Ahad, April 17, 2011

KENAPA DENGKI DENGAN DAVID TEO?


Siti Jarum dalam Mingguan Malaysia hari ini seolah-olah menghasut pelakon, pekerja filem supaya jangan bekerja dengan penerbit filem terkenal David Teo. Katanya, kita dapat kuah sedangkan taukehnya dapat daging/

Kenapa Siti Jarum dengki dengan David Teo? Patutnya kita berbangga kerana ada orang Cina yang minat memajukan filem Melayu. Memang betul bukan semua filem David Teo bermutu tetapi sebagai pembuat filem dia sudah kaji selera penonton filem Melayu yang suka filem komidi.

David Teo berjaya hari ini bukannya melalui jalan singkat. Dua filem awalnya bungkus iaitu Syukur 21 dan Mendam Berahi. Tetapi dia bukan jenis putus asa. Dia terus terbitkan filem Melayu dan akhirnya penonton filem Melayu menerima filem-filem terbitannya.

David Teo bukan mahu bina empayar seperti Studio Jalan Ampas dahulu. oleh itu membandingkan Shaw Brothers dengan David Teo bukanlah satu perbandingan yang tepat. Sekurang-kurangnya kita bersyukur David Teo beri bonus kepada pelakon dan pekerja-pekerja filemnya. Kita tak pasti sama ada penerbit filem Melayu seperti Datuk Yusof Haslam membayar bonus yang banyak seperti David Teo.

Siti Jarum tidak mempunyai semangat 1Malaysia. Sepatutnya kita berbangga ada orang Cina yang minat melabur dalam industri filem Melayu. Bukan semua orang melayu minat buat filem. Dahulu kita ada Sabah Filem dengan Deddy M Borhan tetapi zamannya sudah berlalu. Oleh itu kita perlukan lebih ramai orang melayu bikin filem Melayu seperti David Teo yang berani melabur setiap bulan buat filem baru. Kini kos penerbitan filem Melayu meningkay kepada RM1.5 juta. Oleh itu industri ini hanya layak diceburi oleh jutawan sahaja.

Berapa kerat jutawan Melayu yang minat melabur dalam industri ini? Orang Melayu dapat hirup kuah, orang Cina dapat rasa daging bukannya fenomena baru. Kalau kita lihat kontraktor melayu semuanya mengalibabakan tender mereka kepada orang Cina. Oleh itu fenomena ini bukanlah perkara baru.

Oleh itu Siti Jarum tak perlu takut dengan keseriusan David Teo memajukan industri filem Melayu. Lagipun dia sudah lama berada dalam penerbitan filem Melayu sebelum filem Melayu berada di zaman kegemilangan seperti sekarang.Pedulikanlah Siti jarum, David Teo!

LPT DARI BUKIT PAYUNG- BUKIT BESI DIBUKA AKHIR TAHUN


Lebuhraya Pantai Timur fasa dua (LPT 2), pakej Bukit Payung ke Bukit Besi dijangka dibuka pada akhir tahun ini setelah kerja-kerja menyiapkan lebuh raya di kawasan itu kini hampir siap 90 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Datuk Za’aba Mohd Adib berkata Khamis lalu, pembukaan lebuh raya Bukit Payung ke Bukit Besi itu melibatkan jalan sepanjang 64 kilometer.


“Bagaimanapun pakej-pakej lain masih ada yang belum siap, dan kita buka dulu pakej itu untuk kemudahan penduduk terutama dari Kuala Terengganu ke Bukit Besi, Dungun,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT) kali ke-38 di Kuala Terengganu, Khamis yang turut dihadiri oleh Pengerusinya Datuk Ir Tengku Ismail Tengku Jaafar.





Menteri Besar bersama rombongan meilhat peta LPT dari Gemuroh-Tepoh-Bukit Besi yang dijangka akan dibuka pada akhir tahun ini kepada pengguna.


Projek LPT 2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Kemaman dekat s ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu merupakan kesinambungan projek lebuh raya LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer yang dimulakan pada Mac 2006 dengan anggaran kos awal projek sebanyak RM3.7 bilion.

Projek itu terbahagi kepada 16 pakej di mana 15 pakej dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Projek yang sepatutnya siap pada akhir tahun lepas itu bagaimanapun mengalami masalah apabila beberapa orang kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan kerja mengikut jadual yang ditetapkan berikutan masalah kenaikan harga barangan pembinaan di pasaran.

Pada 22 Mac lalu, di Dewan Rakyat, Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata LPT2 akan siap pada Disember ini dan dijangka akan dibuka awal 2012.

Ketika meninjau pembinaan LPT Fasa 2 itu 7 April lalu Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said berkata, apabila siap LPT fasa 2 berukuran 184 kilometer itu kelak, pengguna yang ingin menuju ke Kuantan hanya mengambil masa lebih kurang 2 jam saja manakala ke Kuala Lumpur pula kira-kira 4 jam setengah.

“Pembinaan ini bukan saja menjimatkan masa dan tenaga pengguna malah mampu menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu berikutan masa perjalanan lebih singkat dan cepat berbanding 6 jam hingga 8 jam sekarang.

Untuk keselesan pengguna, pelbagai kemudahan disediakan termasuk sepuluh persimpangan bertingkat, tiga kawasan rehat dan rawat, dua hentian rehat, tiga stesen timbang Jabatan Penguatkuasa Jalan (JPJ),” katanya pada lawatan mengejut itu.

Pengarah Pembinaan LPT, Ir Haji Adnan pula berkata kajian terhadap kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA) untuk keseluruhan projek ini dibuat setiap dua kali seminggu bagi mengesan dan mengelak pemendapan tanah terus berulang.

“Langkah-langkah pengawalan terhadap eko-sistem turut dilaksanakan termasuk menanam rumput dan memasang perangkap kelodak (silt trap).

“Saliran permukaan, struktur ternaik, bukaan pembentung dibina sebagai laluan air dan haiwan semata-mata menjaga keseimbangan flora dan fauna di kawasan terbabit,” katanya

PENGUNDI CINA MASIH SOKONG PEMBANGKANG?


Jika pilihanraya umum diadakan pada tahun ini, nampaknya pengundi Cina masih menyokong parti pembangkang. MCA, Gerakan akan menerima nasib yang sama seperti SUPP. Ini jelas ditunjukkan oleh pengundi Cina dalam pilihanraya umum negeri Sarawak semalam. Pada tahun 2006, DAP menang enam kerusi sahaja tetapi semalam DAP menang 12 kerusi. Peningkatan 100 peratus dan DAP hanya tewas tiga kerusi sahaja daripada 15 kerusi yang dipertandingkan.

Kemenangan besar DAP ialah menumbangkan Presiden SUPP, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam yang juga Timbalan Ketua Menteri di DUN Piasau. Ling Sie Kiong menang dengan majoriti 1,590 undi.

PKR menang tiga kerusi sahaja. Usaha untuk menawan Sarawak gagal tetapi bakal Ketua Menteri Pakatan rakyat, Baru Bian menang di Ba'Kelalan dengan majoriti 473 undi. Oleh kerana DAP menang 12 kerusi, manakala PKR 3 kerusi, sudah tentu ADUN DAP yang akan menjadi Ketua Pembangkang dalam DUN Sarawak nanti. Mustahil Baru Bian akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang.

Kemenangan 100 peratus PBB membuktikan bahawa majoriti Bumiputera Islam tetap menyokong Tan Sri Taib Mahmud walaupun beliau sudah 30 tahun menajdi Ketua Menteri. Orang Melayu tetap mahu lihat jawatan Ketua Menteri disandang oelh orang Melayu. Mereka tidak terpengaruh dengan PKR yang mahu meletakkan orang Iban sebagai Ketua Menteri Sarawak.


Taib kena tunaikan janjinya untuk berundur dalam masa dua tahun lagi. Berilah peluang kepada Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Openg menerajui negeri Sarawak pula. Beliau menang di Satokndengan majoriti 2,800 undi.

Kegagalan PKR berkompromi dengan SNAP menyebabkan mereka kalah teruk di tangan BN. SNAP kalah semua kerusi yang dipertandingkan sebanyak 26 kerusi sedangkan pada tahun 2006, SNAP menang satu kerusi. SNAP yang pernah berada dalam BN akhirnya tenggelam begitu sahaja. Yang untung PRS dan SPDP yang merupakan dua buah parti komponen Iban dalam BN masih menang 14 kerusi (PRS, lapan kerusi dan SPDP, enam kerusi).

Pilihanraya umum dijangka diadakan segera pada tahun ini memandangkan BN Sarawak sudah menang dengan majoriti dua pertiga. Sudah bersediakah MCA, Gerakan, MIC untuk berhadapan dengan Pakatan rakyat?