Sabtu, November 26, 2016

PERPADUAN PAS DAN UMNO BUKAN LAGI SATU RAHSIA


OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN
(sudah diterbitkan dalam Berita Harian)
Sejak dua tahun kebelakangan ini, desakan umat Islam dan masyarakat Melayu supaya UMNO dan PAS kembali menjalin kerjasama dari segi politik semakin kuat kedengaran.Saya pernah menulis di sebuah akhbar tempatan pada tahun 2015 ,bagaimana kerjasama ini mampu memberi kebaikan bukan sahaja kepada kedua parti ini tetapi juga akan menyumbang kepada pengukuhan dan kesejahteraan umat Islam di negara kita.

Ramai yang menyangkakan tahun 2016 akan menjadi tahun yang menyaksikan wujudnya kerjasama politik antara  kedua parti ini. Bahkan ianya bukanlah satu rahsia lagi apabila kita dapat melihat bagaimana UMNO dan PAS boleh dilihat duduk semeja dan membincangkan pelbagai isu demi kepentingan Islam dan perpaduan ummah. Contoh yang paling jelas ialah tentang kesungguhan UMNO dan PAS dalam merealisasikan pindaan Akta 355 bagi memperkasakan peranan Mahkamah Syariah dan sekaligus membantu memartabatkan lagi kedudukan Islam di Malaysia.

Namun dari segi realitinya adakah gabungan PAS dan UMNO akan menjadi kenyataan.Dalam hal ini nampaknya kedua-dua pihak masih mengeluarkan kenyataan yang selamat bahawa mereka akan bekerjasama tentang hal-hal dan isu yang berkaitan dengan pengukuhan Islam di negara kita.

Dari segi permuafakatan dan kerjasama politik pula, masih belum ada lagi kata-kata yang konkrit dari pihak UMNO mahupun PAS. Bahkan PAS sendiri pernah menolak cadangan tersebut, , Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa   keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada 2 Januari 2016 telah  memutuskan bahawa “PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional”.Namun begitu pada masa yang sama juga Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, menganggap pandangan dari umat Islam supaya PAS dan UMNO bersatu perlu diterima dengan hati yang terbuka.

Kedudukan PAS dalam senario politik tempatan juga begitu jelas. Tidak keterlaluan jika dikatakan yang  PAS  tidak akan menyertai Pakatan Harapan kerana ketegangan politik yang wujud antara PAS dengan DAP .Nampakanya seperti tidak ada jalan untuk memulihkan semula hubungan ini. Begitu juga hubungan dingin PAS dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang sukar untuk dirapatkan walaupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih berusaha menjadi orang tengah untuk memujuk PAS .

Dari pihak UMNO pula, parti ini sentiasa konsisten. Ini dapat dibuktikan dengan beberapa  kenyataan dari pucuk pimpinan bahawa UMNO sejak dari dahulu lagi sentiasa mengambil pendekatan untuk menjalin  kerjasama dengan mana-mana pihak demi untuk memperkasakan kedudukan Islam dan perjuangannya. Bahkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2015, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak telah menegaskan yang UMNO tidak ada masalah untuk menjalin hubungan ukhwah yang lebih rapat dengan PAS dan mengalu-alukan sebarang usaha ke arah permuafakatan itu demi kebaikan Islam dan juga bangsa Melayu.

Manakala Presiden PAS,Dato Seri Abdul Hadi juga pernah  mengeluarkan kenyataan menawarkan diri penjadi penasihat kepada kerajaan. Beliau menjelaskan yang perjuangan PAS berpaksi kepada mengubah dasar pemerintahan kerajaan dan bukannya lagi ingin merebut jawatan dan mahu memerintah negara.

Apa yang pasti kenyataan Presiden UMNO, Dato Seri Najib Tun Razak, dan Presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi Awang itu, telah berjaya  memecahkan tembok pemikiran masyarakat umum bahawa adalah mustahil kedua-dua parti ini boleh bermuafakat.

Apa yang menariknya Fasal 6(6), Perlembagaan PAS (Usaha-usaha) juga  memperuntukkan:“Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bila mana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.”.

Manakala Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada bulan Mac 2015 telah mendapat sokongan sebulat suara ADUN Kelantan, termasuk 12 daripada UMNO.Itu sebabnya bukanlah sesuatu yang mustahil kerjasama dan permuafakatan antara kedua-dua parti ini dapat direalisasikan.

Berbalik kepada pindaan Akta Mahkamah Syariah (Akta 355), ada pemerhati politik yang beranggapan, sifat terbuka UMNO dan PAS dalam menangani isu ini merupakan satu titik permulaan yang amat penting dalam penyatuan antara dua parti ini.PAS nampaknya sudah mula menghargai usaha-usaha UMNO dalam mendaulatkan lagi kedudukan Islam di Malaysia. Manakala UMNO pula sudah mula mendengar apa yang PAS mahukan dalam perjuangannya. Apa yang pasti kedua –dua parti ini bersetuju untuk sama-sama memainkan peranan penting untuk memajukan lagi pembangunan dan kebajikan umat Islam di negara kita.

Jika sebelum ini PAS pernah membuktikan boleh bekerjasama dengan parti lain yang tidak bermatlamatkan Islam (Tahaluf Siyasi), mengapa pula ada isu dan masalah jika ingin bekerjasama dengan UMNO dalam perjuangan politiknya.


Mungkin 2016 bukannya tahun untuk PAS bergabung semula dengan UMNO dalam Barisan Nasional.Namun Pilihan Raya Umum semakin hampir di mana ramai pemerhati politik menjangkakan akan dilangsungkan pada tahun 2017. Persoalannya ialah adakah ketika itu rakyat Malaysia dapat menyaksikan satu penyatuan dua parti Melayu terbesar ini  dan sekaligus memberi kesan kepada lanskap politik di Malaysia? Hanya masa yang menentukannya.