Isnin, Februari 09, 2015
ZAPIN PENYATU RAKYAT NUSANTARA KATA TAWFIQ
TAWAU, 9 Feb (Bernama) -- Seni tarian zapin berupaya menjadi elemen penyatu hubungan antara rakyat di rantau nusantara, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata, penyertaan peserta dari Indonesia dalam Festival Zapin Borneo (FZB) 2015 bukti seni tari berkenaan dapat menimbulkan perasaan akrab dan kesatuan yang mendalam.
"Saya difahamkan ini adalah kali ketiga penganjuran festival FZB dan penyertaan bukan sahaja datang dari negeri ini tetapi juga negara jiran dan ia sangat membanggakan.
"Penyertaan peserta dari negara jiran dalam festival seperti ini sangat dialu-alukan dan memang tidak dapat dinafikan ia dapat mengeratkan lagi hubungan masyarakat kedua-dua negara," katanya pada Majlis Perasmian FZB 2015 yang berlangsung di perkarangan Padang Perbandaran Tawau, di sini, malam tadi.
Menurut Tawfiq seni tari berkenaan perlu dipertahan dan dikekalkan bukan sahaja bertujuan sebagai hiburan semata-mata tetapi warisan yang mempunyai nilai tersendiri.
"Oleh itu masyarakat terutamanya generasi muda perlu menghayati bait-bait lirik dan seni tarian zapin kerana ia mengandungi nasihat, pedoman dan panduan yang boleh dicontohi.
"Kita kena pastikan generasi muda tidak melupakan budaya zaman berzaman ini sebaliknya memanfaatkannya untuk mengukuh tali silaturahim sesama sendiri," katanya.
Pada festival itu, Kumpulan Kaswari dari Kota Kinabalu mempertahankan kejuaraan apabila mucul sebagai Johan kali ke-2 berturut-turut dan tempat ke-2 dimenangi Kumpulan Sanggar Bedewa dari Nunukan, Indonesia manakala Kumpulan Irama Zapin 1Malaysia dari Tawau menduduki tempat ketiga.
-- BERNAMA
Langgan:
Catatan (Atom)