Sabtu, Mei 16, 2009

EMPAT JAM DI KUALA TERENGGANU


Tiga hari lepas saya menerima panggilan dari Pegawai Penyelidik Kanan Menteri Besar, Hambali Latif yang mahu menemui saya. Saya yang kebetulan sibuk di Kuala Lumpur terpaksa balik ke Terengganu untuk memenuhi undangan Hambali itu. Saya pun sudah lama tidak balik ke Terengganu.


Sekian lama tidak menjejak kaki di Kuala Terengganu, saya berpeluang ke Kuala Terengganu pagi ini dari Kemaman. Sepatutnya temujanji saya dengan Hambali Abdul Latif pada pagi esok tetapi pagi esok beliau ke Tasik Kenyir bersama Datuk Ahmad Said, maka temujanji kami terpaksa diawalkan sehari.


Saya naik bas saja dari Kemaman dengan bas jam 11 pagi. Dalam bas, saya menerima sms dari seorang rakan di UDM, Wan Muhammad Wan Ismail yang menulis hari ini geng 10 menghadiri majlis TPM di Taman Tamadun Islam. Tulisnya, geng 10 takut hadiri sidang dewan kerana ugutan bunuh tetapi tak takut pula hadiri majlis sambutan Hari Guru di Taman Tamaddun Islam. Logik juga sms Wan Muhammad itu.


Pada jam 1.30 tengah hari saya sudah tiba di stesen bas MPKT. Kawan saya, Marzuki Muda menyambut saya di situ. Selesai kami makan, dia hantar saya ke Batu Buruk. Di situ seorang lagi kawan, Othaman Chendering sambut saya. Kami ke hotel Primula selepas itu kerana temujanji saya dengan Hambali tepat jam 4 petang.


Oleh kerana beliau sibuk dengan lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, maka temujanji itu ditangguhkan hingga jam 4.45 petang. Sementara menunggu ketibaan Hambali, saya tak sedar Setiausaha Perhubungan, Datuk Rosli Mat Hassan dan rakan-rakannya di coffee house. Jika tidak, dapat saya join sekali mereka mendengar perkembangan politik semasa.


Tepat jam 4.45 petang, Hambali tiba. Hambali sudah lama saya kenali sejak di Berita Harian lagi. Selama 45 minit, kami bertiga berbual isu semasa termasuk isu penahanan Dr. Ramzi Zubir. Nampaknya politik Terengganu tetap hangat mutakhir ini dan dengan kenyataan Muhyididin bahawa Ahmad Said tetap kekal Menteri Besar Terengganu sudah tentu mengecewakan kumpulan 18.


Jam 5.30 petang Hambali menghantar saya ke stesen bas MPKT kerana saya bertolak ke Kemaman dengan bas 6 petang. Saya terpaksa balik juga kerana Menteri Besar merasmikan mesyuarat agung berkelompok seluruh cawangan UMNO Bahagian Kemaman pada jam 9 malam.


Di stesen bas MPKT, Datuk Bandar, Datuk Razali Kassim masih bersama pegawai-pegawai MBKT yang baru sahaja menerima lawatan Muhyiddin ke stesen bas tersebut. Kebetulan dua pupu saya, pegawai kanan MBKT, Mohd. Radzi Mohd. Shah ada bersama mereka. Saya sempat menemuinya sekejap sebelum menaiki bas jam 6 petang.