Khamis, Januari 25, 2018

MHONLINE TERIMA PENGHARGAAN DARIPADA IKIAM



AMPANG: MH Online satu satunya berita portal yang sedang meningkat naik turut mendapat penghargaan daripada Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dalam majlis malam media IKIAM di sini malam tadi.

Editor kanan MH Online, Zabidi Saidi menerima sijil penghargaan tersebut daripada Pengerusi IKIAM, Datuk Zahidi Zainul Abidin. Turut menerima penghargaan ialah Utusan Malaysia, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro, RTM, TV3, TV Al Hijrah, Astro Awani dan Agro Malaysia.

IKIAM juga  turut melancarkan Tabung Kebajikan Bekas Wartawan untuk membantu bekas wartawan yang uzur.

Zahidi  berkata IKIAM mengambil inisiatif ini untuk membantu bekas wartawan yang uzur dan sebagainya.

"Memandangkan bekas wartawan bukannya ada pencen maka IKIAM terpanggil untuk melancarkan tabung ini. Saya berharap semua rakyat Malaysia dapat memberi sumbangan ikhlas kepada tabung tersebut," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sekalung Budi Bersama Media, di sini, malam tadi.

Buat permulaan beliau mengumumkan sumbangan IKIAM sebanyak RM2,000 untuk tabung tersebut.

IKIAM juga buat pertama kalinya akan mengadakan Persidangan Antarabangsa Gerakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Asean dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Zahidi berkata persidangan dengan objektif memperkasakan sektor ekonomi umat Islam itu akan berlangsung pada Mac ini.

Beliau berkata, untuk merealisasi hasrat itu, IKIAM akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

"Antara agenda besar yang akan kita bincangkan dalam persidangan ini adalah pengenalan logo Produk Ummah yang berfungsi membezakan produk halal milik usahawan Islam dengan bukan Islam.

"Logo Produk Ummah sama fungsinya seperti logo halal JAKIM. Terapi, bezanya...Logo ini menandakan produk berkenaan halal, selamat dan bersih digunakan umat Islam sekali gus dapat membantu usahawan kecil untuk memasarkan produk mereka.

"Tidak seperti logo halal yang dikeluarkan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), ia terbuka untuk dipohon oleh usahawan Islam dan bukan Islam. Usahawan kecil juga menghadapi kesukaran memohon kerana perlu mempunyai kilang sebagai syarat," katanya.

Mengulas lanjut syarat memohon logo Produk Ummah, Zahidi berkata, usahawan hanya perlu membayar fi memproses dan peguam kira-kira RM200 serta diwajib membayar zakat.

Katanya, IKIAM dan RISDA memperkenalkan logo Produk Ummah susulan kurang syarikat Islam memperoleh halal dari JAKIM.

"Dianggarkan, 73 peratus syarikat bukan Islam mendapat status halal.

"Kita harap usaha yang kita lakukan ini dapat membantu memperkasa dan merancakkan ekonomi umat Islam di rantau Asia Tenggara serta negara anggota OIC," katanya.

Selain itu, sektor pelancongan dan kewangan berasaskan Islam turut diketengah sebagai agenda untuk diperbincang dalam persidangan itu.

DAH SEBULAN DANGDUT DI KAMPUNG TELARI, JABATAN AGAMA MASIH MENYIASAT

KUALA TERENGGANU, 24 Jan (Bernama) -- Kemunculan mendadak tarian dangdut yang menampilkan unsur lucah dengan penari berpakaian seksi membawa lenggok tarian yang mengghairahkan di Kampung Telari, di sini mencetuskan rungutan penduduk.

Sedangkan sebelum ini perkampungan itu terkenal begitu memelihara budaya tradisional seperti dikir barat sebagai hiburan bersama rakan-rakan dan juga anggota keluarga yang diadakan sebulan sekali.

Namun kini persembahan hiburan itu tidak lagi ditonjolkan sejak beberapa tahun lalu, hingga dangdut mengambil tempatnya dengan daya tarikan yang kuat, hingga mampu menggamit warga emas berkopiah.

Ada pula penonton membawa bersama anak-anak kecil menyaksikan tarian yang tidak bermoral itu, seolah-olah itu tarian biasa sahaja.

Bernama melakukan tinjauan selama sebulan di tempat persembahan, bagi menyaksikan sendiri 'kemeriahan' di kawasan tersebut.

Wartawan mendapati persembahan bermula 9 malam hingga 12 tengah malam dengan menampilkan empat penyanyi wanita berpakaian seksi dan menari dengan gaya mengghairahkan bersama lagu berbaur lucah.

Seorang penduduk kampung (lelaki) terbabit berusia 40-an yang enggan dikenali berkata persembahan dangdut dilakukan dua hingga tiga kali seminggu tanpa jadual tetap.

"Kita orang kampung dah banyak kali tegur tapi tidak diendahkan kerana kawasan yang digunakan untuk persembahan tersebut adalah tanah persendirian dan orang kampung tidak boleh berbuat apa-apa.

"Penyanyi yang membuat persembahan ini kebanyakan diambil dari negeri jiran (Kelantan), dan mereka ini dibayar anggaran RM400 seorang untuk membuat persembahan satu malam," katanya kepada Bernama.

Beliau juga tidak menafikan masyarakat kampung mulai berasa terganggu dengan kebingitan muzik dangdut hingga ada yang sukar melelapkan mata.

Persembahan tersebut dianjurkan secara percuma oleh beberapa orang perseorangan di kawasan tanah persendirian yang dipercayai milik penduduk kampung itu.

Katanya keadaan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana jarak lokasi itu kurang 200 meter dari masjid yang menjadi pusat latihan marhaban dan pusat Taranum al-Quran.

Tambahnya, penonton yang hadir bukan sahaja daripada kampung berkenaan malah ada juga dari Marang, Wakaf Tapai, dan beberapa kawasan lain.

Sementara itu, seorang lagi penduduk berusia 60-an turut memberitahu hampir 80 peratus penduduk kampung tidak senang dengan kegiatan tersebut dan berharap ia mendapat perhatian pihak berwajib.

"Saya bimbang jika aktiviti seperti ini berterusan... ia akan memberi kesan negatif kepada anak-anak kampung kerana penonton yang hadir bukan sahaja hanya melihat persembahan malah mereka turut diminta bersama-sama menari di ruangan persembahan," katanya.

Dalam tinjauan itu, dapat dilihat beberapa kali penyanyi wanita bertindak menarik penonton dan penonton lelaki yang 'usianya telah senja' turut menari bersama mereka dan kanak-kanak yang berada di situ dari pelbagai peringkat umur. Ada seawal umur setahun.

Di akhir temu bual, penduduk kampung berkenaan sempat melontarkan harapan agar ada pihak yang tampil mengambil tindakan kerana telah beberapa kali aduan dibuat namun setakat ini tiada sebarang tindakan yang dilakukan bagi menghentikan persembahan tarian 'ghairah' di kampung itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Wan Ismail Sahaimi Wan Omar yang dihubungi berkata pihak penguatkuasaan syariah JHEAT mengesahkan bahawa ada beberapa kali menerima aduan daripada penduduk Kampung Telari.

"Buat masa ini kita masih menjalankan siasatan terhadap dakwaan penduduk kampung berkenaan," katanya.

-- BERNAMA