Memaparkan catatan dengan label hazali. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hazali. Papar semua catatan

Selasa, Oktober 28, 2008

RUMAH TERBUKA OILFAB


Sabtu lalu saya menerima undangan CEO Oilfab Sdn. Bhd., Datuk Mohamed Hazali Tan Sri Abu Hassan yang mengadakan rumah terbuka syarikatnya di KLCC. Saya baru kenali beliau di lobi parlimen baru-baru ini.

Sejak itu kami saling bersms. Hazali telah menyatakan hasratnya untuk bertanding Exco Pemuda UMNO Malaysia pada bulan Mac depan. Semoga tokoh muda ini mendapat tempat di kalangan Exco Pemuda kelak.

Tidak rugi menempatkan jurutera mekanikal ini sebagai Exco Pemuda UMNO Malaysia. Dengan ilmunya dan pengalamannya beliau dapat membantu kepimpinan UMNO negeri untuk merampas kembali Selangor dari tangan pembangkang. Ia bukanlah kerja yang mudah kerana untuk menjayakan misi ini Hazali kena banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgitnya untuk mengajak para pengundi muda menyokong BN pada pilihan raya umum akan datang.

Di majlis yang sama saya menemui Che Wan Mazni Che Wan Muda yang bekerja di pejabat Hazali di Pulau Indah. Mazni sekampung dengan saya. Sudah lama kami tak jumpa. Dengan penuh sopan Mazni mencium tangan saya bila bersalam. Saya rasa bangga juga kerana ada orang kampung saya yang bekerja di pejabat Hazali.

Rabu, Oktober 15, 2008

ANAK ABU HASSAN TANDING EXCO PEMUDA UMNO


Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Anak bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar, Datuk Mohamed Hazali,33, akan mencuba nasibnya bertanding jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada bulan Mac depan.

Ketika ditemui di lobi parlimen Selasa lalu, Hazali berharap beliau akan menerima pencalonan yang selesa untuk merebut jawatan tersebut. Di peringkat bahagian Kuala Selangor, beliau adalah Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO.

Ditanya kenapa beliau bertanding, Hazali berkata sudah sampai masanya untuk menabur bakti kepada ahli-ahli UMNO.

“Saya berharap para perwakilan dapat menerima saya untuk menjadi Exco Pemuda UMNO Malaysia,” katanya lagi.

Ayah beliau tidak perlu diperkenalkan lagi. Tan Sri Abu Hassan pernah menjadi ahli parlimen Kuala Selangor dari tahun 1978 hingga 1999. Beliau menapak dari setiausaha parlimen ke timbalan menteri dan menteri sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Muhammad Muhd. Taib pada tahun 1997.