KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Mengimbau pertemuan rasmi di sebuah restoran makan Jepun di ibu kota 15 tahun dahulu, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz masih lagi berasa teruja apabila berbicara mengenai detik perkenalannya dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tidak dapat dilupakan pada saat itu, debaran Tengku Zafrul ketika berusaha menyembunyikan perasaan gementar kerana perlu berurusan dengan kerabat diraja dan lebih-lebih lagi pada waktu itu Sultan Abdullah merupakan Tengku Mahkota Pahang yang amat disegani rakyat.
Perasaan gementar itu bagaimanapun hilang dengan keramahan Sultan Abdullah, sekali gus mewujudkan suasana mesra dan ceria.
Sikap peramah dan suka berjenaka yang dipamerkan Sultan Abdullah membuatkan Tengku Zafrul, yang ketika itu merupakan pengarah di sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, serta mereka yang berada dalam mesyuarat makan tengah hari itu berasa tenang, hanya dalam masa yang singkat.
“Sejak pertemuan itu, kami terus berhubung dan mula berkawan. Mungkin disebabkan berkongsi hobi dan minat yang sama terutama dalam arena sukan, kami menjadi akrab sehingga ke hari ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB kepada Bernama dalam temu bual bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini.
Tengku Zafrul, 46, merupakan antara kenalan rapat dan rakan karib Sultan Abdullah, yang sering meluangkan masa bersama dalam pelbagai aktiviti khususnya bersukan selain aktiviti rasmi dan tidak rasmi seperti melakukan program tanggungjawab sosial korporat.
Katanya Sultan Abdullah amat menitikberatkan masa berkualiti untuk diluangkan bersama rakan-rakan. Antara aktiviti yang menjadi keutamaan adalah beraksi bersama di padang bola sepak mahupun polo, atau terkini Seri Paduka gemar mengeluarkan peluh di gelanggang skuasy.
Demi minat yang mendalam dalam bidang sukan, Tengku Zafrul berkata mereka pernah mengembara bersama untuk menyaksikan pelbagai perlawanan sukan terutamanya bola sepak, di luar negara.
“Tahun lepas kami bersama-sama menyaksikan pertarungan akhir Piala Dunia FIFA antara Perancis dan Croatia di Stadium Luzhniki Moscow,” katanya.
Berbicara tentang sukan bola sepak dan pasukan pilihan masing-masing, Tengku Zafrul secara berjenaka menggambarkan hubungannya dengan Seri Paduka bagaikan ‘musuh’ kerana dalam sukan bola sepak Liga Perdana Inggeris, Sultan Abdullah merupakan peminat setia pasukan Arsenal manakala beliau meminati pasukan Liverpool.
Menyentuh mengenai kesibukan menggalas tanggungjawab Sultan Abdullah sebagai ketua negara, Tengku Zafrul berkata Seri Paduka tidak sama sekali membataskan hubungan persahabatan di antara mereka dan bersama rakan-rakan yang lain.
Biarpun sibuk dengan acara rasmi negara, Seri Paduka tetap akan mencuri masa untuk diluangkan bersama rakan seperti dahulu, dengan mengadakan pertemuan sekurang-kurangnya tiga kali dalam sebulan.
“Kami fikir pelantikan (sebagai Yang di-Pertuan Agong) ini akan membataskan aktiviti kami yang kerap berjumpa, namun setelah ditabalkan walaupun baginda sibuk dengan tugas rasmi negara, tetapi masih mencuri masa untuk bersama-sama dengan kami.
“Sebenarnya dari segi berjumpa rakan-rakan, baginda masih sama seperti sebelum jadi Agong, ini menampakkan personaliti Tuanku yang tidak lupa rakan-rakan,” katanya.
Menyentuh sikap prihatin yang cukup sinonim dengan Sultan Abdullah, Tengku Zafrul berkata setiap kali berjumpa rakan, Seri Paduka pasti akan bertanyakan khabar dan perkembangan ahli keluarga rakannya, biarpun ada ketika tidak pernah bersua muka dengan mereka.
“Tuanku juga tidak pernah lokek dengan nasihat dan sering mengutarakan idea yang bernas, ketika berbicara bersama rakan selain sering bertanyakan mengenai isu semasa yang dihadapi rakyat.
“Sikap terbuka baginda membuatkan rakan-rakan bebas bercerita mengenai segala hal dan meminta pandangan baginda sebelum membuat keputusan,” kata Tengku Zafrul mengakhiri perbualan.
-- BERNAMA
Isnin, Julai 22, 2019
AZMIN SEDIA LAWAN ANWAR YANG PERNAH DIKENALINYA
SHAH ALAM: Tanpa menyebut sebarang nama, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata kesetiannya ada batasan dan sedia untuk berdepan dengan pihak "yang pernah dikenalinya".
Ucapan itu disampaikan ketika Majlis Doa Kesyukuran untuk Mohamed Azmin Ali, di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam, malam ini.
"Saya berjanji apa pun serangan yang dilemparkan saya tetap akan bangkit melawan. Biarkan saya sebatang kara.
"Biarkan saya berlawan dengan manusia yang pernah saya kenali sebelum ini. Kesetiaan kita ada batasnya," katanya kepada lebih seribu hadirin yang menyertai program itu.
Antara pemimpin PKR yang hadir ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari; Adun Gombak Setia Hilman Idham; Exco Pulau Pinang, Afif Bahardin; Naib Presiden PKR Tian Chua, Exco Selangor Elizabeth Wong, Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Timbalan Speaker Rashid Hasnon dan Khalid Jaafar.
Selain itu Setiausaha Politik Perdana Menteri Abu Bakar Yahya dan Khairuddin Abu Hassan, yang dilihat sebagai penyokong setia Mahathir, turut hadir.
Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata beliau sedia menerima ujian yang menurutnya bukan baru buat dirinya - sejak 1998 - walaupun berharap perkara sama tidak lagi berulang.
"(Tetapi) kerana nafsu serakah dan kerakusan manusia sanggup membunuh karier politik seseorang.
"Saya tak akan berganjak, walapun saya dihina dan diaibkan seberapa lama, dengan doa dan sokongan rakyat Malaysia saya akan berdiri tegak," katanya.
"Dosa saya hanya satu, saya ini bukanlah boleh dicucuk hidung, bukan boleh diheret begitu saja," katanya lagi.
Pada masa sama beliau menyuarakan rasa syukurnya apabila Ketua Polis Negara Abdul hamid Bador mengesahkan pelaku dalam video seks itu bukanlah dirinya.
“Malahan ketua polis negara sendiri sahkan ada tangan ghaib yang nilainya ratusan ribu untuk menjatuhkan saya," katanya sambil berkata beliau tahu dalang di sebalik perkara itu.
“Saya tak terkejut sebab saya tahu siapa dalang dibelakang semua ini, nak tahu tak? Saya tak boleh dedahkan...biarlah siasatan (polis) lengkap dulu.
"Tetapi sejak hari pertama (video tersebar) saya sudah menjangkakan bahawa ada unsur-unsur dalaman (parti),”katanya lagi.
Bagaimanapun ketika ditemui pemberita kemudian, Azmin bernada lebih diplomatik apabila berkata kepada media agar tidak melaga-lagakan (provoke) antaranya dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anwar di pemukiman PKR di Port Dickson hari ini bahawa mereka berdua dalam "satu pasukan".
Bulan lalu, beberapa klip video seks diedarkan kepada ahli politik dan wartawan.
Tidak lama kemudian, bekas ketua pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya dalam video itu dan mendakwa seorang lagi individu itu ialah Azmin.
Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Setakat ini polis telah menahan beberapa individu, termasuk Haziq dan setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, untuk membantu siasatan kes itu.
Anwar sebelum ini berkata siasatan patut juga bertumpu kepada ketulenan video itu selain penyebarannya.
Abdul Hamid berkata analisis oleh Cybersecurity Malaysia mendapati video itu sebagai tulen tetapi proses pengecaman wajah adalah "negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan".
Anwar semalam berkata mengalu-alukan keputusan analisis itu dan Azmin kemudian menerusi Twitter berkata beliau mengambil maklum kenyataan itu.
Langgan:
Catatan (Atom)