Khamis, April 26, 2012

PENGUNDI AIR PUTIH MAHU ANAK TEMPATAN

Selepas Haji Harun Hassan digugurkan sebagai calon BN di kawasan DUN Air Putih, Kemaman pada pilihanraya umum 1999, sudah 13 tahun Air Putih mempunyai wakil rakyat yang bukan anak tempatan. Anak tempatan yang dimaksudkan ialah calon yang berasal dari kawasan Air Putih sendiri. Haji Harun merupakan anak tempatan pertama menjadi wakil rakyat Air Putih dari tahun 1986 hingga 1999. Beliau yang berasal dari Binjai menjadi ADUN Air Putih selama tiga penggal, selama 13 tahun. Beliau adalah Ketua Biro Utusan Melayu di Kuantan. Pada tahun 1982, beliau dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar (Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad). Empat tahun kemudian beliau dipilih sebagai calon BN bagi kawasan Air Putih. Sebelum itu beliau pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) selama satu tahun. Sudah 13 tahun Air Putih diwakili bukan wakil rakyat anak tempatan. Pada pilihanraya umum 1999, Dr Ramli Taib dari Kijal dicalonkan di kawasan tersebut tetapi tewas kepada calon PAS, Ismail Harun. Pada pilihanraya umum 2004, Wan Ahmad Nizam Wan Hamid dari Chukai dicalonkan di situ dan menang sepenggal. Pada pilihanraya umum 2008, Wan Ahmad Nizam digugurkan sebagai calon dan digantikan oleh Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar juga dari Chukai. Menjelang pilihanraya umum ini, Wan Hakim dikatakan akan diletakkan di Chukai menggantikan Datuk Mohamad Awang Tera. DUN Chukai merupakan kawasan lama ayahnya, Wan Mokhtar.Jika Wan Hakim dicalonkan di DUN Chukai, maka pucuk pimpinan patut meletakkan anak Air Putih sebagai calon BN kerana orang tempatan sahaja yang boleh memahami masalah orang Air Putih. Walaupun UMNO Bahagian mencalonkan tiga nama, Rosli Ahmad,Wan Ahmad Nizam dan Wan Hakim tetapi tidak semestinya Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO memilih tiga nama ini sebagai calon kerana mereka dipilih oleh 30 orang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian dalam mesyuarat dan bukannya dipilih oleh rakyat. Anak-anak tempatan yang patut dipertimbangkan sebagai calon dari kalangan ahli jawatankuasa bahagian ialah bekas wakil rakyat Harun Hassan, Tuan Kecil Tuan Tengah, Kamal Harun, Wan Nordin, Bahari manakala ahli jawatankuasa pemuda bahagian pula ialah Zulkipli Sulong. Zulkipli Sulong paling menonjol lulusan dari universiti di Jordan, berusia 41 tahun seorang guru agama di Sekolah Menengah Seri Bandi. Orang Air Putih patut bersatu mendesak pucuk pimpinan meletakkan Zulkipli Sulong seperti mana orang Kijal mahukan orang Kijal sebagai calon BN pada tahun 1986. Pada tahun 1986 Wan Mokhtar mahu meletakkan Datuk Ismail Said orang Chukai sebagai calon BN Kijal tetapi empat orang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian dari DUN Kijal iaitu Haji Khalid Karim, Haji Musa, Che Wan Wahab Che Wan Idris dan Cikgu Mohamad Mat Amin mendesak Wan Mokhtar memilih salah seorang dari mereka, jika tidak jentera DUN Kijal lumpuh. Maka Wan Mokhtar memilih Cikgu Mohamad yang langsung tidak bercakap dalam pertemuan dengan Wan Mokhtar manakala tiga lagi banyak bercakap. Sudah sampai masanya orang Air Putih bersatu meletakkan calon mereka. Jika mahu anak muda yang ada kelulusan, yang baik moralnya, bagi Ustaz Zulkipli Sulong anak Seberang Tayor paling layak ditonjolkan sebagai calon BN Air Putih. Terpulang kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

Sabtu, April 21, 2012

KAMARUDIN LUISIN DALAM KENANGAN

Pagi tadi jam 7.14 pagi saya menerima sms dari Mudi Dubing di Kota Kinabalu mengatakan wartawan Sabah Times, Kamaruddin Luisin sudah meninggal dunia. Beliau berusia 47 tahun dan masih bujang. Dua hari lepas saya menerima sms dari sahabat saya, Ghani Miyasin bahawa Kamaruddin dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu kerana koma akibat penyakit darah tinggi. Menurut Ghani, Kamaruddin tidak pernah mendapatkan rawatan di hospital sebaliknya memakan ubat. Kali terakhir saya menemui Kamaruddn pada Jun tahun lepas di Kota Kinabalu. Setibanya saya di airport beliau telah mengambil saya dengan kereta Proton Saganya ke Hotel Century Inn. Saya kenali Kamaruddin sejak tahun 1989 ketika bekerja dengan Watan di Sabah. Saya ambilnya sebagai stringer Watan. Bila saya jejak kaki di Kota Kinabalu buat kali pertama pada tahun 1989, saya menyewa rumah di Mandarin Park. Rumah dua tingkat untuk dijadikan pejabat dan rumah kediaman. Kamaruddin duduk sekali dengan saya di bilik tingkat bawah. Bila saya balik ke Kuala Lumpur pada tahun 1991, hubungan saya dengan Kamaruddin tidak pernah putus. Setiap kali saya ke Kota Kinabalu saya akan temui Kamaruddin yang tetap membujang sampai ke akhir hayatnya. Dia seorang pendiam, soft spoken dan saya sendiri pun tak tahu kenapa dia tak pernah kahwin. Saya sendiri tak pernah nampak dia bawa kawan perempuan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Isnin, April 16, 2012

CERITA OSU

Petang tadi saya terserempak dengan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk osu Sukam di sebuah restoran di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. saya kenalinya sejak bekerja dengan akhbar WATAN di Sabah pada tahun 1989 lagi. ketika itu beliau adalah Timbalan menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.Kebetulan petang tadu beliau sedang menunggu Timbalan menteri kerajaan Tempatan dan perumahan, datuk lajim Okin. Sudah lama kami tidak bertemu. Kali terakhir pada tahun lepas di pejabat Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali di Hotel Grand Season.Lepas itu kami tak pernah bertemu. Petang tadi beliau bersama najib orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah. Najib yang duduk di Chubadak, Sentul pernah menyertai Semangat 46. Saya pun hairan bagaimana Najib boleh rapat dengan Osu. osu, 63, adalah bekas ahli parlimen papar. Selepas itu beliau menjadi Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi menggantikan Tan Sri Sakaran Dandai yang dilantik Ketua Menteri Sabah pada tahun 1994. Pada tahun 1995, beliau diarah Dr Mahathir untuk mengangkat sumpah sebagai ketua Menteri sabah menggantikan sakaran yang dilantik Yang Dipertuan Negeri Sabah. Beliau sudah sampai di airport Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur untuk pergi ke istana untuk mengangkat sumpah sebagai CM baru. Dalam perjalanan ke istana, beliau diberitahu supaya pulang kerana majlis angkat sumpah CM baru sudah selesai dengan Datuk Salleh Said Keruak dilantik sebagai CM baru. Itulah syarat yang diberi Yang Dipertuan negeri sabah, Tun Said Keruak kepada Dr Mahathir yang mahu anaknya jadi CM kalau mahu dia beri laluan kepada Sakaran sebagai Yang Dipertuan negeri Sabah yang baru. Tiada rezeki osu. osu kekal sebagai menteri pusat. Pada tahun 1999
, beliau akhirnya jadi CM Sabah selepas Sakaran, Salleh, Bernard Dompok. Dia hanya jadi CM selama dua tahun berdasarkan rotation CM Sabah. Pada tahun 2000, beliau turut bertanding dalam pemilihan Naib Presiden UMNO. Beliau menjadi pemimpin Sabah pertama bertanding jawatan Naib Presiden tetapi beliau tewas 200 undi lebih kepada Najib, Muhammad dan Muhyiddin. Pada malam akhirnya beliau sudah leading tetapi jam 1 pagi ada calon yang tabur wang kepada perwakilan Sabah yang menyebabkan beliau tewas di tempat keempat. Apa yang diperjuangkan Osu pada tahun 2000 akhirnya menjadi kenyataan pada tahun 2009 apabila Datuk Seri Shafie Afdal merupakan anak Sabah pertama memenangi kerusi Naib Presiden Umno. Walaupun kini beliau bukan lagi ketua umno bahagian Papar tetapi beliau masih mengikuti perkembangan politik Sabah.Walaupun Osu sudah seusia Nabi Muhammad tetapi beliau masih kelihatan muda dan tetap sihat.

Ahad, April 08, 2012

AMANAH SEDIA KERJASAMA DENGAN SEMUA NGO

Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sekiranya kedua-dua pertubuhan badan bukan kerajaan itu berkongsi matlamat yang sama. Beliau
yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li menegaskan, Amanah tidak mempunyai sebarang masalah untuk bergabung dengan Bersih asalkan ada keinginan untuk bekerjasama antara kedua-dua belah pihak. “Atas benda-benda yang boleh difikirkan untuk perjuangan bersama, kita boleh bergabung dengan mereka (Bersih). “Amanah akan bergabung dengan mereka yang ada keinginan untuk bekerjasama,” katanya yang tidak menolak untuk menyertai perhimpunan menuntut pilihan raya yang adil dan bersih anjuran Bersih yang dijadualkan 28 April ini di Dataran Merdeka. “Selagi perkara itu selari dengan objektif kami, Amanah akan sertai,” katanya lagi ketika sidang media selepas perasmian Hari Keluarga Amanah Selangor di sini. Menurut veteran Umno itu, Amanah yang kini mempunyai sekitar 450 ahli di Selangor juga akan bekerjasama dengan NGO lain dan mencari persetujuan bagi mendapat perhatian kerajaan untuk membela nasib rakyat. “Amanah akan bekerjasama dengan mana-mana NGO, termasuk orang ramai, demi mendapatkan perhatian kerajaan serta menyumbang kepada kebaikan masyarakat yang selama ini terbiar dan tidak dipandang,” tegasnya. Jelas Ku Li, ketika ucapannya sebelum itu, NGO adalah penentu dasar kerajaan memerintah bagi menentukan corak kehidupan rakyat, sama seperti diamalkan di negara maju seperti Amerika Syarikat. “Melalui penubuhan NGO, kerajaan akan dapat mendengar segala tuntutan rakyat di peringkat akar umbi. “Dengan itu kerajaan dapat mengemukakan dasar-dasar baru yang memberikan kesan kepada rakyat,” katanya lagi.

Jumaat, April 06, 2012

HUSSEIN TAHAN TIGA ABDUL KERANA WASIAT TUN RAZAK

Benarkan Tun Hussein Onn menahan tiga abdul (Abdullah Ahmad Kok Lanas, Abdul Samad Ismail dan Abdullah Majid) kerana wasiat Tun Razak? Sila baca www.pantangdicuit.blogspot.com untuk ketahui cerita sebenar.

Selasa, April 03, 2012

YAHYA TANDING DI PARLIMEN MARANG?

Petang ini saya menerima sms dari orang yang tidak dikenali yang sms saya tentang hasil pencalonan Bahagian Marang. Minggu lepas semua bahagian di seluruh Malaysia diminta menghantar sekurang-kurangnya tiga nama untuk dikemukakan kepada Ibu Pejabat UMNO. Di parlimen Marang, tiga nama mendapat undi popular dari kalangan 30 orang ahli jawatankuasa Bahagian. Mereka ialah ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah; ADUN Pengkalan Berangan, Datuk Yahya Khatib Mohamad dan Ketua Pemuda Bahagian, Saiful Bahri Datuk baharuddin. Di DUN Alor Limbat, yang popular ialah Yusof Mat Ali dan Rozi Mohamad. Di Dun Bukit Payong, bekas calon Zaidi Muda dan Mohd Adnan Mohd Amin. Di Dun Ru Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku dan Anuar Yahya. Di DUN Pengkalan Berangan, Naib Ketua Pemuda, Jasmira Mohamad dan Latif Awang. Bahagian Marang menghantar senarai nama ini kepada pucuk pimpinan parti. Terpulang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memilih siapa sebagai calon yang muktamad. Apapun untuk meredakan keadaan Najib untuk memanggil semua yang disenaraikan supaya mereka dapat berikrar untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang dipilih sebagai calon.

Ahad, April 01, 2012

BN BATU BURUK DALAM DILEMA

Salah satu kubu kuat PAS di parlimen Kuala Terengganu ialah DUN Batu Buruk. BN sudah banyak kali gagal merampas kerusi itu dari calon PAS. pada tahun 2008, Dr Syed Azman Syed Alwi mengalahkan calon BN, Datuk Nordiana Shafie. Pada tahun 2004, Datuk Che Mat Jusoh gagal merampas kerusi itu dari Wan Mutalib Wan Embong. Pada tahun 2008 Wan Mutalib dikatakan tidak mahu bertanding kerana bimbang kalah di tangan Che Mat Jusoh. Tiba-tiba BN meletakkan Nordiana yang menyebabkan ramai yang menganggap jika Che Mat bertanding, beliau akan beri tentangan yang sengit kepada Syed Azman. Nordiana pernah ditawarkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh bertanding di DUN Ladang pada pilihan raya umum 2004, tetapi dia menolaknya. Jika dia bertanding di Ladang dan menang, beliau adalah Exco wanita pertama di Terengganu. Apabila Nordiana menolak tawaran itu, maka Wan Hisham Wan salleh diletakkan sebagai calon dan menang. Memang Nordiana tiada tuah jadi YB. Bertanding di kampung sendiri kalah pada tahun 2008. Kini pilihanraya umum 13 kian hampir. Siapa yang bakal menjadi calon BN di batu Buruk menjadi satu dilemma. Perlukah Che Mat Jusoh, Pegawai Pembangunan DUN diletakkan sebagai calon? Atau perlukah Nordiana diletak semula di situ. Dua nama ini sudah kalah maka ada yang berpendapat bahawa Timbalan ketua Umno bahagian, Datuk Sabri Alwi atau Mat Kerak diletakkan sebagai calon. Mat Kerak calon yang over acting di zaman idris Jusoh dan pihak istana mungkin tidak menyenanginya dan beliau tidak akan diberi nyawa oleh Pengerusi badan perhubungan umno terengganu, Datuk Seri Ahmad said. satu lagi nama yang disebut sebagai calon ialah Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu,Shafaruddin Mustafa. Batu Buruk mempunyai 27 ribu pengundi dengan 11 peti undi. Kelemahan Shafaruddin ialah di peti undinya sendiri, Chendering, BN kalah teruk masa pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu. Ada yang berpendapat bahawa tidak semestinya ahli jawatankuasa Umno bahagian bertanding. Apa salahnya beri peluang kepada tokoh grass root yang pernah menjaga JKKK. Tidak semestinya calon berkelulusan tinggi kerana yang penting calon itu disenangi rakyat jelata tanpa mengira fahaman politik. Pilihlah calon yang boleh diterima oleh semua pihak tidak kira orang Umno atau pembangkang yang dapat menerima calon tersebut. Kunci kemenangan DUN batu Buruk terletak di peti undi Sekolah Kebangsaan Pusat Kuala Ibai. Siapa yang dapat mengurangkan undi pembangkang di sini maka dia akan menang. Tidak mustahil calon BN boleh menang kalau tiada peteh keting. Mungkin ada calon akar umbi yang mampu merubah keadaan ini yang berorientasikan perkhidmatandan dapat berkomunikasi secara berkesan dengan akar umbi tanpa mengira fahaman politik seperti bekas calon BN,Datuk Haji Talib calon yang tidak pernah kalah di Batu Buruk.

SHAHRIR JADI MANGSA APRIL FOOL


Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Utama Shahrir Abdul Samad menafikan laporan blog hari ini kononnya beliau telah membuat pengumuman mahu keluar Umno untuk menyertai Pas bersama lebih 2,000 ahli.

Menurutnya, punca dan sumber maklumat lama blog Perakite sekadar cerita "April Fool."

“Sebenarnya, jika diperiksa punca dan sumber maklumat berkenaan datangnya daripada cerita 'April Fool’. Saya tidak ada bercakap sedemikian. Bukan saya yang cakap.

“Saya tidak ada apa-apa komen mengenai hal ini. Siapa yang percaya dengan laporan berkenaan bermakna sudah kena temberang,” kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Wakil rakyat berusia 63 tahun ini berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Perakite yang mendakwa beliau bersama 2,000 ahli Umno mengumumkan keluar parti itu untuk menyertai Pas, pada satu sidang akhbar.

Blog itu turut memuatkan satu gambar seolah-olah sidang media Shahrir, yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya umum pada 1978. Adiknya, Khalid merupakan Ahli Parlimen Shah Alam dan Yang Dipertua Pas kawasan Shah Alam.

Seolah-olah Shahrir bercakap, blog itu memetik beliau berkata, 'tiada jalan lagi memperjuangkan agenda negara di dalam kerajaan sedia ada. Jangan lontar batu dari luar bagi membetulkan keadaan sudah tidak terpakai. Penyelesaian yang tepat ialah tukar dan bersama membina negara tercinta dengan idea dan kematangan."

Menurut laporan blog terbabit, berlaku kekacauan dipercayai dilakukan oleh ahli Umno yang ingin menggagalkan sidang akhbar berkenaan selain mendakwa empat individu termasuk seorang wartawan cedera dan dikejarkan ke hospital.

Shahrir juga didakwa mahu membuat ‘roadshow’ bermula di luar Johor sebelum memberi tumpuan di negeri itu secara habis-habisan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Selain itu, Perakite juga mendakwa Pakatan Rakyat (PR) akan bermesyuarat Jumaat ini untuk membincangkan keperluan meletakkan Ketua Umno Johor Bahru itu sebagai Menteri Besar tanpa mengira parti mana yang menang banyak sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya ditumbangkan pada PRU13.

Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajkan Umno Johor Bahru, Faridah Mustafa berkata, laporan berkenaan satu gurauan keterlaluan daripada pihak tidak bertanggungjawab.

“Ia amat keterlaluan. Perkara seperti ini tidak boleh dibuat main-main. Ramai rakan dalam Umno yang menghubungi saya untuk mendapatkan pengesahan mengenai hal ini.

“Kami baru sahaja selesai bermesyuarat bersama semalam dan tidak timbul isu ini,” katanya.