Rabu, November 26, 2008

BERANIKAH NAJIB BUAT PERUBAHAN?


Ketua Pemuda UMNO, Hishammuddin Tun Hussein berkata, parti itu perlu membuat perubahan utama dan melihat semula strukturnya selepas pemilihan Mac depan demi pengukuhan parti tersebut.

Beliau berkata, ini penting bagi memastikan gejala seperti politik wang dan masalah disiplin anggota parti dapat diatasi.

"Isu ini (politik wang) telah dibangkitkan sering kali kita berhadapan dengan pemilihan. Untuk menanganinya secara lebih berkesan ialah melihat semula struktur parti kita.


"Ini saya percaya akan kita lakukan selepas pemilihan bulan Mac depan. Perkembangan yang positif ini mesti membenarkan kita juga melihat kepada struktur parti dalam perubahan yang ingin kita lakukan selepas Mac," katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengenai usaha membanteras gejala politik wang dalam UMNO adalah satu proses yang memerlukan keazaman politik dan secara realistiknya tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.


Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, perkara itu hanya boleh dilakukan dengan kemahuan politik, kemampuan yang padu dan kesungguhan daripada mereka yang diberikan tempat dalam parti selepas pemilihan Mac nanti.


"Harap selepas pemilihan nanti mungkin kita boleh tengok, khusus dari segi strukturnya, perlembagaannya, perjuangan kita yang menuntut kita melihat semula apa yang perlu kita lakukan bukan hanya dalam UMNO tetapi dalam Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum Ke-12," katanya.


Jika Najib ikhlas mahu melihat UMNO bebas dari politik wang, perkara pertama yang perlu beliau lakukan selepas Mac ialah menghapuskan kuota dalam pencalonan bagi semua jawatan. Ia dikatakan menjadi punca kenapa berleluasanya politik wang.

Beranikah Najib menghapuskan kuota? Jika beliau berani ini bermakna beliau lebih hebat dari dua bekas Presiden UMNO, Dr. Mahathir Mohamad dan Pak Lah.