Selasa, Oktober 28, 2008

KENAPA TAKUT PADA DEBAT?


UMNO sudah berusia 62 tahun. Jadi agak lucu bila seorang menteri berkata belum sampai masanya lagi untuk menjadikan debat terbuka sebagai satu cara pemilihan pemimpin dalam UMNO.
Mustapha Mohamad atau Tok Pa yang terkenal dengan jolokan menteri lima minit tidak setuju diadakan debat di antara calon-calon yang bertanding dalam pemilihan parti Mac depan.

Hairan juga bagaimana seorang pemimpin yang hebat macam Tok Pa tidak suka dengan cadangan berdebat kerana katanya ahli UMNO belum matang lagi. Dah 62 tahun umur UMNO, sampai bila nak matang? Tunggu UMNO berusia 100 tahun?

Lain pula dengan Dr. Rais Yatim yang meminta UMNO menyediakan satu platform khas bagi membolehkan calon-calon yang bertanding mengemukakan visi dan misi mereka kepada para perwakilan. Jika platform ini atau debat diadakan, ia tak perlu disiarkan secara langsung di tv kerana bimbang ia dimanupulasi oleh pembangkang seperti kata Tok Pa.

Dengan adanya platform ini sekurang-kurangnya perwakilan dapat menilai pemimpin mana yang wajar dipilih oleh mereka. Oleh itu kenapa harus takut kepada debat? Sampai masanya bagi para perwakilan UMNO menerima debat ini sebagai wadah kepada calon-calon untuk mengemukakan visi dan misi mereka.

PECAT TIONG LAI DARI KABINET


MCA nampaknya lebih senduk dari sudu. Suara MCA kini macam suara DAP. Inilah kelebihan orang China. Dalam berpecah mereka bersatu. Walaupun MCA dan DAP berlainan fahaman, tetapi demi bangsa mereka, mereka bersatu. Tidak seperti orang Melayu. UMNO dan PAS berpecah, demi kepentingan Melayu pun mereka tidak bersatu. Malang sungguh nasib orang Melayu.

Kenyataan terbaru ketua pemuda MCA yang baru naik pangkat menjadi Naib Presiden MCA, Liow Tiong Lai yang meminta kerajaan menghapuskan pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam bagi memastikan ia terus bersaing, merupakan satu kenyataan yang menyinggung para pemimpin UMNO.

Pak Lah akan buat rombakan kabinet tidak lama lagi selepas pemilihan MCA baru-baru ini. Oleh itu Pak Lah perlu kaji semula kedudukan Tiong Lai dalam kabinet. Tak perlulah orang macam Tiong Lai yang terbuka meminta kerajaan menghapuskan syarat tersebut berada dalam kabinet.

Apa lagi MCA mahu? Dahlah dapat tanding di kerusi majoriti Melayu, MCA sanggup singgung perasaan orang Melayu pula. Kalau MCA menang di kerusi majoriti orang China bolehlah mendabik dada bahawa parti itu dapat sokongan orang China. Oleh itu Pak Lah perlulah buat sesuatu iaitu memecat Liow Tiong Lai dari kabinet.

RUMAH TERBUKA OILFAB


Sabtu lalu saya menerima undangan CEO Oilfab Sdn. Bhd., Datuk Mohamed Hazali Tan Sri Abu Hassan yang mengadakan rumah terbuka syarikatnya di KLCC. Saya baru kenali beliau di lobi parlimen baru-baru ini.

Sejak itu kami saling bersms. Hazali telah menyatakan hasratnya untuk bertanding Exco Pemuda UMNO Malaysia pada bulan Mac depan. Semoga tokoh muda ini mendapat tempat di kalangan Exco Pemuda kelak.

Tidak rugi menempatkan jurutera mekanikal ini sebagai Exco Pemuda UMNO Malaysia. Dengan ilmunya dan pengalamannya beliau dapat membantu kepimpinan UMNO negeri untuk merampas kembali Selangor dari tangan pembangkang. Ia bukanlah kerja yang mudah kerana untuk menjayakan misi ini Hazali kena banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgitnya untuk mengajak para pengundi muda menyokong BN pada pilihan raya umum akan datang.

Di majlis yang sama saya menemui Che Wan Mazni Che Wan Muda yang bekerja di pejabat Hazali di Pulau Indah. Mazni sekampung dengan saya. Sudah lama kami tak jumpa. Dengan penuh sopan Mazni mencium tangan saya bila bersalam. Saya rasa bangga juga kerana ada orang kampung saya yang bekerja di pejabat Hazali.