Ahad, Oktober 29, 2017

PAKATAN HARAPAN DIMINTA TIDAK TANDING DI SABAH



KOTA KINABALU 26 Okt. - Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) sekali lagi mengingatkan Pakatan Harapan agar tidak meletakkan calon di negeri ini sebaliknya membiarkan parti pembangkang tempatan berdepan dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).


Presiden Harapan, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, beberapa parti pembangkang tempatan telah pun bersetuju untuk bekerjasama dalam PRU14, justeru khidmat DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak diperlukan.


“Di Semenanjung ada 165 kerusi Parlimen dan lebih 500 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), mereka (Pakatan Harapan) telah bertanding di sana, parti tempatan Sabah tidak pernah bertanding di Semenanjung.

“Sabah pula hanya ada kira-kira 20 kerusi Parlimen, takkan ini pun tidak boleh bagi semua pada kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Perwakilan Parti Harapan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden Harapan, Datuk Maijol Mahap.

Sebelum ini, Lajim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias dan Ketua Pembangkang DUN Sabah telah menyatakan perkara tersebut secara umum, namun dibantah oleh pemimpin Pakatan Harapan negeri terutama DAP yang memenangi beberapa kerusi Parlimen serta DUN dalam pilihan raya umum 2013.

Sementara itu, menurut Lajim parti pembangkang tempatan kecuali Parti Warisan Sabah (Warisan) telah pun bergabung atas nama Parti Gabungan Sabah (USA) iaitu terdiri daripada Harapan, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Reformasi Negeri (STAR).

Sehubungan itu katanya, gabungan berkenaan telah mempunyai calon masing-masing untuk bertanding di semua kerusi Parlimen serta DUN dan jika ditakdirkan menang Parlimen, mereka bersedia bersama pembangkang di Semenanjung untuk membentuk kerajaan di Putrajaya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Harapan telah mempunyai calon yang layak untuk bertanding di sekurang-kurangnya 14 kerusi Parlimen dan 28 kerusi DUN.

“Kami tidak bertanding semua kerusi sebab diagihkan kepada parti-parti dalam USA, namun harapan sendiri sudah ada calon yang cukup daripada golongan muda dan senior serta calon wanita,” katanya.