Sabtu, Oktober 14, 2017

PENDEDAHAN ZAID SEHARUSNYA BUKA MATA RAKYAT MALAYSIA

BERA, 13 Okt (Bernama) -- Pendedahan Datuk Zaid Ibrahim bahawa Ketua Parlimen DAP Lim Kit Sing memang berniat menjadi perdana menteri sekiranya pembangkang menang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, seharusnya membuka mata rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan bumiputera.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun sebelum ini pemimpin pembangkang itu sering menafikan perkara itu, kenyataan yang dibuat Zaid jelas menunjukkan Lim sengaja bermain 'drama' semata-mata ingin mendapatkan sokongan kaum Melayu.

"Pendedahan Zaid jelas menunjukkan agenda agenda sebenar pemimpin itu... ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana kalau saya ucapkan perkara ini dahulu semasa merasmikan persidangan UMNO bahagian, ramai yang menganggapnya hanya sebagai teori.

"Tetapi hari ini, ia dijelaskan dan disahkan sendiri oleh Zaid bahawa ia agenda sebenar mereka hendak menumbangkan kerajaan demi menjadi pemimpin di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri perjumpaan tertutup dengan Ketua Cawangan UMNO Bahagian Bera di Bangunan UMNO Bahagian, di sini, hari ini.

Seramai 55 ketua cawangan hadir pada majlis itu yang berlangsung kira-kira sejam.

-- BERNAMA