Rabu, November 13, 2013

ORANG LAIN YANG ARAH, ORANG LAIN YANG KENA PENJARA

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Empat pegawai Yayasan Pelajaran Mara (YPM) masing-masing dipenjara tiga tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Selasa selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengemukakan butiran palsu berhubung pembayaran tiket kapal terbang, tiga tahun lepas. Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu terhadap Noraidah Johar, 43, Muhammad Suhaimi Ismail, 44, Zolkefli Mohd Ali, 48, dan Nurmawati Redzwan, 46, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan di akhir kes pembelaan. Noraidah ialah Pengurus Unit Penyelaras YPM-Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi (DPPT), Muhammad Suhaimi merupakan Penolong Pengurus Kewangan, Unit Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi III, Zolkefli ialah Penolong Pengurus Pentadbiran dan Perjawatan manakala Nurmawati pula Penolong Pengurus Hal Ehwal Pelajar dan Akademik. Ahmad Zamzani turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini, dan jika gagal membayar denda, boleh dikenakan penjara enam bulan. Mahkamah juga membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan kes mereka di Mahkamah Tinggi selesai, selain menaikkan jumlah jaminan daripada RM8,000 kepada RM10,000. Dalam penghakimannya Ahmad Zamzani berkata pembelaan kesemua tertuduh adalah bersifat penafian, tidak berasas dan tidak munasabah. "Terdapat bukti kukuh untuk mensabitkan kesemua tertuduh dengan pertuduhan," katanya. Terdahulu, peguam Azrul Z. Stork yang mewakili kesemua tertuduh memohon hukuman ke atas mereka diringankan dengan diberikan bon berkelakuan baik kerana ia merupakan kesalahan pertama mereka. "Kesemua tertuduh mempunyai tanggungan anak-anak dan ibu bapa dan tertuduh benar-benar insaf dan berjanji tidak mengulanginya lagi," katanya. Kesemua tertuduh didakwa menggunakan dua dokumen yang mengandungi butiran palsu iaitu Ringkasan Borang Tuntutan Perbelanjaan/Penyelesaian Pendahuluan Lawatan Rasmi Bulan April 2010 dan Resit Rasmi Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd tanpa tarikh berjumlah RM12,125. Mereka didakwa mengesahkan dan mengaku membayar RM12,125 bagi tiket kapal terbang kelas perniagaan pergi-balik ke Jepun yang mana jumlah sebenar ialah RM3,500 bagi kelas ekonomi. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Kewangan, Unit Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi, Yayasan Pelajaran Mara, antara 18 Mei 2010 dan 3 Jun 2010, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Firdaus Abu Hanipah. -- BERNAMA