Isnin, Mei 27, 2013
PERKASA AKAN JADI PARTI POLITIK JIKA UMNO DIBUBAR
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan cadangan untuk menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai satu parti tunggal pelbagai kaum dan semua parti komponen dibubar sebagai tidak relevan buat masa ini.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, cadangan itu tidak relevan kerana UMNO yang mewakili orang Melayu masih belum berjaya meletakkan bangsa Melayu setanding dengan kaum lain, khususnya kaum Cina dalam bidang ekonomi dan pendidikan.
Katanya lagi, beliau juga tidak teragak-agak untuk mencadangkan Perkasa menjadi sebuah parti politik bagi mewakili perjuangan bangsa Melayu jika UMNO dibubar bagi memberi laluan kepada BN menjadi satu parti pelbagai kaum.
Jurang pembahagian kek ekonomi negara amat jauh dan UMNO masih belum selesai dengan agenda untuk mengangkat martabat bangsanya iaitu majoriti pribumi.
Jika UMNO dibubar, suara orang Melayu dan bumiputera akan ditelan bumi, malah sekarang pun kita dapat lihat apabila bercakap tentang hak yang dijamin Perlembagaan juga dituduh rasis," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn mencadangkan UMNO sebagai parti komponen terbesar dalam BN supaya mengetuai usaha menjadikan BN sebagai parti pelbagai kaum.
Malah katanya lagi, identiti Melayu dan bumiputera yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, kelahiran Malaysia melalui Persekutuan Tanah Melayu dan kedaulatan Raja-raja Melayu serta Yang Dipertuan Agung perlu dikekalkan.
Sementara itu, Ibrahim mencadangkan supaya Gerakan bersatu dengan MCA serta MIC pula bersikap positif dengan menyerap parti-parti yang mewakili kaum India seperti Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf), Parti Progresif Penduduk (PPP), Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) dan Makkal Sakthi.
Katanya, DAP dan Gerakan walaupun pelbagai kaum tetapi adalah parti kaum Cina dan PPP dilihat sebagai parti kaum India.
Langgan:
Catatan (Atom)