Sabtu, Oktober 10, 2009

JANGAN ULANGI KESILAPAN LALU


Pengundi di Bagan Pinang diingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan lalu apabila mereka memilih pemimpin pembangkang sebagai anggota Parlimen Teluk Kemang pada pilihan raya umum lepas, yang ternyata tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata penduduk di Bagan Pinang perlu bijak membuat pertimbangan dalam membuat keputusan pada pilihan raya kecil itu Ahad ini agar mereka tidak menyesal di kemudian hari.

"Kita jangan terlalu ikut perasaan hingga kita buat kesilapan, dulu masa pilihan raya umum 2008, ramai yang tak sokong (Datuk S.) Sothinathan (calon BN Parlimen Teluk Kemang), kata calon kita tak bagus, tapi akhirnya dapat Datuk Kamarul (Baharin Abbas) (calon Parti Keadilan Rakyat (PKR)), sekarang langsung jadi wakil rakyat bunian...hilang, dan ini pengajaran kepada kita semua.

"Pada 11 haribulan ni jangan buat silap lagi... cukuplah sorang wakil rakyat bunian ni," katanya selepas menerima 80 borang keanggotaan anggota PKR Teluk Kemang yang menyertai Umno di Bagan Pinang.

Katanya keputusan penyokong parti pembangkang itu adalah langkah bijak sekaligus membuktikan bahawa PKR bukanlah sebuah parti yang boleh diharapkan untuk masa depan negara.

Mohd Isa yakin bahawa lebih ramai pengikut PKR akan mengambil langkah menyertai BN selepas ini, bukan sahaja di kawasan Teluk Kemang malah di kawasan lain kerana kepercayaan penyokong pembangkang terhadap pimpinan dan parti itu kian terhakis.

Mengulas mengenai hari-hari terakhir kempen sebelum hari pengundian Ahad ini, beliau yang merupakan Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang berkata jentera parti sehingga ke saat ini telah menjalankan tugas dengan baik dan meyakinkan beliau untuk mempertahankan kerusi di kubu kuat BN itu.

Ditanya pemberita, adakah majoriti undi kali ini dapat mengatasi keputusan pilihan raya sebelum ini, beliau berkata :"saya tak kira lagi...beribu-ribu".

Mohd Isa berkata matlamat utama BN adalah untuk memenangi pilihan raya kecil itu manakala matlamat kedua adalah untuk menambah majoriti yang diraih sebelum ini, bagaimanapun beliau sedar, pihak pembangkang pasti hendak mengurangkan jumlah itu.

Kerusi DUN Bagan Pinang yang dimenangi BN dengan majoriti 2,333 undi pada pilihan raya umum lepas, kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor pada 4 Sept lepas.