Jumaat, Januari 14, 2011
DATUK SULU TIDAK DIIKTIRAF?
Sehari selepas negara dikejutkan dengan pendedahan gelaran 'Datuk' palsu, dunia hiburan pula kecoh gara-gara beberapa artis menerima gelaran Datuk Sulu yang tidak diiktiraf di Malaysia.
Walaupun gelaran Datuk Sulu diberi bukan dibeli daripada Kesultanan Borneo Ke-11, tindakan penerimanya menggunakan 'Datuk' tetap dipandang serong.
Mereka yang menerima gelaran tersebut antaranya Azizul Khamis, Salwa Abdul Rahman, Sheqal, L. Ramli, Jeffry Din dan pelawak, Mat Zain.
Bagaimanapun, Jeffry Din juga menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk daripada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob sempena ulang tahun beliau yang ke-72, tahun lalu.
Menurut Azizul, 48, beliau tidak pernah memaksa sesiapa memanggilnya Datuk kerana mengetahui gelaran tersebut tidak diiktiraf di negara ini.
"Tidak timbul isu penggunaan gelaran tersebut kerana gelaran itu dikurniakan dan bukannya dibeli.
"Bagi saya, sebagai tanda penghargaan kepada pihak yang mengurniakan gelaran tersebut, maka saya gunakannya,'' katanya.
Azizul bagaimanapun kurang senang gelaran Datuk Sulu yang diterimanya dipersendakan kerana baginya ia tetap satu penghormatan sebagai menghargai jasa seseorang artis itu menghiburkan peminat di pentas.
Rakan seangkatannya, Salwa, 45, juga tidak kisah jika orang tidak memanggilnya dengan gelaran tersebut.
"Gelaran itu semata-mata satu penghargaan kepada kami, artis-artis yang sering diundang untuk mengadakan persembahan di istana.
"Saya tidak pernah paksa orang memanggil saya dengan gelaran tersebut, tetapi sebagai penghargaan di atas pengurniaan itu, saya tetap terima, bersyukur dan merasai dihargai,'' katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman, Harun Salim Bachik berkata, soal sama ada seseorang artis itu mahu dipanggil Datuk atau tidak, adalah hak peribadi.
"Tiada sesiapapun yang boleh memaksa orang lain memanggil seseorang itu dengan panggilan Datuk.
"Seperti mana yang diketahui, penggunaan Datuk Sulu memang tidak diiktiraf tetapi jika penganjur majlis tetap memanggil artis itu sebagai Datuk, kita tidak boleh halang,'' katanya.
Seniman berpendirian, gelaran yang dikurniakan oleh Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan institusi raja-raja sahaja yang akan dipanggil dengan gelaran tersebut, bukan Datuk Sulu.
"Nasihat saya kepada mereka yang mendapat Datuk bukan daripada kerajaan sekarang atau kerajaan negeri, janganlah marah atau paksa orang panggil kita Datuk.
"Lagipun, Datuk sekadar satu panggilan sahaja, ia tidak perlu dijadikan isu. Kita ikut undang-undang negara dan sedar di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung,'' katanya.
Langgan:
Catatan (Atom)