Jumaat, Oktober 18, 2013
TIDAK MUSTAHIL MAT DALAM BUAT KEJUTAN
KEMAMAN: Tidak mustahil seorang bekas penghulu, Mat Dalam Awang ( gambar) buat kejutan mengalahkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dalam pertandingan Ketua Umno Bahagian Kemaman esok.
Ini berdasarkan rekod lepas yang menunjukkan bahawa Mat Dalam pernah mengalahkan bekas ahli parlimen Kemaman, Datuk Ismail Said dalam pertandingan Pengerusi Tetap Umno Bahagian Kemaman pada tahun 2000.
Dalam pertandingan tersebut, beliau menang dengan majoriti satu undi. Oleh itu esok Mat Dalam mengalahkan Ahmad Said dengan majoriti satu undi juga tidak mustahil.
Selain dari itu, Mat Dalam yang menjadi penghulu ketika itu pernah mengalahkan Ahmad Said dalam pertandingan Pengerusi Belia 4B Daerah Kemaman pada tahun 80an ketika Ahmad Said menjadi Penolong Pegawai Daerah.
Kalau dilihat sejarah kemenangan Ahmad Said dalam pertandingan ketua pemuda, naib ketua bahagian dan ketua bahagian sebelum ini, beliau menang dengan majoriti yang kecil. Oleh itu tidak mustahil ramai perwakilan yang tidak mengundi Ahmad Said pada tahun 1993, 1998 dan 2000 akan beri undi kepada Mat Dalam esok.
Pada tahun 1993, Ahmad Said selaku ADUN Kijal mengalahkan Nazri Salleh dan Mohamad Rahim Husin bagi jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kemaman dengan majoriti 21 undi.
Pada tahun 1988, Ahmad Said selaku Exco Kerajaaan Negeri mengalahkan Tuan Kecil Tuan Tengah bagi jawatan Naib Ketua Bahagian dengan majoriti 50 undi.
Pada tahun 2000, Ahmad Said mengalahkan ADUN Kemasik, Datuk Abu Bakar Ali bagi jawatan Ketua Bahagian dengan majoriti 30 undi.
Memalukan
Bagaimana pula nasib Ahmad Said selaku Menteri Besar esok? Adakah beliau akan menang dengan majoriti 50 undi juga?
Ada orang berkata sekarang Ahmad Said sudah jadi Menteri Besar. Tidak mungkin Ahmad Said menang dengan majoriti 50 undi sahaja berbanding dahulu.
Akan tetapi jika Mat Dalam dapat lebih dari 100 undi esok, ia sudah tentu memalukan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu itu dan sekali gus menolak kata-kata Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid supaya jangan berikan Mat Dalam mendapat lebih dari satu undi.
Jika tidak berlaku sebarang penipuan esok, Ahmad Said akan menang dengan majoriti nipis. Sebaliknya jika Setiausaha Bahagian, Rosli Ahmad berkeras mahu pengiraan undi dibuat di tempat lain, maka Mat Dalam akan kalah besar esok seperti mana yang berlaku minggu lepas kepada calon Ketua Pemuda, Mohd Hazarul Ifdaz (Along) dan calon Ketua Wanita, Che Ku Maznah Che Ku Awang.
Sejauh mana 950 orang perwakilan esok terpengaruh dengan slogan Mat Dalam iaitu menentang kemungkaran adalah fardhu kifayah?
Ahmad Said dikatakan mementingkan kroni yang mendorong Mat Dalam menentangnya. Malah semua orang tahu orang yang sama dapat projek di Kemaman seperti Haji Dol dan Agu yang mendorong Mat Dalam mencabar Ahmad Said.
Nasib baik Mat Dalam bukan kontraktor. Kalau tidak orang akan kata beliau berjuang untuk kepentingan diri kerana tak dapat projek dari Ahmad Said. Mat Dalam hanya menjadi lilin yang sanggup membakar diri sendiri.
Biar apa pun, pemerhati politik meramalkan Ahmad Said tetap menang. Yang mereka mahu tahu, sebanyak mana undi protes kepada Ahmad Said berani dizahirkan oleh para perwakilan esok? (dipetik dari freemalaysiatoday.com)
Langgan:
Catatan (Atom)