Khamis, Disember 06, 2018

AKHBAR UMNO YANG DEDAH NAFISAH MENGENAI LAPORAN AUDIT 1MDB DIPINDA



KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata keterangan yang diberikan oleh pengarah sektor audit kerajaan Saadatul Nafisah Bashir Ahmad hari ini dilihat dapat membantu siasatan berhubung dakwaan laporan audit 1MDB dipinda.

Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata, prosiding yang berjalan selama dua jam setengah itu melibatkan soalan berkaitan laporan 1MDB yang diubah sepertimana yang didakwa oleh Ketua Audit Negara Madinah Mohamad.

"Itu merupakan soalan utama yang diajukan kepada Nafisah, Ambrin Buang dan Madinah. Mereka telah nyatakan keterangan kepada PAC.

"Sememangnya, kita tanya berkenaan bagaimana pindaan laporan audit itu dijalankan dan kesemua keadaan pada masa itu.

"Kerana bagi kami (PAC), untuk kami mencapai satu kesimpulan pada akhir prosiding ini, kita hendak mengambil kira kesemua senario dan keadaan yang terlibat pada masa itu," katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.



Untuk rekod, Nafisah merupakan individu yang disebutkan dalam ruangan pojok Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia yang didakwa menyimpan salinan asal laporan audit 1MDB.

Nafisah dikatakan menyerahkan laporan itu kepada Pengarah Sektor Audit Tadbir Urus Nor Salwani Muhammad yang seterusnya menyerahkan salinan itu kepada Madinah.

Sementara itu, Wong juga mengulangi kenyataan Pengerusi PAC Ronald Kiandee bahawa terdapat empat lagi saksi yang akan dipanggil.

Empat individu dalam siasatan itu merupakan bekas peguam negara Apandi Ali, bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkfli Ahmad dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.




Namun, Wong tidak menyatakan tarikh empat individu itu akan dipanggil.

Pada 25 November lalu, Madinah mendedahkan bahawa beberapa bahagian dalam laporan audit asal 1MDB dipinda atas arahan bekas perdana menteri Najib Razak.

Madinah mendakwa beliau menderima laporan audit asal 1MDB yang belum dipinda daripada Nor Salwani selepas mengambil alih jawatan ketua audit negada daripada Ambrin.

Antara bahagian dalam laporan itu yang dikatakan dipinda adalah bahagian yang menyebut kehadiran ahli perniagaan Low Taek Jho dalam salah satu mesyuarat lembaga pengarah 1MDB, telah dikeluarkan.