Selasa, Mac 31, 2009

SIAPA PILIHAN RAKYAT BUKIT GANTANG?


Ahad lalu tiga calon telah diterima sebagai calon pilihanraya kecil Bukit Gantang. BN meletakkan Ismail Sufian dan PAS meletakkan bekas Menteri Besar, Nizar Jamaluddin. Calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris dijangka tidak memberi kesan kepada kedua-dua calon ini.


Blog ini merupakan blog terawal yang menonjolkan nama Ismail yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian. Pada satu hari selepas kematian ahli parlimen Bukit Gantang, Roslan Shahrum, saya menerima panggilan dari seorang penulis Aziz Zariza Ahmad.


"Zabidi, tolong promote nama Ismail sebagai calon BN Bukit Gantang dalam blog dan WATAN," kata Aziz dalam telefon.

"Okay. Beri nombor handphone Ismail kerana saya mahu biodatanya," kata saya.


WATAN menyiarkan nama Ismail sebagai antara yang disebut-sebut sebagai calon BN dan blog saya menyiarakan gambar Ismail kerana WATAN tidak sempat menyiarkan gambar beliau. Ternyata misi Aziz untuk menonjolkan Ismail sebagai calon Bukit Gantang berjaya.


Jika Ismail yang kalah dalam pertandingan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang tidak disabotaj oleh UMNO bahagian, Ismail boleh mengalahkan Nizar. Sebagai anak tempatan Ismail ada kelebihan untuk menang. Nizar bukan anak tempatan tetapi beliau akan menarik undi simpati kerana beliau adalah Menteri Besar Perak yang dijatuhkan secara tidak demokratik.


Bukit Gantang diwakili oleh calon Gerakan pada pilihan raya umum 2004. Pada tahun 2008 UMNO Bahagian meneuntut kerusi parlimen itu diserahkan kepada UMNO. Tetapi UMNO meletakkan orang luar, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Abdul Azim Mohd. Zabidi sebagai calon. Akibat meletakkan calon payung terjun, maka BN tewas kepada calon PAS, aruah Roslan Shahrum dengan majoriti 1,566 undi.


Oleh itu pertandingan kali ini agak sengit antara Ismail dengan Nizar. Adakah pengundi Bukit Gantang mahu orang luar atau anak tempatan seperti Ismail? Yang peliknya pengundi Bukit Gantang menolak Abdul Azim tetapi menerima Aruah Roslan yang juga orang luar. Roslan bukan anak tempatan tetapi anak Batu Gajah.


Jika BN menang, maka pengundi Bukit Gantang mahu anak tempatan seperti Ismail sebagai ahli parlimennya. Ia juga mengiktiraf kepimpinan Menteri Besar baru, Dr. Zambry Abdul Kadir dan Presiden UMNO baru, Najib Abdul Razak. Sebaliknya jika BN kalah, rakyat Bukit Gantang tetap mengiktiraf Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Oleh itu PAS dijangka menggunakan sentimen ini untuk meraih undi. Sama-samalah kita tunggu 7 April ini.