Sabtu, Mei 11, 2013

REZAB RM2.6 BILION PATUT SELESAIKAN MASALAH JALAN BERLUBANG, PUNGUTAN SAMPAH

Buat pertama kalinya Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali secara terbuka mengakui masalah nepotisme berlaku dalam partinya sehingga mencetuskan kemelut pemilihan Menteri Besar Selangor. Azmin selaku Pengerusi PKR Selangor tanpa berselindung menyalahkan Presiden, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kerana menghantar senarai calon Menteri Besar kepada Istana Selangor semalam tanpa mendapat persetujuan dan konsensus barisan kepimpinan PKR Selangor, termasuk beliau. "Saya tidak mahu amalan nepotisme membudaya dalam Keadilan, Keadilan adalah sebuah parti reformasi. "Saya seorang yang setia dengan prinsip-prinsip perjuangan parti. Keadilan bukan milik individu atau keluarga tertentu. Parti ini adalah milik rakyat," katanya dalam sidang akhbar yang hanya bermula selepas petugas media terpaksa menunggu selama sejam di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini. Menurut Azmin, walaupun DAP dan PKR telah memberi laluan jawatan Menteri Besar kepada PKR, surat senarai calon yang dihantar oleh Wan Azizah itu dibuat tanpa mendapat restu kepimpinan PKR Selangor. "Dalam PKR, proses (penyenaraian calon) itu tidak berlaku sehinggalah petang semalam apabila rakan saya menghimpunkan ketua-ketua Cabang PKR, ahli dewan undangan negeri (ADUN) dan ahli Parlimen PKR untuk diadakan perbincangan," katanya. Jelasnya, Majlis Pimpinan PKR Selangor telah menghantar surat rasmi kepada Wan Azizah mengenai ketetapan yang diambil serta beberapa nama yang dikemukakan dalam mesyuarat itu dan kini terserah kepada Presiden PKR itu untuk mengambil langkah sewajarnya. Sementara itu, secara berlapik, Azmin Ali turut memberi kritikan sinis terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berpeluang untuk kembali dilantik sebagai Menteri Besar Selangor "Kita bersyukur dengan rizab bernilai RM2.6 bilion namun rakyat menuntut pentadbiran bersikap responsif terhadap permasalahan rakyat seperti isu jalan berlubang, masalah bekalan air dan bencana alam seperti banjir. "Kegagalan untuk respons kepada usaha menangani masalah rakyat telah pun dibawa kepada perbincangan dalam kepimpinan parti, maka, mandat baru rakyat menuntut satu kepimpinan kuat dan segera menyelesaikan masalah rakyat," katanya. Berkenaan pendedahan menggemparkan mengenai apa yang berlaku semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada tahun 2008, apa yang dijelaskan oleh Azmin adalah tawaran Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk beliau menjadi Menteri Besar Selangor. Azmin mempertahankan diri daripada dikatakan kemaruk jawatan Menteri Besar kerana beliau telah menolak tawaran pada ketika itu bagi mengelakkan masalah perpecahan dan kestabilan dalam PKR. Dalam pada itu, Azmin turut mempersoalkan kewajaran ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat ghairah menganjurkan siri perhimpunan bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Ahad lalu sedangkan pakatan pembangkang perlu memberi tumpuan kepada pentadbiran di negeri yang dikuasai mereka. Bagaimanapun, beliau menafikan ketidakhadirannya pada himpunan di Kelana Jaya kelmarin sebagai tanda protes terhadap pimpinan pembangkang, tetapi memberikan alasan terpaksa menghadiri mesyuarat tentang isu pemilihan calon menteri besar Selangor. "Pimpinan parti perlu menentukan adakah kita nak adakan perhimpunan setiap minggu, setiap hari atau setiap bulan," katanya sinis. Sejak beberapa hari lalu, Azmin menimbulkan banyak persoalan apabila membuat beberapa kenyataan dalam Twitter yang dilihat mengkritik kepimpinan tertinggi PKR antaranya: "Rakyat letih dengan asakan politik melampau. Terima hukuman. Muhasabah diri. Akui kelemahan. Maju ke hadapan. Tumpu rakyat bukan kerabat." "Terima keputusan rakyat. Maju ke hadapan dengan dasar peduli rakyat bukan membuli rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran negara." "Laungan reformasi harus bermula dengan bisikan dalam hati sendiri. Jangan heret rakyat kalau kita sendiri gagal."