Khamis, Ogos 20, 2009

MELAYU TAK PERNAH LUPA


Dr. Mahathir kata Melayu mudah lupa rupanya tidak tepat. Apa yang berlaku 20 tahun dulu sewaktu Muhyiddin jadi Menteri Besar Johor orang melayu masih tidak lupa. Kini ia jadi kempen pilihanraya kecil Permatang Pasir.


Inilah bahananya bila masuk politik. Benda yang lama pun orang boleh korek balik. Kita dengar apa kata Muhyiddin?


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kesal dengan tohmahan pembangkang kononnya beliau pernah menjual sebidang tanah kepada Singapura semasa menjadi Menteri Besar Johor.


Katanya fitnah itu sengaja dilemparkan kepadanya bagi menaikkan kebencian rakyat kepada beliau dan kerajaan Barisan Nasional (BN).


"Saya ingin menjelaskan bahawa saya (semasa menjadi Menteri Besar Johor) tidak pernah menjual tanah walau seinci pun kepada Singapura dan ini adalah fitnah semata-mata," kata beliau pada ceramah Perdana di Tanjong Putus sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di sini malam Rabu.


Timbalan Perdana Menteri berkata pembangkang membuat fitnah itu kerana tidak tahu sejarah sebenar wujudnya sebuah pusat penyelenggaraan air di kawasan Sungai Lingu iaitu di Bandar Tenggara Johor.


"Saya terpaksa menjawab kerana pembangkang telah membuat fitnah... apa yang berlaku sebenarnya ialah semasa saya menjadi Menteri Besar, satu hari saya menerima panggilan daripada Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad)," katanya.


Muhyiddin berkata Perdana Menteri ketika itu (Dr Mahathir) telah memanggilnya secara mengejut ekoran kunjungan Lee Kuan Yew (Perdana Menteri Singapura ketika itu) ke Kuala Lumpur untuk berbincang mengenai dua perkara iaitu saluran gas dan bekalan air.


Katanya dalam pertemuan antara Dr Mahathir, Tun Daim Zainuddin (Menteri Kewangan ketika itu), Lee dan beliau di Kuala Lumpur itu, Perdana Menteri Singapura telah mendesak mahukan bekalan air yang cukup dari Johor.


"Lee Kuan Yew sehingga berkata Singapura sanggup berperang jika Malaysia tidak mahu menyalurkan bekalan air yang cukup dan kesal dengan projek saluran air dari Sungai Lingu itu telah lama tergendala.


"Saya menyatakan bahawa kita tidak mempunyai wang dan Lee Kuan Yew berkata Singapura sanggup menganggung semua kos dan setelah siap kelak, bangunan dan harta yang dibina itu adalah milik Malaysia sehingga hari ini, jadi Singapura cuma mengeluarkan wang," kata beliau.


Muhyiddin berkata isu kononnya beliau menjual tanah kepada Singapura sebenarnya adalah satu dakwaan yang bodoh dan dilemparkan oleh orang yang tidak tahu sejarah.Sehubungan itu, beliau menggesa agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakwaan pembangkang semasa kempen pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir itu.