Jumaat, Oktober 24, 2008

MENTERI UMNO JUGA TERBABIT DENGAN ROMBAKAN KABINET?


Pak Lah tidak menolak kemungkinan kabinet dirombak memandangkan berlakunya perubahan besar dalam kepimpinan MCA. Abang bekas Presiden MCA, Ong Ka Ting iaitu Ong Ka Chuan kalah dalam pertandingan Timbalan Presiden parti itu kepada pemimpin skandal seks, Dr. Chua Soi Lek.

Oleh itu tidak manislah bagi Pak Lah mengekalkan Ong Ka Chuan sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan. Terpulanglah kepada Presiden baru, Ong Tee Keat untuk mencadangkan nama calon bagi mengisi kuota menteri dari MCA.

Walaupun prestasi MCA begitu teruk dalam pilihan raya umum lalu tetapi Pak Lah mengekalkan kuota empat menteri untuk MCA iaitu Menteri Pengangkutan (Ong Tee Keat), Menteri Kesihatan (Liow Tiong Lai), Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Dr. Ng Yen Yen) dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (Ong Ka Chuan).

Berdasarkan barisan Naib Presiden MCA yang baru, kemungkinan Timbalan Menteri Kewangan, Kong Cho Ha yang akan mengisi tempat Ong Ka Chuan. Kong menang tempat pertama sebagai naib presiden mengatasi undi Liow Tiong Lai, Dr. Ng Yen Yen dan Tan Kok Hong (Timbalan Pengerusi Perhubungan MCA Johor).

Kuasa melantik menteri adalah kuasa Pak Lah. Mungkinkah Pak Lah menggugurkan juga beberapa orang menteri UMNO yang lantang mengkritik Pak Lah? Jika Pak Lah berbuat demikian, Pak Lah ada hak kerana ia adalah budi bicara Perdana Menteri. Bagaimana nasib Muhyiddin Yassin dan Dr. Rais Yatim? Terpulanglah kepada Pak Lah untuk membuat keputusan.