia bertujuan untuk menghapuskan politik wang. “Cepat atau lambat politik wang tetap berlaku.Jadi kitakena kuatkan azam kita untuk hapuskan politik wang,” tegasnya.

Ditanya adakah pencalonan yang kurang ini adalah kerana Pak Lah umumkan berundur dari politik, KJ tidak menolak kemungkinan ini berlaku sambil menegaskan bahawa bila keadaan berubah, beliau kena terima hakikat sokongan akan berubah. Justru itu beliau mula sedar siapa kawan sejatinya kini yang sanggup bersenang dan bersusah dengannya.

SIAPA MENANG DI MARANG ESOK?


ADUN Alur Limbat, Alias Abdullah menarik diri dari bertanding jawatan ketua UMNO bahagian Marang esok. Siapa yang menang di antara penyandang, Rahman Bakar dengan ADUN Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad amat menarik untuk diketahui esok.

Nampaknya Yahya sanggup mencabar Rahman walaupun Rahman melantiknya sebagai setiausaha bahagian sejak tahun 2004. Yahya selaku Exco Kerajaan Negeri tidak mematuhi arahan Menteri Besar, Ahmad Said supaya tidak mencabar ketua bahagian. Tetapi yang peliknya kenapa Yahya tidak dipecat sebagai Exco kerana tidak mematuhi arahan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu itu.

Yahya sanggup menyanggah arahan Ahmad Said. Oleh itu jika Yahya menang atau kalah dalam pertandingan ini esok, Ahmad perlu gugurkannya dari jawatan Exco sebagai satu pengajaran kepada beliau yang tidak mematuhi arahan Pengerusi Perhubungan.

Dapatkah Rahman mengekalkan jawatannya kali ini? Pada tahun 2004, beliau mengalahkan bekas ADUN Bukit Payong, Dr. Latif Awang. Beliau menang dalam pilihan raya pada tahun tersebut dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia tetapi beliau digugurkan oleh Idris Jusoh sebagai calon pada pilihan raya umum Mac lalu.

Tetapi beliau dilantik sebagai Senator baru-baru ini dan ia memberi nyawa baru kepada Rahman untuk kekal sebagai ketua bahagian Marang. Beliau juga dikatakan telah dilantik sebagai Pengerusi baru Golden Pharaos Berhad, GLC milik kerajaan negeri Terengganu. Terpulanglah kepada para perwakilan untuk menentukan nasib Rahman Bakar esok.

HUKUM PEMBERI DAN PENERIMA POLITIK WANG


Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail mengakui bahawa kempen pemilihan UMNO yang panjang selama lima bulan boleh mengundang lebih banyak kes politik wang.

Oleh itu kenyataan Pak Lah bahawa perhimpunan agung UMNO tetap diadakan Mac depan perlu dikaji semula oleh Pak Lah. Kita bukannya mendesak Pak Lah melepaskan jawatan Perdana Menteri Disember ini, kita cuma mahu supaya pemilihan parti dipercepatkan sahaja supaya politik wang tidak semakin parah.

Kata Pak Lah majlis tertinggi telah memutuskan penangguhan itu kepada bulan Mac. Jadi soal tukar tarikh tidak berbangkit. Namun demikian jika majorityiahli majlis tertinggi yang bersidang pada 30 Oktober ini bersetuju supaya ia dipercepatkan, Pak Lah tidak dapat menghalang kehendak majoriti ahli majlis tertinggi.

Politik wang semakin kritikal walaupun Dr. Ahmad Zahid berkata tidak adil jika semua ahli UMNO dituduh mengamalkan politik wang. Katanya, jangan buat tuduhan sewenang-wenangnya walaupun beliau akui terdapat segelintir kecil ahli yang mengamalkan politik wang.

Seperti kata Ku Din, lebih ramai yang bertanding lagi seronok para perwakilan kerana semua calon dapat dipaunya. Malah ada yang pulang menaikki kereta kancil selepas selesai pemilihan, kata Ku Din lagi.

Nampaknya politik wang sudah menjadi satu barah dalam UMNO. Jika tidak dibenteras, makin hancurlah UMNO. Justru itu majlis tertinggi UMNO perlu serius dalam soal ini. Cara terbaik cepatkan perhimpunan agung UMNO. Itu sahaja.

Kadangkala calon tidak boleh disalahkan. Ada calon yang tak suka main politik wang tetapi perwakilan yang minta. Jadi mereka terpaksa tunduk kepada kehendak perwakilan. Jika perwakilan tak minta, calon tak beri. Justru itu kedua-dua pihak perlu dihukum kepada yang menerima dan yang memberi.

Adalah tidak adil yang minta duit tidak dihukum sedangkan calon yang kena hokum. Calon hanya fikirkan mahu dapat undi. Jadi kalau tak beri, dia bimbang undinya tidak diberi, Jadi calon yang mahu tidak mahu terpaksa menghulur wang kepada perwakilan.

ALI TAK PERLU LETAK JAWATAN ADUN JIKA TANDING PARLIMEN


Memanglah kita nak pilih Timbalan Perdana Menteri (TPM) tetapi tidak semestinya perwakilan mesti calonkan Muhyiddin Yassin untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Jawatan tersebut secara automatik menaikkan pangkat calon yang menang sebagai TPM. Kebetulan Muhyiddin adalah ahli parlimen manakala dua calon lagi bukan ahli parlimen iaitu Muhammad Muhd. Taib seorang senator dan Ali Rustam seorang ADUN.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz berkata menyusahkan rakyat jika Ali atau Muhammad menang kerana perlu diadakan pilihan raya kecil untuk melantik salah seorang dari mereka sebagai TPM. Jika Muhyiddin menang, terus Muhyiddin boleh dilantik TPM tanpa perlu membuang masa dan wang mengadakan pilihan raya kecil.

Nazri minta supaya bahagian jangan mencalonkan calon berkenaan berasaskan sentiment kenegerian. Maknanya bahagian di Selangor jangan calonkan Muhammad dan bahagian di Melaka jangan calonkan Ali untuk jawatan tersebut kerana kata Nazri, ia menyulitkan keadaan.

Sepatutnya isu ini tidak perlu ditimbulkan kerana Muhammad selaku bekas naib presiden (1993-2004) berhak bertanding. Begitu juga Ali Rustam yang baru menang naib presiden pada tahun 2004 juga berhak bertanding. Kenapa Nazri perlu sekat hak mereka untuk bertanding?

Soal pilihan raya kecil terpaksa diadakan tidak perlu dijadikan isu. Jika Ali menang, Ali tidak perlu kosongkan kerusi DUN. Beliau boleh tanding kerusi parlimen tanpa mengosongkan kerusi DUN. Begitu juga kes Abu Hassan Omar. Dr. Mahathir pilih beliau sebagai MB Selangor pada tahun 1997 sedangkan beliau boleh pilih mana-mana ADUN untuk dilantik sebagai MB. Abu Hassan kekal sebagai ADUN walaupun beliau dipilih bertanding dalam pilihan raya kecil Kuala Selangor.

Oleh itu kata Nazri bahawa penyandang yang mengosongkan kerusi itu juga akan diharamkan bertanding selama lima tahun tidak timbul kerana Ali tak perlu letak jawatan sebagai ADUN. Soal Ali jadi ADUN dan ahli parlimen sekali gus pun tidak perlu dijadikan isu kerana Dr. Awang Adek Hussein dan Mustapha Mohamad pernah bertanding di Kelantan bagi kedua-dua kerusi DUN dan parlimen.

Nazri kata sebagai menteri yang senior beliau hanya layak tanding jawatan timbalan presiden tetapi kalau sudah ada orang yang lebih layak, eloklah beliau menyokong mereka. Sebab itu beliau tidak bertanding jawatan ahli majlis tertinggi atau naib presiden pada tahun ini.

Sebagai bekas naib ketua pemuda, beliau patut tanding ketua pemuda pada tahun 1996 tetapi memberi laluan kepada Dr. Ahmad Zahid Hamidi menentang Isa Samad, Rahim Thamby Chik dan Annuar Musa. Pada tahun 2004 beliau tidak tanding ahli majlis tertinggi tetapi Pak Lah melantiknya menyertai majlis tertinggi. Dapatkah beliau dilantik lagi sebagai ahli majlis tertinggi oleh Najib? Hanya Najib yang tahu jawapannya.

MENTERI UMNO JUGA TERBABIT DENGAN ROMBAKAN KABINET?


Pak Lah tidak menolak kemungkinan kabinet dirombak memandangkan berlakunya perubahan besar dalam kepimpinan MCA. Abang bekas Presiden MCA, Ong Ka Ting iaitu Ong Ka Chuan kalah dalam pertandingan Timbalan Presiden parti itu kepada pemimpin skandal seks, Dr. Chua Soi Lek.

Oleh itu tidak manislah bagi Pak Lah mengekalkan Ong Ka Chuan sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan. Terpulanglah kepada Presiden baru, Ong Tee Keat untuk mencadangkan nama calon bagi mengisi kuota menteri dari MCA.

Walaupun prestasi MCA begitu teruk dalam pilihan raya umum lalu tetapi Pak Lah mengekalkan kuota empat menteri untuk MCA iaitu Menteri Pengangkutan (Ong Tee Keat), Menteri Kesihatan (Liow Tiong Lai), Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Dr. Ng Yen Yen) dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (Ong Ka Chuan).

Berdasarkan barisan Naib Presiden MCA yang baru, kemungkinan Timbalan Menteri Kewangan, Kong Cho Ha yang akan mengisi tempat Ong Ka Chuan. Kong menang tempat pertama sebagai naib presiden mengatasi undi Liow Tiong Lai, Dr. Ng Yen Yen dan Tan Kok Hong (Timbalan Pengerusi Perhubungan MCA Johor).

Kuasa melantik menteri adalah kuasa Pak Lah. Mungkinkah Pak Lah menggugurkan juga beberapa orang menteri UMNO yang lantang mengkritik Pak Lah? Jika Pak Lah berbuat demikian, Pak Lah ada hak kerana ia adalah budi bicara Perdana Menteri. Bagaimana nasib Muhyiddin Yassin dan Dr. Rais Yatim? Terpulanglah kepada Pak Lah untuk membuat keputusan.