Memaparkan catatan dengan label anwar ibrahim. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label anwar ibrahim. Papar semua catatan

Selasa, Julai 23, 2019

ANWAR SANGGUP MASUK PENJARA BUAT KALI KETIGA DEMI PERJUANGKAN NASIB RAKYAT

oleh ABDULLAH KARIM





KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menoleh ke belakang. Biarpun ranjau dan duri menanti di depan beliau sama sekali tidak akan berundur demi mempertahankan prinsip perjuangan.




Salah seorang 'orang kuat' Ahli Parlimen Port Dickson itu memberitahu beliau bahawa perjuangannya iaitu mahu membela nasib rakyat adalah keutamaannya bukan pangkat dan darjat sepertima anggapan sesetengah pihak terhadap Anwar.




"Ketika saya tanya Anwar sekarang ini semua senjata menghala kepadanya. Andai kata salah satu peluru mampu membunuh karier politiknya tidakkah beliau bimbang.




"Apa dia cakap. Politik ini bukan untuk mengejar jawatan ataupun pangkat. Sebaliknya membela nasib rakyat adalah keutamaannya.




"Kata Anwar lagi beliau sanggup masuk penjara untuk kali ketiga demi memperjuangkan nasib rakyat.




"Beliau menyerahkan kepada takdir mengenai masa depan politiknya dan pada masa yang sama beliau memohon orang ramai mendoakan agar segala perkara yang berlaku pada masa ini dapat diselesaikan dengan cara baik"




Pengikut setia Anwar yang enggan namanya disiarkan memberitahu perkara ini ketika ditanya perkembangan semasa Anwar selepas partinya iaitu PKR terpalit krisis antara beliau dengan timbalannya Datuk Sei Azmin Ali.




Beliau yang amat rapat dengan keluarga Anwar dan setiap minggu berkumpul di rumah Presiden PKR di Segambut itu memberitahu bahawa perjanjian dua tahun Anwar akan menjadi Perdans Menteri memang ada kebenarannya.




"Masa perjanjian tersebut dibuat Anwar masih lagi dalam penjara. Tetapi keempat-empat presidem parti iaitu Bersatu, PKR, Amanah dan DAP telah bersetuju selepas Tun ialah Anwar," kata pemimpin PKR Segambut ini.




Kata pemimpin berusia 67 tahun ini oleh kerana itu satu perjanjian yang juga dipersetujui oleh Tun Mahathir adalah baik orang ramai serta pemimpin parti di semua peringkat tidak bercakap lagi mengenai perkara ini.




Sebaiknya diserahkan sahaja kepada Tun Mahathir yang turut mempersetujui bahawa beliau adalah Perdana Menteri selama dua tahun sahaja dan selepas itu akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.




"Tun yang kita kenali tidak pernah mungkir janji. Jadi kita tunggu sahajalah Mei tahun depan," katanya.

Isnin, Julai 22, 2019

AZMIN SEDIA LAWAN ANWAR YANG PERNAH DIKENALINYA





    SHAH ALAM: Tanpa menyebut sebarang nama, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata kesetiannya ada batasan dan sedia untuk berdepan dengan pihak "yang pernah dikenalinya".

    Ucapan itu disampaikan ketika Majlis Doa Kesyukuran untuk Mohamed Azmin Ali, di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam, malam ini.

    "Saya berjanji apa pun serangan yang dilemparkan saya tetap akan bangkit melawan. Biarkan saya sebatang kara.

    "Biarkan saya berlawan dengan manusia yang pernah saya kenali sebelum ini. Kesetiaan kita ada batasnya," katanya kepada lebih seribu hadirin yang menyertai program itu.


    Antara pemimpin PKR yang hadir ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari; Adun Gombak Setia Hilman Idham; Exco Pulau Pinang, Afif Bahardin; Naib Presiden PKR Tian Chua, Exco Selangor Elizabeth Wong, Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Timbalan Speaker Rashid Hasnon dan Khalid Jaafar.

    Selain itu Setiausaha Politik Perdana Menteri Abu Bakar Yahya dan Khairuddin Abu Hassan, yang dilihat sebagai penyokong setia Mahathir, turut hadir.


    Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata beliau sedia menerima ujian yang menurutnya bukan baru buat dirinya - sejak 1998 - walaupun berharap perkara sama tidak lagi berulang.

    "(Tetapi) kerana nafsu serakah dan kerakusan manusia sanggup membunuh karier politik seseorang.

    "Saya tak akan berganjak, walapun saya dihina dan diaibkan seberapa lama, dengan doa dan sokongan rakyat Malaysia saya akan berdiri tegak," katanya.

    "Dosa saya hanya satu, saya ini bukanlah boleh dicucuk hidung, bukan boleh diheret begitu saja," katanya lagi.

    Pada masa sama beliau menyuarakan rasa syukurnya apabila Ketua Polis Negara Abdul hamid Bador mengesahkan pelaku dalam video seks itu bukanlah dirinya.

    “Malahan ketua polis negara sendiri sahkan ada tangan ghaib yang nilainya ratusan ribu untuk menjatuhkan saya," katanya sambil berkata beliau tahu dalang di sebalik perkara itu.

    “Saya tak terkejut sebab saya tahu siapa dalang dibelakang semua ini, nak tahu tak? Saya tak boleh dedahkan...biarlah siasatan (polis) lengkap dulu.

    "Tetapi sejak hari pertama (video tersebar) saya sudah menjangkakan bahawa ada unsur-unsur dalaman (parti),”katanya lagi.

    Bagaimanapun ketika ditemui pemberita kemudian, Azmin bernada lebih diplomatik apabila berkata kepada media agar tidak melaga-lagakan (provoke) antaranya dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.



    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anwar di pemukiman PKR di Port Dickson hari ini bahawa mereka berdua dalam "satu pasukan".

    Bulan lalu, beberapa klip video seks diedarkan kepada ahli politik dan wartawan.

    Tidak lama kemudian, bekas ketua pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya dalam video itu dan mendakwa seorang lagi individu itu ialah Azmin.

    Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

    Setakat ini polis telah menahan beberapa individu, termasuk Haziq dan setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, untuk membantu siasatan kes itu.

    Anwar sebelum ini berkata siasatan patut juga bertumpu kepada ketulenan video itu selain penyebarannya.

    Abdul Hamid berkata analisis oleh Cybersecurity Malaysia mendapati video itu sebagai tulen tetapi proses pengecaman wajah adalah "negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan".

    Anwar semalam berkata mengalu-alukan keputusan analisis itu dan Azmin kemudian menerusi Twitter berkata beliau mengambil maklum kenyataan itu.

    Jumaat, Julai 19, 2019

    PEMIMPIN PKR PUN TAK MAHU ANWAR JADI PM



    KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah pergeseran dalaman PKR yang dilihat semakin memuncak, seorang penasihat Mohamed Azmin Ali dengan tidak berselindung menggesa Anwar Ibrahim agar bersara daripada politik.

    Khalid Jaafar menggunakan permainan dam ular sebagai contoh.

    "Anwar hanya tinggal dua mata untuk sampai ke garisan penamat. Malangnya di mata terakhir sebelum di garis penamat, dia ditelan ular.

    "Maka jatuhlah semula ke garisan permulaan. Umur sudah lanjut, perjalanan kembali jauh.

    "Seeloknya Anwar Ibrahim bersara sajalah daripada politik," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

    Untuk rekod, Khalid pernah menjadi setiausaha akhbar kepada Anwar ketika presiden PKR itu masih dalam kerajaan.

    Beliau yang juga pernah menjadi ketua pegawai Strategi dan Penyelidikan Pejabat Menteri Besar Selangor ketika Azmin mengetuai pentadbiran negeri itu, turut membangkitkan kata pepatah bahasa Inggeris: "Mereka yang tinggal dalam rumah kaca jangan melempar batu pada orang lain".

    "Begitulah kata orang bijak bestari. Anwar seperti lupa kata-kata ini. Apatah lagi budak-budaknya, mereka mungkin tidak pernah mendengarnya," katanya lagi.

    Khalid juga membandingkan keadaan politik semasa dengan permainan daun terup, dan berkata Anwar dan "budak-budaknya" seperti menjadikan politik sebagai satu perjudian.

    "‘Up the ante’ adalah istilah permainan poker. Inilah yang dilakukan (ketua penerangan PKR) Shamsul Iskandar bila dia ‘menasihati’ Azmin Ali untuk bercuti."

    Beliau merujuk kenyataan Shamsul - yang juga timbalan menteri industri utama - Selasa lalu yang menggesa pemimpin politik yang dikaitkan dengan salah laku agar bercuti sementara menunggu siasatan polis.

    Meskipun tidak menyebut secara langsung, kenyataaan Shamsul itu dipercayai merujuk kepada Azmin yang dikaitkan dengan video seks sejenis bersama bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

    Dengan mengulangi saranan Shamsul, Khalid berkata Anwar, yang disifatkannya sebagai ketagih kerusi perdana menteri', membuat langkah silap dalam politik.

    "Bola tanggung buat Azmin Ali. Menjawab dengan tenang soalan wartawan, Azmin berkata : 'Baca bibir saya. Bagitahu dia, dia mesti tengok siapa lelaki dalam cermin itu'. Maka terburailah kembali kisah video china doll yang sudah hampir dilupakan.

    "Ketua polis negara ketika itu mengatakan hasil siasatan forensik video tersebut adalah tulen. Apakah Anwar masuk perangkap Shamsul Iskandar? Adakah Anwar perlu melepaskan jawatan presiden PKR?" soalnya lagi.

    Beliau merujuk klip video pada 2011 yang mengaitkan Anwar dalam satu adegan seks dengan seorang perempuan, yang dipercayai sebagai seorang pekerja seks.

    Anwar menafikan dirinya dalam video itu dan menyifatkannya sebagai palsu.

    Khalid juga mendakwa Anwar bersikap tidak sabar dan bimbang ada orang lain "yang memintasnya" untuk menjadi perdana menteri selepas Dr Mahathir Mohamad.

    "Dia pun melempar orang (Azmin) yang dia sangka saingannya dengan batu. Dia tidak sedar dia tinggal dalam rumah kaca."

    Dalam sidang media di Parlimen hari ini, Anwar menafikan dakwaan bahawa seruannya agar Azmin meletakkan jawatan jika terbukti beliau sebagai pelaku dalam video itu, berkaitan dengan perebutan jawatan perdana menteri.

    Hari ini Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan ketulenan video itu tetapi tidak mengesahkan identiti pelakunya.

    Azmin sebelum ini menyifatkan penyebaran klip video itu sebagai komplot untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

    Ahad, Februari 24, 2019

    KEHADIRAN "BOSSKU" TAK ADA KESAN DI SEMENYIH



    HULU LANGAT 23 Feb. - Kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Semenyih bagi berkempen pilihan raya kecil sama sekali tidak mengganggu Pakatan Harapan (PH).

    Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana rakyat tahu apa yang terjadi berhubung bekas pemimpin negara yang popular dengan panggilan ‘bossku’ berkenaan.

    Katanya yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, apa yang dilakukan Najib, bukan perkara kecil.

    “Saya tak mahu sentuh soal peribadi. Tapi soal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), satu dunia tahu. Saya di New York, Toronto jumpa pelabur, jumpa umat Islam, semua bangkitkan. Terkejut mereka tentang penyalahgunaan kuasa, rompakan yang berlaku.

    “Tapi saya faham dalam kalangan rakyat, ada yang letakkan harapan terlalu tinggi dan dia (rakyat) rasa dengan kadar masalah harga barang, harga minyak ini, dia (rakyat) rasa kita belum dapatkan tunaikan sepenuhnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu menghadiri majlis sambutan Capgome di Kampung Baru, Semenyih di sini malam ini.

    Yang turut hadir pada majlis itu ialah calon PH, Muhammad Aiman Zainali dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar


    Sabtu, Disember 22, 2018

    TUJUH PEMIMPIN PKR HALANG ANWAR JADI PM KE LAPAN?

    oleh ABDULLAH KARIM

    KUALA LUMPUR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berdepan zon 'kritikal' untuk menjawat jawatan Perdana Menteri ke-8.

    Ini adalah kerana beberapa pemimpin parti sama ada di dalam PKR mahupun BERSATU kedua mereka berusaha keras menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.

    Menurut sumber dalaman PKR, tidak kurang enam ataupun tujuh pemimpin parti berkenaan sedang berusaha dengan pelbagai cara menghalang Ahli Parlimen Port Dickson itu mengetuai kerajaan.

    "Bukan sahaja orang PKR yang tidak mahukan DSAI jadi Perdana Menteri malahan orang (pemimpin) BERSATU juga sama," katanya.

    Pemimpin yang enggan namanya disiarkan berkata beliau amat mengetahui perkara ini dan sedang memerhati pergerakan mereka sebelum buat keputusan untuk menasihati Anwar supaya lakukan sesuatu.

    Oleh kerana itu beliau dan rakan-rakannya sedang berusaha sedaya mungkin supaya Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan itu kepada Anwar sepertimana dijanjikan iaitu dua tahun sahaja jadi Perdana Menteri.

    Beliau menegaskan sekiranya Mahathir memungkiri janjinya sepertimana selalu beliau lafazkan dalam setiap majlis, yang rugi nanti bukan Mahathir ataupun Anwar, sebaliknya orang-orang Melayulah yang akan kerugiaan.

    "Sebab apa saya kata begitu sebab politik orang kita ini tidak pernah habis.

    "Percakaran sesama anggota parti akan berterusan sebab masing-masing tak puas hati apabila calon mereka tak dapat jadi pemimpin.

    "Akhirnya nanti pemimpin yang tak dapat jawatan ini akan terus berpolitik demi mencatur masa depan tanpa memperduli nasib masa depan rakyat," katanya.

    Beliau bagaimanapun optimis bahawa Dr Mahathir akan mengotakan janji yang dibuatnya dulu apabila tiba masanya nanti.

    "Di sini saya ingin merayu kepada semua pihak terutama sekali orang PKR supaya tidak membuat andaian yang bukan-bukan mengenai peralihan kuasa ini.

    "Sebaliknya kita semua harus bersabar dan pada masa sama membuat pelbagai rancangan ataupun program yang boleh disertai oleh Mahathir dan Anwar," katanya.

    Beliau yakin sekiranya program itu nanti boleh "menyedarkan" Tun M sehinggakan beliau terbuka hati menyerahkan jawatan kepada Anwar, itu lebih baik daripada berkata perkara yang belum tentu kebenarannya.

    "Saya bagi contoh tayangan video yang memaparkan kisah anak-anak muda yang tidak dapat sesuatu akibat pergolakan dalam parti, antara cara yang boleh difikirkan sekiranya kita semua mahukan peralihan kuasa akan berjalan secara teratur," katanya.

    Beliau percaya sedikit sebanyak Dr. Mahathir yang hadir dalam majlis itu nanti akan terfikir bahawa belia yang selama ini dipanggil pewaris negara akan ketinggalan dalam pelbagai perkara disebabkan perebutan kuasa.

    Ahad, Oktober 14, 2018

    PENGUNDI PORT DICKSON SUDAH PILIH ANWAR, MAKA ANWAR KENA BALIK PD DUA MINGGU SEKALI

    PORT DICKSON:  Bakal Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan tidak akan sesekali mengkhianati amanah yang diberikan.

    Ketua Umum PKR itu berkata, kemenangan diperoleh membuktikan majoriti pengundi memilihnya sebagai wakil rakyat mereka.

    “Saya terharu kerana kemenangan di luar jangkaan ini, dukungan rakyat begitu kuat dan padu daripada pengundi Port Dickson.

    “Saya ingin beritahu kepada semua terutama pengundi Port Dickson dan rakan di seluruh negara, saya tidak akan mengkhianati amanah itu,” katanya di sini, malam ini.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sulungnya di hadapan penyokong dan jentera selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson hari ini.

    Yang turut hadir, isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

    Anwar berkata, undi popular sebanyak 70 peratus diperolehnya membuktikan penerimaan semua kaum terhadapnya.

    “Majoriti orang Melayu di Port Dickson memilih Pakatan Harapan (PH), kaum Cina sekali lagi membuktikan dukungan mereka kepada PH serta kaum India tanpa ragu memilih PH.

    “Tentera yang dahulunya tidak memihak kepada kita, undi mereka melonjak 122 peratus. Ini trend yang sangat menyenangkan,” katanya.

    Dalam pada itu, Anwar sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyokongnya sepanjang tempoh berkempen.

    Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua penyokong dan jentera parti yang bekerja keras memastikan kemenangannya.

    “Ditakdirkan menjadi Ahli Parlimen, dan Insya-Allah menjadi Perdana Menteri, saya bercita-cita menjadikan negara bebas rasuah, membawa negara ini ke arah yang lebih baik,” katanya.
    Sementara itu Bernama melaporkan bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini selangkah bakal Perdana Menteri kelapan selepas menang bergaya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson hari ini.

    Anwar memperoleh 31,016 undi, menewaskan calon PAS. Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar (7,456 undi) dan lima calon bebas; bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan (82 undi), bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (4,230 undi), Lau Seck Yan (214 undi), personaliti media sosial Stevie Chan (337 undi) dan Kan Chee Yuen (154 undi).

    Sejarah menyaksikan pada dua puluh tahun lepas, figura penting politik ini dipecat daripada kerajaan, dipenjara atas tuduhan liwat sebelum bermulalah laungan reformasi yang akhirnya membentuk penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Selepas dibebaskan dari penjara pada 2004 dan disekat daripada terlibat politik selama lima tahun, Anwar kembali ke pentas politik dengan menjadi calon PRK Permatang Pauh pada 2008.

    Beliau yang memenangi PRK itu kemudian dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, namun terpaksa kembali ke penjara semula pada 2015 atas tuduhan liwat sebelum mendapat pengampunan diraja pada 16 Mei lepas.

    Anwar dikenali sebagai penggerak utama agenda reformasi yang akhirnya membawa satu perubahan dalam landskap politik negara melalui perjuangan yang penuh liku.

    Dilahirkan pada 10 Okt, 1947 di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Anwar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Cherok Tok Kun dan Sekolah Stowell.

    Beliau menyambung ke pengajian menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar dari 1960 hingga 1966 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Melayu (Sastera) di Universiti Malaya dari 1967 hingga 1971.

    Anwar, yang menerajui Yayasan Anda dan pertubuhan bukan kerajaan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), mula terlibat dalam politik apabila menyertai UMNO pada 1982 dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum keenam pada tahun yang sama.

    Beliau bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh dan menang dan seterusnya mempertahankan kerusi itu dalam beberapa lagi pilihan raya umum.

    Bintang Anwar cerah dan langkahnya pantas dalam politik apabila dilantik ke pelbagai jawatan dalam kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

    Beliau bermula sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1982, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983), Menteri Pertanian (1984), Menteri Pendidikan (1986) dan Menteri Kewangan (1991).

    Beliau yang dianggap sebagai 'anak didik' Mahathir kemudian dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993 sebelum dipecat pada 1998.

    Kini, selaku wakil rakyat kawasan Port Dickson yang terkenal sebagai destinasi pelancongan dan percutian popular, Anwar meneruskan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri kelapan seperti yang dipersetujui Pakatan Harapan sebelum ini.

    Anwar dijangka mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen Port Dickson pada persidangan Dewan Rakyat Isnin ini.

    Khamis, Oktober 04, 2018

    SEPETANG DI PORT DICKSON

    PORT DICKSON: Petang semalam selepas menemui Baharin Sukari dan Kamri Kamarudin di Al Taqwa Corner di Bandar Seri Putra, saya dan Baha Ibrahim pergi ke Port Dickson untuk meninjau suasana PRK Port Dickson.

    Jam 6.30 petang kami tiba di gerai di Batu 4 Port Dickson. Kami makan burger ayam bakar yang berharga RM8.00 sebiji. Kami diberitahu oleh penjual burger bahawa calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang bersarapan di warung mereka pagi semalam. Beliau walkabout di Pasar Tani Batu 4 yang terletak dalam DUN Bagan Pinang.

    Kami solat maghrib di masjid Bagan Pinang. Selepas itu kami menyelusuri kampung tersebut untuk mencari markas calon Bebas, Tan Sri Isa Samad. Kami tanya pemuda yang makan di sebuah warung di situ tetapi dia tak tahu di mana markas bekas ADUN Bagan Pinang.

    Dari situ kami ke kampung Si Rusa menunggu kedatangan Anwar Ibrahim yang akan berceramah di situ pada jam 10 malam. Ceramah dimulakan dengan Haji Rashid dari Persatuan Pahlawan Malaysia. Beliau datang dari KL semata mata berkempen untuk Anwar.

    Beliau berkata penduduk Port Dickson sepatutnya bangga kerana Anwar memilih Port Dickson untuk kembali ke parlimen kerana dua tahun lagi Anwar akan jadi PM Malaysia yang datang dari parlimen Port Dickson.

    Ahli parlimen Tampin, Dr Hassan Bahrom turut berucap yang mahu pengundi Port Dickson keluar beramai ramai mengundi pada 13 Oktober nanti.

    "Yang bertanding ini bakal PM. Kalau majoriti bakal PM sedikit, malu kita penduduk Port Dickson," kata beliau yang mahu PH mengekalkan majoriti 17,710 undi yang dimenangi bekas wakil rakyat, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada PRU Mei lalu.

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata beliau mahu pengundi Port Dickson beri kemenangan besar kepada Anwar supaya lebih banyak projek dapat dibawa ke kawasan tersebut.

    "Saya akan kaji jika rakyat Bagan Pinang mahu PPR untuk generasi akan datang," kata beliau yang turut membatalkan pemilihan penerima rumah PPR di Kelantan kerana beri rumah PPR kepada mereka yang tidak layak.

    "Kita mahu orang yang tiada rumah yang dapat rumah PPR," katanya sambil memberitahu kementeriannya akan berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia yang memohon rumah PPR.

    Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang turut berucap di majlis itu yakin pengundi tentera akan tetap bersama Anwar kerana beliau amat perihatin dengan nasib tentera.

    Anwar yang berucap di majlis tersebut berkata sudah empat hari beliau berada di Port Dickson berkempen dan puas hati dengan kemesraan pengundi pelbagai kaum yang ditunjukkan kepada beliau.

    "Kalau saya bertanding di Permatang Pauh saya sudah tahu kerana mereka adalah saudara mara saya tetapi saya kagum dengan semangat ukhuwah yang ditunjukkan oleh pengundi Port Dickson yang menerima saya di mana saya pergi," katanya.

    Sebaik baik sahaja Anwar tiba di tempat ceramah  (ketika Zuraida berucap) beliau terus bersalam dengan orang ramai dan terus ke belakang minum bersama dengan penduduk kampung sambil bergurau senda dengan mereka. Orang kampung ambil kesempatan berselfie dengan Anwar yang bakal menjadi ahli parlimen mereka pada 13 Oktober nanti. Insya Allah.Tepat jam 12 malam kami pulang ke Kuala Lumpur dengan harapan pengundi Port Dickson memberi majoriti yang besar kepada calon PH, Anwar Ibrahim.

    Khamis, September 27, 2018

    JANGAN GHAIRAH JADI PM ANWAR, NANTI KENA PANCUNG



    KUALA TERENGGANU, 26 Sept (Bernama) -- Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat menolak sebarang andaian dan persepsi negatif berhubung hubungannya dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Anwar berkata beliau tidak mampu menolak semua desas-desus seumpama itu namun berharap kesungguhannya bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir terus mendapat sokongan terutama dalam kalangan anggota PKR.

    "Saya ambil keputusan bersama dengan kepimpinan PKR dan PH, masalah (negara) yang dihadapi besar dan kita tak mampu hadapi jika ada masalah dalam pimpinan PH. Maka kita biar(lah) kerajaan ini kuat dan di bawah (teraju) perdana menteri yang tegas barulah boleh selesaikan masalah besar seperti 1MDB.

    "Tetapi ini tak menghalang orang cucuk dan mentafsir begitu begini untuk ajak saya bergaduh. Janganlah ajak saya bergaduh dengan Dr Mahathir...dah 20 tahun gaduh. Kami dah berbaik. Jangan ada adu domba politik," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama pemimpin dan anggota PKR Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini hari ini.

    Katanya walaupun PKR tidak berjaya menguasai Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu, hubungan baik dengan kerajaan negeri pimpinan PAS harus dibina demi kepentingan rakyat.

    Selain itu, Anwar yang berucap kira-kira setengah jam, berkata beliau tetap bertegas menolak mana-mana anggota PKR terlibat rasuah dan langkah pemecatan akan diambil terhadap mereka yang berbuat demikian.

    Bercakap pada sidang media kemudian, beliau menyifatkan tindakan beberapa bekas tokoh UMNO yang dilaporkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sama sekali tidak menggugat hubungan PKR dengan sekutunya dalam PH.



    Beliau berkata sebagai parti yang sama-sama bernaung di bawah payung PH, PKR akan meneruskan jalinan kerjasama dan mengekalkan sikap saling mempercayai terhadap Bersatu dan parti komponen lain dalam pakatan itu.



    "Kita masih lagi parti yang kuat dalam Pakatan (Harapan)...selagi hubungan dijalin dengan baik saya tidak harus musykil,” katanya.



    "...yang penting kita harus mengekalkan hubungan baik dengan Bersatu, saling bekerjasama dan saling mempercayai...hubungan peribadi saya dengan Tun (Dr Mahathir) juga sangat baik, jadi saya tidak gusar,” katanya.



    Majlis hari ini turut dihadiri Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail.



    Dalam pada itu, Anwar, yang dinamakan calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bulan depan, berkata beliau tidak terkejut apabila Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu dan PH memaklumkan tidak akan turun berkempen membantu beliau pada PRK itu.



    Anwar berkata perkara itu telah dimaklumkan sendiri Dr Mahathir atas faktor mempunyai kekangan kerja sebagai perdana menteri.



    "Sebagai perdana menteri, beliau ada beritahu tidak pernah turun berkempen pada mana-mana PRK kerana saya faham beliau ada keutamaan (sebagai perdana menteri). Tapi saya tahu beliau akan beri kerjasama dan meminta semua parti di bawah PH turut sama berkempen...dan beliau juga menasihatkan saya agar terus bekerja kuat,” katanya.

    Anwar seterusnya berkata beliau tidak sesekali memandang rendah calon lain yang akan bertanding menentangnya pada PRK itu.

    Katanya segala perancangan mengenai kelebihan yang bakal dinikmati penduduk di kawasan Parlimen itu termasuk dalam soal pendidikan akan diumumkan ketika mendapat peluang bertemu dengan masyarakat di sana tidak lama lagi.

    -- BERNAMA

    Isnin, September 17, 2018

    JANGAN PILIH PEMIMPIN YANG NGOK NGEK NGOK NGEK

    KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan anggota parti agar memilih pemimpin yang setia meneruskan perjuangan parti dalam pemilihan PKR kali ini. , dan bukan pemimpin yang mempunyai agenda untuk kepentingan sendiri.

    Anwar berkata anggota PKR perlu menyedari parti itu dibentuk kerana agenda reformasi dan membela rakyat.

    "Jika ada pemimpin yang berubah dan tidak lagi meneruskan perjuangan, dia telah mengkhianati parti, jangan pilih pemimpin begini," katanya dalam ucapan di hadapan lebih 1,000 penyokongnya pada program ‘Jelajah Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Wilayah Persekutuan’ di sini, hari ini.

    Anwar seterusnya mempersoalkan tindakan pihak-pihak tertentu dalam PKR yang mempertikaikan keputusannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

    Sedangkan, katanya pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lain menyokong penuh keputusan berkenaan.

    "Bila saya buat keputusan nak bertanding di PD (Port Dickson), (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng sokong saya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pun sokong, (Presiden Amanah) Mohamad Sabu juga sokong, tapi dalam parti (PKR), ngok ngek ngok ngek… kenapa?

    “ Saya nak katakan, kita dah bincang dengan semua orang yang boleh bagi pandangan, jadi keputusan ini telah dibincang," katanya.

    Anwar juga menyelar pihak tertentu dalam parti itu yang mahu beliau menyingkir orang-orang tertentu dalam parti sebagai syarat sokongan pada PRK Parlimen Port Dickson.

    "Ada orang beritahu saya, parti ini aman kalau saya pecat orang ini, orang itu. Kalau nak sokongan di PD, buang orang ini. Saya kata, kalau kau tak tidak mau sokong saya di PD, saya tidak peduli," katanya disambut sorakan penyokongnya.

    Terdahulu, ketika ditemui pemberita selepas program ‘Meet Anwar’ anjuran Anwar Ibrahim Club, Anwar berkata beliau tidak akan mengambil mudah PRK itu, walaupun pada hakikatnya beliau seorang pemimpin yang dikenali dan menjadi lumrah bagi mana-mana calon tidak mendapat sokongan 100 peratus daripada pengundi di mana-mana kawasan dan itu turut terpakai di Port Dickson.

    “Saya tidak pernah bersikap begitu, (sama ada) dalam politik, kehidupan dan kerjaya, saya tidak memandang mudah mana-mana perkara, anda perlu kerja keras, anda perlu bertemu rakyat dan berikan penjelasan, lumrahnya anda tidak mendapat sokongan 100 peratus pengundi , tetapi adalah penting untuk anda sedari bahawa kami hanya menawarkan diri kami sebagai calon.

    “Oleh itu bagi mereka anda mungkin dikenali dan diterima di tempat lain, tetapi apa yang penting adalah sokongan daripada Port Dickson. Tiada yang pasti. Saya perlu bekerja keras,” katanya.

    Anwar berkata beliau akan melawat kawasan itu secepat mungkin untuk bertemu pengundi, malah sebelum hari penamaan calon.

    Berhubung kenyataan Anggota Parlimen Padang Rengas daripada UMNO Datuk Seri Nazri Aziz yang secara terbuka menyatakan akan menyokong termasuk berkempen untuk beliau pada pilihan raya kecil itu, Anwar berkata beliau secara peribadi mengalu-alukan sokongan daripada mana-mana pihak.

    “Tetapi apabila melibatkan platform parti ia akan diputuskan oleh parti. Saya bukanlah sombong untuk menolak mana-mana tawaran untuk membantu, saya hanyalah seorang calon,” katanya.

    Nazri yang dipetik berkata demikian oleh sebuah portal berita berkata, beliau percaya ini adalah yang terbaik untuk UMNO bagi memastikan parti itu kembali ke dalam kerajaan.

    -- BERNAMA

    Rabu, Ogos 01, 2018

    ANWAR NAFI MAHATHIR GUNAKAN AZMIN UNTUK SEKAT PENGARUH ANWAR

    SHAH ALAM, 31 Julai (Bernama) -- Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak spekulasi bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang 'menggunakan' Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menyekat pengaruh beliau (Anwar) dalam kerajaan dan parti.

    Bekas timbalan perdana menteri itu berkata segala tindak tanduk Dr Mahathir tidak seharusnya diterjemah dalam konteks politik.

    "Beliau (Dr Mahathir) punya hujahnya sendiri. Beliau memikirkan kepentingan negara dan institusi. Ketika saya berada dalam jawatan sudah tentu saya perlu tentukan keutamaan saya dan cara saya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis tahlil bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei di sini malam ini.

    Menurut Anwar, Dr Mahathir seharusnya diberi kebebasan untuk mentadbir negara.

    Anwar bagaimanapun mengakui, sukar untuk menghalang mana-mana pihak daripada memberikan pelbagai interpretasi berhubung sesuatu perkara.

    "Dari segi menyekat peranan saya, pengaruh saya, secara jujur, saya tidak risau. Saya tahu kekuatan parti saya dan hubungan saya dengan rakan-rakan gabungan (PH)," katanya.

    Semalam, Mohamed Azmin yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi menolak dakwaan bahawa Dr Mahathir sedang menggunakan beliau untuk 'mengawal' Anwar.

    Dalam temu ramah bersama sebuah portal berita, Timbalan Presiden PKR itu menegaskan bahawa kesetiaannya pada ketua umum parti itu tidak sepatutnya dipersoalkan.

    Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai khabar angin berhubung pertandingan jawatan presiden dalam pemilihan PKR pada Ogos ini, Anwar berkata ia masih belum disahkan secara rasmi setakat ini.

    "Desas-desus itu banyak, kita boleh dengar tetapi tidak boleh layan desas-desus sehingga sah. Mohamed Azmin ada jumpa saya di Istanbul dan berbincang secara umum beberapa perkara tetapi tidak pula berbangkit soal ini.

    "Belum sah ada pertandingan atau tidak, kalau pun ada pertandingan kita harus hormati prinsip dan etika. Saya percaya Jawatankuasa Pemilihan PKR akan memastikan perkara ini dipatuhi," katanya.

    Sabtu, Jun 09, 2018

    BERSABARLAH ANWAR



    KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengamanahkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan kuasa untuk mengawasi beberapa syarikat terbesar negara yang secara kolektif bernilai lebih RM1 trilion, menurut akhbar Singapura, The Straits Times.

    Menurut laporan itu, langkah terkini memberi kuasa kepada Azmin boleh mencetuskan persaingan dalam parti komponen HARAPAN dan membolehkan Mahathir mendapat kelebihan ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Akhbar harian berbahasa Inggeris itu memetik sumber yang mengatakan syarikat-syarikat yang diletakkan di bawah pengawasan kementerian akan merangkumi gergasi minyak negara Petronas, dana pelaburan negara Khazanah Nasional dan pengurus hartanah Perbadanan Nasional Berhad.

    Selain itu, bidang kuasa menteri hal ehwal ekonomi juga meliputi agensi yang bertanggungjawab terhadap kebajikan orang Melayu-Islam seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tabung Haji serta unit dan jabatan kerajaan yang membantu usahawan Melayu.

    Felda dan Tabung Haji yang dicemari pelbagai skandal berprofil tinggi semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kini ditempatkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

    "Bidang kuasa ini begitu luas yang merancang untuk menempatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah menteri hal ehwal ekonomi kemungkinan akan dibatalkan," kata sumber yang biasa dengan penstrukturan semula berkenaan.

    Laporan itu menyebut bahawa Mahathir telah membuat "isyarat besar" untuk melantik Azmin kerana pemindahan Petronas, Khazanah dan lebih daripada 60 syarikat lain - sebelum mengambil kira mana-mana subsidiari (anak syarikat)- akan menjadi satu proses rumit yang mungkin memerlukan pindaan undang-undang serta kelulusan parlimen.

    Laporan itu mendakwa tindakan Mahathir itu sebagai satu lagi strategi "dasar pecah dan perintah" selain berkata ini kerana partinya BERSATU hanya menang 13 kerusi parlimen manakala PKR mendapat 49 kerusi - kerusi paling banyak di antara parti komponen HARAPAN.

    Laporan itu berkata Azmin dilantik jawatan menteri utama walaupun cubaan PKR untuk mendapatkan satu daripada empat portfolio utama - kewangan, kementerian dalam negeri, pertahanan atau pendidikan - ditolak semasa peringkat awal rundingan.

    Menurut laporan itu lagi, langkah Mahathir memberi kuasa kepada Azmin telah mencetuskan kerisauan di kalangan penyokong Anwar.

    Ulasan saya, hari ini 9 Jun genap sebulan Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan pusat. Usaha untuk melaga-lagakan di antara  Dr Mahathir dengan  Anwar nampaknya berterusan selepas Anwar keluar dari penjara. Ia menggambarkan seolah-olah Anwar tidak sabar jadi PM kelapan.

    Kita harus ingat jika bukan Mahathir ketuai PH pada PRU14 bulan lepas, belum tentu PH menang. Ia adalah kerana aura Dr Mahathir yang menyebabkan pengundi muda mengundi PH. Terbukti Anwar sudah ketuai Pakatan Rakyat (PR) pada PRU13 tetapi Anwar gagal menumbangkan BN.

    Anwar kena terima hakikat faktor Dr Mahathir yang berjaya menumbangkan BN. Oleh itu beliau jangan gopoh seperti pada tahun 1998. Biarlah Dr Mahathir memulihkan negara dalam masa dua tahun ini. Seperti kata Tun Dr Siti Hasmah, kesian kepada Dr Mahathir yang tidur lewat membaca segala dokumen untuk membetulkan Malaysia. 

    Dengan umur 93 tahun apa lagi Dr Mahathir mahu. Tetapi demi negara beliau sanggup korbankan dirinya demi mengembalikan semula imej Malaysia. Oleh itu Anwar jangan bimbang. Peralihan kuasa akan tetap berlaku kepada beliau dan bukannya kepada Azmin Ali.

    Rafizi Ramli pun janganlah hentam Dr Mahathir. Dr Mahathir sedar Parti Bersatu hanya ada 12 kerusi tetapi Dr Mahathir menjadi PM kerana ehsan PKR dan DAP.  Sebab itu beliau panggil Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya bubarkan Umno dan semua ahli parlimen Umno menyertai Bersatu supaya Bersatu menjadi parti dominan mengatasi PKR dan DAP.

    Zahid enggan membubarkan Umno kerana beliau dikatakan lebih suka bekerjasama dengan Anwar. Selepas mesyuarat majlis tertinggi Umno selepas BN tumbang, Zahid pernah berkata kalau berlaku rundingan dengan mana mana pihak ia hendaklah secara en bloc dan bukannya berunding secara individu untuk menentukan masa depan Umno.

    Berapa lamakah PH dapat  bertahan? Ada yang ramalkan tidak sampai 100 hari. Oleh itu jika mahu PH mahu kekal lama, penyokong Anwar hendaklah menerima Dr Mahathir sebagai PM sepenuhnya. Jangan depan cakap lain belakang cakap lain. Beri peluang kepada Dr Mahathir susun semula negara.  Beliau sedar beliau tidak lama di situ. Maka tak perlulah buang masa untuk adakan pilihanraya kecil untuk Anwar sekarang. Tunggulah dua tahun lagi Anwar jadi ahli parlimen.

    Sabtu, Mei 26, 2018

    ANWAR INGATKAN SEMUA WAKIL RAKYAT PH TUNJUK KESEDERHANAAN

    BUKIT MERTAJAM, 25 Mei (Bernama) -- Semua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) diminta jangan bersikap membalas dendam terhadap musuh politik, sebaliknya, menunjukkan kesederhanaan dan melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik.

    Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PH mempunyai tanggungjawab yang besar selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dan menggalas amanah yang diberi dengan sebaik mungkin.

    Beliau mengingatkan wakil rakyat PH supaya menunjukkan kesederhanaan dan elak daripada kegiatan boros dan rasuah yang sebelum ini digunakan untuk menyerang pemerintah semasa berada di pihak pembangkang.

    "Kita dah menang tak perlu lagi menyerang lawan. Kita tidak boleh bergerak atas dasar dendam. Dendam itu penyakit hati," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Iftar Perdana di Yayasan An-Nahdhoh, di sini hari ini.

    Terdahulu, Anwar menyampaikan tazkirah sebelum menunaikan solat Maghrib dan diikuti dengan majlis berbuka puasa bersama penduduk Permatang Pauh, di sini.

    Menyifatkan kini adalah zaman kebebasan media, Anwar berkata setiap wakil rakyat sentiasa akan dipantau oleh rakyat dan mereka perlu menunjukkan komitmen sebagai tanda terima kasih kepada rakyat kerana terus setia menyokong serta memberi kepercayaan kepada PKR dan PH.

    "Oleh itu, mereka (wakil rakyat) perlu tahu, rakyat kini yang lebih sedar akan menilai prestasi kita, tidak seperti regim sebelum ini yang semunya dikawal, sekarang ini semua lebih terbuka," katanya.

    Ditanya mengenai perasaannya selepas kembali ke kampung halaman, Anwar berkata beliau sangat bersyukur dan terubat sedikit kerinduan kepada kawan-kawan dan keluarga serta penduduk di Permatang Pauh.

    "Alhamdulillah saya syukur nampak kawan-kawan dan keluarga. Semangat dan kesetiaan mereka cukup kuat. Permatang Pauh ini luar biasa, sambutannya...kasih sayangnya. Saya sangat terharu," katanya.

    Ditanya sama ada beliau akan pulang ke Permatang Pauh pada Aidilfitri ini, Anwar berkata: "Saya akan pulang ke kampung halaman tapi kena ikut jadual Timbalan Perdana Menteri (isterinya) (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail)".

    -- BERNAMA

    Rabu, Mei 16, 2018

    PEMBEBASAN ANWAR : BERAKHIRNYA 20 TAHUN KELUAR MASUK PENJARA



    KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menandakan berakhirnya episod 20 tahun beliau keluar-masuk penjara dan bermulanya penyambungan kerjaya politik pemimpin yang disebut-sebut bakal menjadi perdana menteri.

    Figura politik itu mewarnai landskap politik tanah air sama ada di dalam penjara atau di luar penjara dalam tempoh dua dekad ini, termasuk gerakan reformasi dan membuat percaturan politik tanah air sehingga menyumbang melalui partinya PKR, kepada kejayaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara dan sebilangan pentadbiran negeri-negeri.

    Dilahirkan pada 10 Ogos 1947 di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Anwar kini kembali menghangatkan arena politik negara selepas mendapat pengampunan diraja hari ini.

    Ketua Umum PKR itu adalah suami kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden PKR, dan hasil perkahwinan yang diikat pada 28 Feb 1980, mereka dikurniakan enam orang cahaya mata iaitu Nurul Izzah, Nurul Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Ilham, Nurul Iman dan Nurul Hana.

    Anwar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Cherok Tokkun, Sekolah Stowell, Kolej Melayu Kuala Kangsar sebelum melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Pengajian Melayu di Universiti Malaya.

    Anwar bergiat aktif dalam bidang politik sejak di universiti lagi apabila beliau antara lain menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), menjadi anggota jawatankuasa Majlis Belia Asia, anggota Majlis Belia Dunia serta anggota jawatankuasa rantau Asia Pasifik pada Perhimpunan Belia Sedunia.

    Mula menjadi anggota Parlimen pada 1982 setelah memenangi kerusi Permatang Pauh, ketokohannya dalam politik diiktiraf, terutama ketika menjadi menteri kewangan.


    Pada 1996, Euromoney menobatkan beliau sebagai empat menteri kewangan terbaik dunia dan Asiamoney menamakannya sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia.

    Selain Menteri Kewangan, Anwar juga pernah dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Menteri Pertanian dan Timbalan Perdana Menteri pada 1 Dis 1993.

    Pada 19 Mei 1997, beliau dilantik menjadi pemangku perdana menteri dan menteri dalam negeri semasa ketiadaan Datuk Seri (sekarang Tun) Dr Mahathir Mohamad yang bercuti selama dua bulan.

    Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 Sept 1998, sebelum dipecat oleh UMNO keesokannya daripada jawatan timbalan presiden dan anggota parti itu atas dakwaan salah guna kuasa dan salah laku seksual.

    Sejak pemecatan itu, bermulalah episod gelap dalam perjalanan kerjaya politik beliau apabila beliau dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada 14 April 1999 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas disabitkan atas empat kesalahan rasuah berhubung penyalahgunaan kuasa dengan campurtangan dalam penyiasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.

    Anwar kemudian dibebaskan pada 2 Sept 2004 selepas hampir enam tahun menjalani hukuman penjara.

    Pada 28 Ogos 2008, Anwar kembali ke Dewan Rakyat setelah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh atas tiket PKR apabila isterinya yang juga anggota Parlimen kawasan itu, Dr Wan Azizah, meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepadanya untuk bertanding.

    Anwar seterusnya berjaya mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.

    Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 7 Mac 2014 oleh Mahkamah Rayuan, yang mendapatinya bersalah meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun sebelumnya.

    Hari ini, berikutan pengampunan penuh yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, beliau bebas daripada sebarang pertuduhan dan boleh terlibat dalam poliltik serta bertanding dalam pilihan raya untuk membolehkannya menjadi anggota Parlimen.

    -- BERNAMA