PORT DICKSON: Petang semalam selepas menemui Baharin Sukari dan Kamri Kamarudin di Al Taqwa Corner di Bandar Seri Putra, saya dan Baha Ibrahim pergi ke Port Dickson untuk meninjau suasana PRK Port Dickson.
Jam 6.30 petang kami tiba di gerai di Batu 4 Port Dickson. Kami makan burger ayam bakar yang berharga RM8.00 sebiji. Kami diberitahu oleh penjual burger bahawa calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang bersarapan di warung mereka pagi semalam. Beliau walkabout di Pasar Tani Batu 4 yang terletak dalam DUN Bagan Pinang.
Kami solat maghrib di masjid Bagan Pinang. Selepas itu kami menyelusuri kampung tersebut untuk mencari markas calon Bebas, Tan Sri Isa Samad. Kami tanya pemuda yang makan di sebuah warung di situ tetapi dia tak tahu di mana markas bekas ADUN Bagan Pinang.
Dari situ kami ke kampung Si Rusa menunggu kedatangan Anwar Ibrahim yang akan berceramah di situ pada jam 10 malam. Ceramah dimulakan dengan Haji Rashid dari Persatuan Pahlawan Malaysia. Beliau datang dari KL semata mata berkempen untuk Anwar.
Beliau berkata penduduk Port Dickson sepatutnya bangga kerana Anwar memilih Port Dickson untuk kembali ke parlimen kerana dua tahun lagi Anwar akan jadi PM Malaysia yang datang dari parlimen Port Dickson.
Ahli parlimen Tampin, Dr Hassan Bahrom turut berucap yang mahu pengundi Port Dickson keluar beramai ramai mengundi pada 13 Oktober nanti.
"Yang bertanding ini bakal PM. Kalau majoriti bakal PM sedikit, malu kita penduduk Port Dickson," kata beliau yang mahu PH mengekalkan majoriti 17,710 undi yang dimenangi bekas wakil rakyat, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada PRU Mei lalu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata beliau mahu pengundi Port Dickson beri kemenangan besar kepada Anwar supaya lebih banyak projek dapat dibawa ke kawasan tersebut.
"Saya akan kaji jika rakyat Bagan Pinang mahu PPR untuk generasi akan datang," kata beliau yang turut membatalkan pemilihan penerima rumah PPR di Kelantan kerana beri rumah PPR kepada mereka yang tidak layak.
"Kita mahu orang yang tiada rumah yang dapat rumah PPR," katanya sambil memberitahu kementeriannya akan berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia yang memohon rumah PPR.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang turut berucap di majlis itu yakin pengundi tentera akan tetap bersama Anwar kerana beliau amat perihatin dengan nasib tentera.
Anwar yang berucap di majlis tersebut berkata sudah empat hari beliau berada di Port Dickson berkempen dan puas hati dengan kemesraan pengundi pelbagai kaum yang ditunjukkan kepada beliau.
"Kalau saya bertanding di Permatang Pauh saya sudah tahu kerana mereka adalah saudara mara saya tetapi saya kagum dengan semangat ukhuwah yang ditunjukkan oleh pengundi Port Dickson yang menerima saya di mana saya pergi," katanya.
Sebaik baik sahaja Anwar tiba di tempat ceramah (ketika Zuraida berucap) beliau terus bersalam dengan orang ramai dan terus ke belakang minum bersama dengan penduduk kampung sambil bergurau senda dengan mereka. Orang kampung ambil kesempatan berselfie dengan Anwar yang bakal menjadi ahli parlimen mereka pada 13 Oktober nanti. Insya Allah.Tepat jam 12 malam kami pulang ke Kuala Lumpur dengan harapan pengundi Port Dickson memberi majoriti yang besar kepada calon PH, Anwar Ibrahim.