Isnin, September 30, 2013

WAN AHMAD NAFI CAMPURTANGAN PEMILIHAN UMNO

Saya selaku Ketua Pegawai Esksekutif Terengganu Inc berasa amat dukacita di atas beberapa tuduhan ke atas diri saya berkaitan pertandingan dalam pemilihan umno di peringkat Bahagian di negeri Terengganu sebagaimana dipaparkan melalui beberapa banner di beberapa lokasi di negeri ini dan kemudiannya disebarkan lagi melalui laman social (FB) tertentu. Saya telah mengesan bahawa terdapat sekumpulan facebooker yang telah menaikkan banner dalam facebook mereka dimana kandungannya mempunyai unsur fitnah terhadap saya. Kandungan banner tersebut juga mempunyai unsur hasutan dimana boleh menyebabkan masyarakat memandang serong kepada saya dan seterusnya menjatuhkan kredibiliti saya sebagai ketua pegawai eksekutif Terengganu Incorporated Sendirian Berhad. Pemilik-pemilik akaun facebook di atas telah menaikkan (upload) banner berkenaan ke facebook mereka serta menyebarkan (tag) kepada rakan-rakan facebook mereka yang mana rakan-rakan facebook berkenaan pula membuat pelbagai komen dan ada antaranya juga memfitnah dan menghasut. Saya juga menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dan fitnah yang dibuat ke atas diri saya sebagaimana dalam banner berkenaan dan perbuatan sedemikian telah menjejaskan kredebeliti saya selaku Ketua Pegawai Eksekutif serta menjatuhkan maruah diri saya serta keluarga. Sehubungan dengan itu saya telah membuat laporan polis pada 25 Sptember 2013 bagi tujuan siasatan pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya menurut saluran undang-undang negara kepada pihak yang terbabit . Seterusnya saya sendiri melalui peguam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit mengaitkan saya dalam pekara sebagaimana tuduhan dan fitnah itu. Suka saya menjelaskan pertandingan dan proses menawarkan diri dalam pimpinan Umno adalah hak individu tertentu selaras dengan amalan demokrasi dalam parti itu dan tidak kena mengena sama sekali dengan arahan dan permintaan saya. Contohnya di Bahagian Besut, sebagaimana yang dilaporkan oleh media, pertukaran Ketua Bahagian adalah atas kehendak YB Dato’ Seri Haji Idris Jusoh sendiri selaku Ketua Bahagian bagi memberi laluan kepada pemimpin baru bagi tujuan proses meremajakan Umno, sebagaimana kenyatatannya dalam Berita Harian pada 23 September 2013 menyatakan “Secara peribadi saya tegaskan saya sentiasa memberi peluang dan ruang kepada pemimpin pelapis untuk menerajui pucuk pimpinan UMNO Besut”. Di Bahagian Kemaman pula, YAB Dato’ Seri Haji Ahmad Said sendiri selaku Ketua Bahagian UMNO tersebut dicabar bagi jawatan itu. Kalau berdasarkan tuduhan ke atas diri saya yang mencampuri urusan pencalonan di setiap bahagian, bermakna saya juga menaja calon yang mencabar Ketua Bahagian Kemaman itu. Adakah logik untuk saya menaja dengan menyalur peruntukan kepada Bahagian berkenaan bagi pertandingan Ketua Bahagian tersebut? Oleh itu jelaslah bermakna segala tuduhan ke atas diri saya yang disebarkan itu adalah tidak berasas dan tidak munasabah sama sekali, malah merupakan fitnah ke atas diri saya serta mempunyai unsur hasutan supaya masyarakat membenci saya. Bagi Bahagian Hulu Terengganu, banner berkenaan menuduh saya menaja Yang Berhormat Rozi Mamat bertanding jawatan Ketua Bahagian manakala Yang Berhormat Cikgu Razali ADUN Ajil sebagai naib ketua. Perkara ini tidak menjadi kenyataan bila Rozi hanya mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Bahagian menakala Razali tidak bertanding. Sebaliknya Ahli Parlimen Hulu Terengganu menawar diri untuk bertanding jawatan Ketua Bahagian mencabar ADUN Kuala Berang, Tengku Putera yang mempertahan jawatan tanpa pengaturan daripada saya, menakala Yusof Awang Hitam pula mempertahankan jawatan naib ketua. Saya difahamkan bahawa terdapat mereka yang tidak bertanggung jawab dan “desperate” menuduh saya bertemu YB. Datuk Jailani Johari kononnya bagi memberi arahan untuk beliau bertanding jawatan Ketua Bahagian Hulu Terengganu. Siapalah saya berbanding dengan YB. Timbalan Menteri untuk mengarahkan beliau bertanding? Sebaliknya sayamemang pernah bertemu Timbalan Menteri itu atas kapasiti saya selaku Pengerusi Radio Manis Fm Terengganu bagi memohon bantuan beliau untuk mendapatkan lesen meluaskan siaran radio Manis Fm ke seluruh Negara yang telah ditolak sebelum itu. Begitulah juga pertandingan di Umno Bahagian-bahagian lain di negeri ini adalah berlaku atas kehendak individu itu sendiri, berdasarkan tempat masing masing tanpa permintaan mahupun arahan saya serta peruntukan dari saya sebagaimana yang disebarkan itu. Semoga dengan penjelasan dan kenyataan saya ini dapat memperbetulkan keadaan yang sebenar serta tidak mengeruhkan keadaan yang boleh membangkitkan pra sangka buruk, silap faham dan sebagainya yang menjejaskan hubungan di antara satu sama lain atau dalam erti kata lain boleh mengkucar kacirkan keadaan yang merugikan masyarakat, Umno dan kerajaan. DATUK WAN AHAMAD WAN MUDA