Rabu, Oktober 07, 2015

MAHATHIR MUDAH LUPA


Berucap dalam satu majlis di Tawau, Sabah dua hari lalu, Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas presiden Umno terus menerus menyerang Najib.

Beliau mendakwa Najib tidak boleh meyakinkan rakyat supaya menyertai perhimpunan menyokong beliau jika tidak melibatkan wang.         
"Di Tawau ni pun berlaku. 50,000 rakyat Tawau datang (sokong Najib) katanya (Najib). Tapi ini angka ciptaan, mereka datang kerana diupah untuk datang," katanya.

Dr Mahathir merujuk kepada 'Perhimpunan Solidariti Rakyat Sabah Bersama Perdana Menteri', di Tawau pada 10 Mei, di mana Najib membaca falsafah Bugis dan berkata beliau tidak akan tunduk dengan tuntutan supaya melepas jawatannya.
Laporan menyebut seramai 40,000 hadirin hadir dalam perhimpunan itu.
Mengulas isu ini, nampaknya Dr Mahathir mudah lupa. Dahulu sewaktu beliau menjadi PM Malaysia selama 22 tahun pun rakyat juga diangkut ke majlis beliau.
Jadi apa masalahnya kalau Najib meneruskan tradisi yang diamalkan Dr Mahathir? Saya masih ingat ketika bertugas sebagai pegawai tadbir FELCRA di Ipoh saya mewakili Pengarah FELCRA Perak untuk menghadiri mesyuarat menyambut kedatangan Dr Mahathir ke Perak pada tahun 1986 yang dipengerusikan Exco kanan, Datuk Malek.
Dalam mesyuarat itu dilantik pegawai kanan di pejabat Setiausaha Kerajaan Perak untuk menjadi pengerusi jawatankuasa pengangkutan, jawatankuasa sambutan, jawatankuasa publisiti dan jawatankuasa jamuan.
Malah Datuk Malek amat detail dalam menentukan cenderahati kepada Dr Mahathir yang mana jawatankuasa bersetuju memberi cenderahati berbentuk gambar beliau. Secara berseloroh Datuk Malek yang juga Ketua Umno Bahagian Beruas berkata pastikan gambar Dr Mahathir itu elok dan tidak nampak hidung Dr Mahathir pesek.
Untuk meramaikan kehadiran rakyat menyambut kedatangan PM itu ke Perak, Datuk Malek meminta semua jabatan mengerah kakitangan mereka hadir ke majlis itu manakala Pejabat Daerah pula menyediakan bas untuk mengangkut semua JKKK hadir.
Maka jika benar rakyat diupah datang ke majlis Najib, apa salahnya kerana Dr Mahathir pun buat perkara yang sama. Takkan Dr Mahathir sudah lupa atau buat buat lupa. Dr Mahathir pernah berkata Melayu mudah lupa, rupa-rupanya beliau yang mudah lupa.
Jika arwah Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohamed Rahmat masih hidup, kita boleh tanya Tok Mat banyak mana habis bajet yang digunakan kementeriannya untuk menjulang semula nama Dr Mahathir melalui program Semarak pada tahun 1987.
Oleh itu jangan salahkan Najib kalau Najib angkut orang, kerana Najib belajar dari gurunya Dr. Mahathir.