KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Personaliti Singapura, Najip Ali perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia berikutan kenyataannya yang menghina dan mempersendakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sebuah rancangan hiburan di Singapura.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi berkata persatuan itu memberikan tempoh sehingga Jumaat ini, dan akan membuat laporan polis jika Najip gagal berbuat demikian.
"(Jika Najip enggan memohon maaf) Kami juga cadangkan supaya Najip disekat daripada membuat penampilan dalam rancangan televisyen Malaysia," katanya selepas menghadiri Program Kajian Insan 'Khazanah Seni Negara' yang dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, di sini semalam.