Tun Mahathir Mohamad dilihat memperalatkan calon Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar demi mencapai matlamat politik peribadinya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata walaupun, kerajaan telah memberi pelbagai penjelasan berhubung isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Dr Mahathir terus menggunakan isu itu untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kita telah jelaskan berulang kali tapi beliau (Dr Mahathir) tidak puas hati. Dalam demokrasi, beliau tidak boleh paksa kita untuk menerima pandangannya.
"Kita juga ada pandangan berbeza dan akhirnya rakyat yang akan buat penilaian," katanya kepada pemberita ketika melawat Pusat Media PRK Kuala Kangsar di sini, hari ini.
Ditanya mengenai Dr Mahathir dijadual hadir buat kali kedua di Kuala Kangsar esok, Salleh Said berkata bekas perdana menteri itu berhak berkempen dan menyokong mana-mana parti kerana beliau bukan lagi anggota UMNO.
Dalam perkembangan sama, Salleh Said berkata pembangkang hanya menabur fitnah untuk menarik kebencian rakyat kepada Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kedua-dua PRK itu.
"Namun, saya yakin rakyat tidak akan keliru dengan pakatan pembangkang kerana mereka hanya datang bila pilihan raya diadakan, jika tiada pilihan raya, kita tidak nampak mereka.
"BN turun padang melihat sendiri masalah yang dihadapi rakyat. Sememangnya menjadi tanggungjawab kita jika kita rasa ia perlu diselesaikan tetapi pembangkang datang hanya untuk membuat fitnah," katanya.
Menurutnya BN adalah satu-satunya parti yang mampu mengurus perbezaan di antara parti dan menyatupadukan rakyat walaupun ia dianggotai 10 parti komponen.
Sambil merujuk kepada Selangor, Salleh Said berkata parti pembangkang di negara itu saling bersaing sesama sendiri kerana masing-masing mengamalkan politik kepentingan parti.
"Rakyat kena lihat adakah mereka boleh dipercayai untuk diberi tanggungjawab memimpin negara...jelas sekali mereka tidak mampu kerana mereka amalkan politik kepentingan parti, mereka tidak lihat di luar parti," katanya.
Mengenai pembangunan komunikasi di perkampungan Orang Asli Kuala Kangsar, Salleh Said berkata beliau telah mengarahkan pegawai Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) untuk ke kawasan itu bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik.
Dalam pada itu, Salleh Said meminta pengundi supaya memberi sokongan kepada calon BN supaya agenda pembangunan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar dapat diteruskan untuk manfaat rakyat pelbagai kaum.