Jumaat, Ogos 25, 2017

PAS SELANGOR TANDING 42 KERUSI DI SELANGOR

SHAH ALAM, 24 Ogos (Bernama) -- PAS Selangor hari ini mengumumkan untuk bertanding sekurang-kurangnya bagi 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata ketetapan itu dibuat susulan kenyataan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum ini yang dilihat berhasrat meletakkan calon untuk semua kerusi DUN yang ditandingi PAS.

Beliau berkata tindakan parti komponen dalam Pakatan Harapan itu yang menjadi punca tercetusnya pertembungan tiga penjuru bagi kerusi DUN Selangor namun pihaknya tetap bersedia menghadapi kemungkinan berkenaan.

"Pertembungan tiga penjuru atau lebih ini bukan dimulakan oleh PAS, sebaliknya DAP serta Amanah yang mahu ganggu dan bertanding di semua kerusi PAS. Maka, adalah wajar kami menyahut cabaran serta tidak berdiam diri.

"PAS Selangor juga bersedia untuk menandingi kerusi yang disandang Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (DUN Kajang) dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (DUN Bukit Antarabangsa)," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini.

Tambah Sallehen, keputusan pihaknya itu dipersetujui PAS pusat namun bagi kedudukan kerusi Parlimen di Selangor, ketetapan mengenainya akan diumum sendiri oleh pimpinan tertinggi parti itu.

Mengulas mengenai PKR, beliau berkata setakat ini, tiada rundingan berkaitan kedudukan politik di Selangor dilakukan dengan parti itu sejak hubungan tahaluf siyasi kedua-duanya tamat serta-merta pada Mei lepas.

Ketika ditanya sama ada PAS akan 'mengambil kembali' kerusi Parlimen Gombak yang disandang Mohamed Azmin selaku Menteri Besar Selangor, beliau menyatakan perkara itu mesti dilakukan memandangkan ia adalah kerusi tradisi PAS.

"Setelah wujudnya PKR, kita bagi kerusi (Parlimen Gombak) untuk parti itu bertanding malah PAS juga yang mencadangkan nama Mohamed Azmin menjadi Menteri Besar walaupun kami menang 15 kerusi DUN pada PRU lepas. Kerusi Parlimen Gombak wajib diambil balik," katanya.

Sallehen berkata bagi menghadapi pertembungan tiga penjuru itu, pihaknya akan menampilkan muka baharu dan muda sebagai calon PRU14 selain membawa tokoh-tokoh pemimpin bagi membantu melicinkan perjalanan jentera pilihan raya parti berkenaan.

Pada PRU13, PAS Selangor menerusi gabungan parti dalam Pakatan Rakyat menang 15 kerusi hasil pertandingannya di 21 kawasan DUN manakala DAP pula menang 15 kerusi dan PKR (14).

Bagaimanapun, dua daripada Anggota Dewan Undangan Negeri PAS iaitu Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) keluar parti dan menyertai Amanah, dua tahun lepas.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi.