Sabtu, Ogos 13, 2011

TUNGGU APA LAGI HISHAMUDDIN


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak berpuas hati dengan penjelasan pihak pengurusan akhbar The Star berhubung iklan hidangan daging babi dalam suplemen Ramadan Delights yang disiarkan kelmarin.

Justeru, beliau telah memanggil Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai untuk bertemu secara peribadi dalam masa terdekat bagi mendapatkan pendirian dan penjelasan penuh pengurusan akhbar tersebut berhubung isu sensitif itu.

“Saya tidak berpuas hati dengan penjelasan yang telah diberikan berhubung penerbitan iklan dan tulisan mengenai hidangan daging babi dalam sisipan mereka,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Tunggu apa lagi Hishamuddin. Gantung saja penerbitan The Star selama sebulan. Biar padan dengan muka The Star. Biar terjejas iklan The Star menjelang hari raya ini. Saya sokong penuh cadangan ketua menteri melaka Datuk Seri Ali Rustam supaya gantung penerbitan The Star buat seketika.

Kelmarin, akhbar berbahasa Inggeris itu dilihat tidak sensitif dan menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini apabila menyiarkan iklan berserta gambar hidangan daging babi dalam sisipan khas Ramadan Delights.

Iklan itu dilihat amat janggal kerana umum mengetahui daging babi haram dimakan umat Islam dan penyiarannya bersama sisipan tentang juadah berbuka puasa dilihat sebagai tidak sensitif terhadap bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Chun Wai dipercayai telah dipanggil memberi keterangan kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi hari ini berhubung perkara itu dan perlu memberi keterangan sekali lagi kepada Hishammuddin dalam masa terdekat.

Selain itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan akhbar tersebut tidak serius dan sambil lewa dalam permohonan maaf mereka kerana hanya menyiarkan kenyataan dua perenggan dalam muka surat tiga akhbar berkenaan hari ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa menggantung permit penerbitan akhbar The Star kerana menyiarkan iklan dan berita mempromosi daging babi dalam suplemen khas Ramadan Delights kelmarin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sebagai media penerbitan, akhbar tersebut sepatutnya sensitif dan menghormati perasaan umat Islam dan bukan melakukan perkara yang boleh menimbulkan provokasi kaum.

''Tindakan akhbar itu sangat biadab dan tidak sensitif langsung terhadap perasaan umat Islam di negara ini dan amat menyedihkan ia berlaku pada bulan Ramadan dan merupakan penghinaan kepada masyarakat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri 2011 anjuran Badan Amal Kebajikan Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (Bistari) dan Mamee Double Decker (M) Bhd. kepada 177 orang terdiri warga emas, pelajar miskin dan Pusat Dalam Komuniti (PDK) bagi kawasan Parlimen Masjid Tanah.

Mohd. Ali yang juga Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) berkata, permohonan maaf akhbar tersebut berhubung perkara itu tidak memberi sebarang makna sebaliknya telah mencalar perasaan umat Islam serta menghina kesucian bulan Ramadan.

Ujarnya, perkara tersebut boleh dielakkan sekiranya akhbar berbahasa Inggeris itu peka dan menghormati masyarakat Islam dan tiada motif mewujudkan provokasi kaum.

''Kita mahu KDN menggantung permit akhbar ini kerana ia satu perbuatan melampau dan langsung tidak boleh diterima kerama ia amat memalukan Islam.

''Akhbar ini perlu bertanggungjawab terhadap insiden ini dan saya harap KDN tidak perlu bimbang untuk menarik balik permit akhbar tersebut kerana mereka jelas menghina Islam," katanya.