Jumaat, Mac 10, 2017

SPRM TAHAN EXCO KERAJAAN JOHOR

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan seorang anggota Exco kerajaan negeri Johor bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan penyelewengan hartanah di Johor Bahru.

 Penahanan berkenaan disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi Bernama. Beliau berkata Exco berkenaan ditahan pada 11 pagi di pejabat SPRM Johor selepas memberi keterangan kes berkenaan.

 "Dia ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan dan disiasat berkaitan pengubahan wang haram," katanya. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM dan Seksyen 4 Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

 Pada 24 Feb lepas, SPRM menahan enam lelaki termasuk anak serta pegawai khas seorang penjawat awam negeri, selepas dipercayai terlibat rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri berkenaan. Pada 28 Feb pula,

 SPRM menahan seorang lagi kontraktor lelaki dipercayai suspek ketujuh dalam kes berkenaan. Berikutan itu, Exco terbabit memohon cuti daripada tugas rasmi kerajaan negeri, bermula 1 Mac sehingga siasatan berhubung skandal rasuah dan penyelewengan hartanah itu selesai.

Tiga daripada tujuh individu, iaitu dua pemaju dan seorang kontraktor, dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 3 dan 7 Mac lalu, sementara empat yang lain dibebaskan dengan jaminan SPRM, semalam
-- BERNAMA