Rabu, Julai 06, 2011

KENAPA TAK SERAH MEMORANDUM KEPADA AGONG?


Sekumpulan anggota Dewan Negara Rabu mempersoalkan kegagalan penganjur mengemukakan memorandum perjuangan perhimpunan haram Sabtu ini ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Selasa.

Wakil mereka Senator Datuk Abdul Rahman Bakar berkata sewajarnya ketua kumpulan Datuk S Ambiga menggunakan peluang itu sebaik-baiknya dan membatalkan perhimpunan yang dirancang.

"Kalau tidak (serah), kenapa tidak (serah)? Kalau sudah disampaikan apa perlunya lagi diadakan perhimpunan di stadium," katanya kepada media di Lobi Parlimen, di sini.

Ini kerana katanya, kumpulan itu sendiri mendakwa mereka mahu berarak bagi menyerahkan memorandum tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong.

Abdul Rahman juga berkata kesediaan Tuanku Mizan mencemar duli menerima menghadap penganjur sepatutnya dihormati kumpulan terbabit dengan membatalkan terus perhimpunan dan mengambil jalan berunding secara baik.

"Marilah kita bersama-sama menghargai Rukun Negara, perlembagaan negara dan semangat demokrasi berparlimen serta raja berperlembagaan.

Kita seharusnya menegakkan dan menghidupkan demokrasi melalui sistem pilihan raya dan tidak melalui demonstrasi jalan raya," katanya.

Abdul Rahman juga mewakili kumpulan senator itu menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Tuanku Mizan atas titah baginda yang mahu puak berkenaan menghentikan hasrat berarak di jalanan.

"Titah baginda itu membuktikan bahawa banginda sangat prihatin mengenai keamanan dan keselamatan negara ini," katanya.

Semalam, selepas menghadap Tuanku Mizan di Istana Negara, Ambiga selaku penganjur demonstrasi haram pada 9 Julai ini dilapor berkata mereka membatalkan hasrat untuk berarak di jalanan tetapi akan berhimpun di stadium.