Ahad, Januari 14, 2018

BN BUKAN TAKUT KEPADA MAHATHIR

KUALA LUMPUR: Blogger-blogger pro pembangkang menulis kononnya BN takut kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Pakatan Harapan (PH) menamakan beliau sebagai bakal PM apabila  PH menangi PRU14. Sebenarnya BN atau Umno bukannya takut kepada Mahathir sebaliknya BN kekalkan tradisi yang diajar oleh Mahathir dahulu.

Cuba ingat kembali apabila Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menyertai Parti Semangat 46 pada tahun 1989. Bukankah Mahathir suruh anak-anak buahnya menyerang Ku Li ? Malah dalam perhimpunan agung Umno 1989 setiap perwakilan dari semua negeri menghentam Ku Li.

Tradisi yang diajar oleh Mahathir itu diteruskan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun 1999. Mahathir kerah semua jentera Umno menghentam Anwar dengan mengedar pelbagai video yang kononnya Anwar melakukan hubungan  homosex. Oleh itu jangan kata kepada Umno kelam kabut apabila Mahathir diumumkan sebagai calon PM kerana Umno meneruskan tradisi yang diajar oleh Mahathir.

Umno berhak mempertahankan diri kerana Mahathir mahu menghapuskan Umno yang diasaskannya pada tahun 1988. Mahathir secara terbuka menyerang Umno dan BN maka Mahathir kini adalah musuh nombor satu Umno.

Berjayakah kali ini Mahathir menumbangkan Umno setelah Mahathir mengarahkan mahkamah mematikan Umno lama yang ditubuhkan pada tahun 1946? Umno asal ditumbangkan melalui mahkamah oleh Mahathir. Kini Mahathir mahu tumbangkan Umno yang ditubuhkannya pada tahun 1988 melalui PRU.

Ku Li cuba menumbangkan BN sebanyak dua kali melalui PRU 1990 dan 1995. Akhirnya Ku Li sedar bahawa orang Melayu tetap mahu bersama Umno. Maka Ku Li kembali kepada Umno.

Bukan mudah Mahathir mahu menumbangkan Umno kerana ahli Umno sudah tahu bahawa Parti Bersatu tidak akan menang besar menewaskan BN. Sebaliknya DAP yang dapat 35 kerusi akan menjadi parti yang dominan dalam PH kerana Bersatu, Parti Amanah dan PKR tidak dapat menumbangkan Umno lebih lebih lagi dalam pertandingan tiga penjuru bersama PAS.

PRU14 paling sengit dalam sejarah PRU di Malaysia. Maka Umno dan BN tiada pilihan terpaksa menyerang Mahathir habis habisan dalam PRU kali ini kerana beliau mahu menguburkan Umno yang beri kekayaan kepada keluarganya selama 22 tahun menjadi PM.

Oleh itu BN perlu mengemukakan lebih ramai calon muda dalam PRU14.  Orang lama yang sudah menjadi wakil rakyat BN selama dua penggal wajar beri laluan kepada orang baharu. Pilih calon yang diterima akar umbi dan bukannya kerana calon itu sahabat pemimpin atasan. BN perlu berubah. Jika tidak ia akan rebah.

Semoga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar suara akar umbi yang mahu calon yang bersih, berwibawa, mesra rakyat dan baik akhlaknya.


TIADA FAEDAH PERBESAR ISU MAHATHIR CALON PM

PASIR SALAK, 13 Jan (Bernama) -- Pemimpin UMNO perlu bersikap profesional dan tidak terlalu memperbesarkan isu pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri oleh Pakatan Harapan, kata anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata perkara itu bukan sahaja tidak mendatangkan manfaat kepada parti, malah memberi kelebihan daripada sudut kelangsungan politik bekas perdana menteri itu.

"Rata-rata berpendapat pemilihan Dr Mahathir sebagai perdana menteri tidak sesuai berdasarkan pelbagai faktor termasuk usianya.

Kalau kita sedar tentang perkara itu, mengapa ia perlu diperbesarkan? Tiada faedah dan hanya beri kelebihan politik pada beliau," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan 45 Tahun Rancangan Tanah Belia Khas Seberang Perak di sini, hari ini.

Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Shah Alam, Selangor pada 7 Jan lalu menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya gabungan tersebut memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Tajuddin yang juga anggota Parlimen Pasir Salak berkata pemimpin UMNO perlu menghadapi PRU14 dengan kekuatan tersendiri dan menguar-uarkan kemajuan yang telah dibawa jika ingin terus diberi mandat untuk memerintah.

"Kita kena tunjuk kejayaan kita selama ini membela rakyat, bangunkan negara selain jaga kepentingan agama Islam. Bukannya tonjol maki hamun, fitnah dan sebagainya yang bercanggah dengan budaya Melayu," katanya.

Mengulas mengenai peluang BN memenangi PRU14, Tajuddin berkata rakyat perlu bijak memilih dan tidak menggunakan emosi dalam memilih pemimpin bagi memastikan masa depan dan keharmonian negara kekal terjamin.

"Saya lama dalam UMNO, banyak perkara yang telah dilalui dan saya harap rakyat buat pertimbangan sewajarnya dalam menentukan masa depan mereka dan negara," katanya.

-- BERNAMA