Isnin, Julai 29, 2013
DUNGUN: PERTEMBUNGAN DUA ROSLI?
Kedudukan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan tergugat berikutan kekalahannya dalam pilihanraya umum 5 Mei lalu.
Beliau tewas kepada calon PAS, Ustaz Wan Hassan Mohd Rosli dengan majoriti 3,942 undi bagi kerusi parlimen Dungun. Wan Hassan mendapat 35,348 undi manakala Rosli mendapat 31,406 undi.
Pada tahun 2004, beliau menang kerusi tersebut mengalahkan calon PAS, Datuk Mustapha Ali. Pada tahun 2008, beliau tidak dipilih sebagai calon BN. Tempat beliau digantikan oleh Matludi Jusoh. Ramai hairan bagaimana Rosli yang juga Pengarah Strategi BN Terengganu boleh kalah dalam pilihanraya. Adakah pengundi menolak beliau kerana beliau ada kes ketika menjadi Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM)?
Dalam pemilihan Umno pada tahun 2008, walaupun Rosli bukan ahli parlimen tetapi beliau berjaya mengalahkan ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Dungun. Beliau beregu dengan ADUN Rantau Abang, Datuk Zaabar Mat Adib yang menentang ahli parlimen Dungun, Matludi bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian itu. Zaabar menang dalam pertandingan berakit itu.
Siapa yang layak menentang Rosli bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Dungun? Adakah ADUN Bukit Besi, Roslee Daud yang juga Setiausaha Umno Bahagian? Beliau merupakan calon BN tunggal di Dungun yang menang setelah tiga calon DUN lain tewas termasuk Zaabar di Rantau Abang.Beranikah Roslee yang kini menjadi Exco Kerajaan negeri mencabar Rosli?
Jika beliau berani, beliau akan mengulangi sejarah Setiausaha Umno Bahagian Marang, Datuk Yahya Khatib yang menentang Ketua Umno Bahagiannya, Datuk Rahman Bakar pada tahun 2008. Yahya merupakan Exco Kerajaan Negeri ketika itu manakala Rahman tidak dipilih sebagai calon. Yahya menang besar kerana perwakilan memilih Yahya yang ada jawatan sedangkan Rahman bukan lagi ahli parlimen Marang.
Umno Bahagian Dungun memerlukan perubahan. Maka Roslee Daud wajar menyusun strategi untuk menyingkirkan dominasi Rosli di Dungun. Jika beliau tidak berani, maka beliau perlu bergabung tenaga dengan bekas ADUN Bukit Besi, Din Adam untuk mencabar Rosli buat pusingan kedua.
Kekayaan melampau Rosli dengan memiliki banyak kereta mewah bernombor 56 menyebabkan rakyat meluat dengan beliau. Sebab itu beliau kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu. Para pengundi telah menghukum Rosli pada 5 Mei lalu. Maka tibalah pula para perwakilan Umno Bahagian Dungun untuk menghukum Rosli pada pemilihan tahun ini.
KUALA NERUS: RAZIF CABAR NASIR?
KUALA NERUS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Razif Abdul Rahman (gambar) dijangka mencabar Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim dalam pertandingan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus September ini.
Razif merupakan ADUN BN tunggal yang menang pada pilihanraya umum lalu manakala tiga DUN lagi, Tepoh, Bukit Tunggal dan Teluk Pasu dimenangi PAS. Sesuai dengan kedudukan sebagai Exco Kerajaan Negeri, sudah sampai masanya bagi Razif mengambilalih jawatan Ketua Umno Bahagian.
Pada tahun 2008, Nasir yang juga ahli parlimen Kuala Nerus ditentang oleh bekas ahli parlimen, Che Azmi Abdul Rahman yang juga abang kepada Razif. Nasir menang dalam pertandingan tersebut. Tetapi dengan kekalahannya dalam pilihanraya umum lalu, maka kedudukannya mungkin tidak selamat lagi.
Pada 5 Mei lalu, beliau kalah 610 undi kepada calon PAS, Mohd Khairudin Aman Razali. Khairudin mendapat 33,861 undi manakala Nasir mendapat 33,251 undi.
Sepatutnya pada pilihanraya umum 2008, Nasir bertanding di DUN Seberang Takir untuk dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru. Sultan Mizan dikatakan mahu Nasir jadi Menteri Besar baru menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh.
Bila Idris mengetahui berita ini dari Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi maka Idris selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri telah memindahkan Nasir dari bertanding di kerusi DUN ke kerusi parlimen Kuala Nerus.
Impian Nasir untuk menjadi Menteri Besar berkecai. Maka Sultan Terengganu tiada pilihan lain. Baginda terpaksa menerima nama Datuk Seri Ahmad said sebagai Menteri Besar yang baru menggantikan Idris.
Menjelang pilihanraya umum lalu, nama Nasir disebut lagi sebagai pengganti Ahmad Said. Tetapi sekali lagi beliau dipilih sebagai calon parlimen yang memadamkan hasratnya untuk menjadi Menteri Besar Terengganu.
Nasir ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Bukan sahaja tak dapat jadi Menteri Besar apabila dipilih bertanding di kerusi parlimen Kuala Nerus, sebaliknya kalah pula dan tak dapat jadi ahli parlimen.
Orang yang sepatutnya menggantikan Nasir sebagai Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus ialah timbalannya, Datuk Rahin Mohd. Said. Tetapi Rahin yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri kalah dalam pilihanraya umum di DUN Teluk Pasu. Rahin kalah 109 undi kepada calon PAS, Ridzuan Hashim. Ridzuan mendapat 9,098 undi manakala Rahin mendapat 8,989 undi.
Oleh itu para perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus perlu berani buat transformasi dengan memilih ketua yang baru, Razif yang kini ada jawatan dalam kerajaan negeri. Tidak ada makna Ketua Bahagian diketuai oleh orang yang tidak ada jawatan.
Sudah sampai masanya bagi Nasir memberi laluan kepada Razif merancang pembangunan di Kuala Nerus. Tambahan pula Kuala Nerus baru sahaja dinaikkan taraf menjadi daerah yang baru.
Takdirnya berlaku pertandingan tiga penjuru antara Nasir-Rahim-Razif, sudah tentu perwakilan memilih calon yang boleh beri kemudahan kepada mereka. Inilah kelebihan Razif yang menjadi Exco Kerajaan Negeri buat penggal kedua.
KEMAMAN: RAHIM LAWAN WAN AHMAD NIZAM?
CHUKAI: Pertandingan Umno Bahagian Kemaman pada 5 Oktober ini nampaknya hanya bertumpu kepada perebutan jawatan Naib Ketua Umno Bahagian sahaja.
Jawatan Ketua Bahagian yang disandang Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Timbalan Ketua Bahagian yang disandang Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek nampaknya tidak akan ditentang.
Pada tahun 2008, bekas Pengerusi Tetap Umno Bahagian, Mat Dalam Awang pernah berhasrat untuk menentang Ahmad Shabery tetapi Mat Dalam tidak dapat pencalon yang cukup. Beliau memerlukan 15 pencalonan tetapi hanya dapat lapan pencalonan sahaja. Justru itu Ahmad Shabery menang tanpa bertanding pada tahun tersebut.
Kali ini Mat Dalam sudah tidak berminat lagi untuk mencabar kedudukan Ahmad Shabery. Kecuali beliau dapat jadi calon BN di DUN Air Putih pada 5 Mei lalu, mungkin dia berubah fikiran.
Ahmad Shabery adalah satu-satunya menteri Umno di negara ini yang tidak pegang jawatan Ketua Bahagian.Beliau senasib dengan bekas Menteri Pertanian, Datuk Abdul Manan Othman yang tidak pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abu Bakar Daud tidak pernah memberi laluan kepada Manan untuk mengetuai Umno Bahagian Kuala Terengganu.
Kecuali Ahmad Said tidak jadi Menteri Besar, barulah Ahmad Shabery selaku menteri pusat berani merebut kerusi nombor satu itu. Sebaliknya bila Ahmad Said kekal sebagai Menteri Besar, maka Ahmad Shabery tidak berani memcabar Ahmad Said.
Pertandingan Naib Ketua Umno Bahagian mungkin menjadi pertandingan pusingan kedua di antara Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid dengan Datuk Md Rahim Husin (gambar). Pada tahun 2000, Rahim menangi jawatan tersebut mengalahkan Shahbudin Maidin. Pada tahun 2004, beliau menang tanpa bertanding buat penggal kedua.
Pada tahun 2008, Rahim dicabar oleh Wan Ahmad Nizam yang baru habis jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kemaman. Wan Ahmad Nizam yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar menang dengan majoriti yang kecil.
Kononnya ada penipuan dalam pengiraan undi apabila banyak kertas undi yang memangkah Rahim ditemui di luar pusat mengira undi.
Majlis Tertinggu Umno dikatakan mengarahkan Umno Bahagian Kemaman bersidang semula tetapi Badan Perhubungan Umno dikatakan tidak setuju pemilihan diadakan semula. Maka Wan Ahmad Nizam disahkan sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Kemaman yang baru.
Pada pilihanraya umum 5 Mei lalu, Wan Ahmad Nizam yang dipilih sebagai calon BN di DUN Chukai tewas kepada calon PAS, Hanafiah Mat dengan majoriti 2,446 undi. Hanafiah mendapat 12,457 undi manakala Wan Ahmad Nizam mendapat 10,011 undi.
Wan Ahmad Nizam yang pernah menjadi ADUN Air Putih selama sepenggal (2004-2008) dikatakan lebih berminat bertanding di DUN Air Putih tetapi ADUN Air Putih, Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar enggan berpindah ke DUN Chukai walaupun DUN Chukai pernah diwakili ayahnya, Wan Mokhtar Wan Ahmad selama 25 tahun (1974-1999).
Wan Hakim bijak berpolitik. Jika dia bertanding di DUN Chukai sudah tentu dia akan tewas seperti Wan Ahmad Nizam. Wan Ahmad Nizam jadi mangsa dan beliau kalah teruk di kerusi tersebut.
Goyang
Kekalahan ini menyebabkan kerusi Naib Ketua Umno Bahagian yang disandangnya goyang. Menurut sumber, Rahim akan merebut semula kerusi itu dengan hujah bahawa rakyat sudah menolak Wan Ahmad Nizam sebagai calon BN di Chukai maka sudah sampai masanya bagi beliau menarik diri dari jawatan Naib Ketua Bahagian.
Wan Ahmad Nizam tidak semudah itu untuk berundur. Maka pertandingan pusingan kedua di antara Wan Ahmad Nizam-Rahim mungkin tidak dapat dielakkan. Rahim yang juga seorang ahli perniagaan adalah seorang pemimpin yang pemurah dan beliau mempunyai ramai pengikut yang setia.
Walaupun beliau bukan seorang wakil rakyat, beliau menjadi tempat mengadu ahli Umno Kemaman yang datang ke Kuala Lumpur. Maka orang seperti beliau perlu mendapat tempat dalam Umno Bahagian Kemaman.
Beliau pernah bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Kemaman pada tahun 1993 menentang ADUN Kijal, Ahmad Said tetapi dengan kedudukannya sebagai Menteri Besar kini, sudah tentu Rahim tidak berani bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian.
Maka jawatan yang paling sesuai buat beliau ialah Naib Ketua Bahagian. Terpulanglah kepada para perwakilan Umno Bahagian Kemaman untuk memilih sama ada Wan Ahmad Nizam atau Rahim.
Langgan:
Catatan (Atom)