Rabu, November 14, 2018

TAHNIAH YB SALAHUDDIN TAPI KENA HATI HATI DENGAN ORANG SEKELILINGNYA

SHAH ALAM, 13 Nov (Bernama) – Parti Amanah Negara (AMANAH) menolak cadangan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan presidennya, Datuk Salahuddin Ayub berkata rakyat Malaysia perlu mempertahankan keharmonian, kesaksamaan dan kehidupan semua kaum di negara ini.

“Apa-apa yang bertentangan dengan perlembagaan dan budaya negara kita tidak boleh terima, kita ada sistem kita sendiri dan kita ada sikap kita sendiri. Apa terkandung dalam perlembagaan akan kita pertahankan," katanya.

Ulasan saya, saya ucapkan tahniah kepada Salahuddin Ayub yang berani bersuara mewakili Parti Amanah mengenai ICERD sedangkan DAP beriya benar mahu Malaysia menandatangani ICERD.

Ketegasan Amanah dan Bersatu membuktikan parti Melayu dalam Pakatan Harapan masih mempertahankan hak orang Melayu. Syabas Salahuddin tapi saya mahu nasihati beliau berhati-hati dengan pegawai di sekelilingnya yang boleh menjejaskan nama baik beliau.

Salahuddin terbukti seorang menteri yang mudah ditemui. Seorang kawan saya baru-baru ini mendapat surat sokongan dari setpol Perdana Menteri yang menulis surat kepada Salahuddin untuk membantunya mendapatkan  iklan dari agensi-agensi di bawah kementerian pertanian dan industri asas tani.

Portal news kawan saya memang dahulu sokong kerajaan maka apabila kerajaan sudah bertukar ia menyokong government of the day. Jadi jangan persoal kesetiaan beliau kerana beliau menyokong kerajaan semasa. Salahuddin serah surat itu kepada pegawai kanannya yang kebetulan kenali kawan saya sewaktu mereka sama sama dalam parti pembangkang.

Pegawai itu berkata kepada kawan saya kenapa dahulu lari dari perjuangan dan beliau main peranan supaya Salahuddin tidak menyokong permohonan kawan saya itu. Oleh itu saya ingin nasihati Salahuddin supaya berhati-hati dengan pegawai di sekelilingnya  yang boleh merosakkan nama baik beliau.

Kalau surat dari setpol Perdana Menteri dibuang ke dalam tong sampah oleh pegawai Salahuddin, maka Salahuddin sepatutnya disenaraikan sebagai salah seorang menteri yang patut dibuang dalam rombakan kabinet Dr Mahathir akan datang

RAKYAT MAHU ANWAR JADI TPM UNTUK ELAK SPEKULASI YANG LEMAHKAN KERAJAAN PH



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sedia melakukan rombakan Kabinet susulan berakhirnya Pemilihan PKR, kelmarin.


Dalam temu bualnya bersama akhbar Singapura, The Straits Times, Dr. Mahathir tidak menolak berlakunya pertukaran anggota Kabinet jika PKR mahu mengemukakan calon-calon tertentu daripada parti tersebut.

“Mereka boleh menghantar nama, mereka boleh mengetengahkan hal mereka. Saya juga mempunyai pandangan tersendiri.

“Secara prinsipnya, Kabinet ini dipengerusikan oleh saya sebagai Perdana Menteri dan memerlukan orang yang saya selesa. Jadi sama ada saya menerima calon-calon daripada mereka, ia bergantung kepada saya untuk memutuskannya,” katanya dalam temu bual tersebut yang disiarkan hari ini.

Perkara itu ditanya ekoran wujudnya spekulasi berlaku rombakan Kabinet, terutama melibatkan beberapa menteri yang dikritik hebat, selain Dr. Mahathir sendiri menyatakan beliau tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi barisan jemaah menteri sejak dilantik memegang portfolio masing-masing.

Pada masa sama, Dr. Mahathir turut mengulangi komitmen untuk menyerahkan kedudukan Perdana Menteri kepada bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepertimana yang telah dipersetujui oleh Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Tetapi dengan mengandaikan rakyat mahu menyatakan pandangan mereka sendiri, maksud saya sebagai sebuah negara demokrasi, kita perlu mendengar pandangan rakyat.

“Jika anda meletakkan seorang Perdana Menteri yang tidak diterima baik oleh rakyat, ia menimbulkan masalah,” katanya.

Laporan The Straits Times menyedari hasil Pemilihan PKR kali menunjukkan kebanyakan pemimpin dalam parti itu kini dikuasai oleh orang yang rapat dengan penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dengan memetik sumber PKR yang tidak dinamakan, kemenangan kem Mohamed Azmin yang begitu meyakinkan itu membuatkan Anwar mungkin perlu ‘mengadakan perjanjian’ dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut bagi memastikan kestabilan parti.

Ulasan saya, sepanjang Dr Mahathir menjadi PM selama 22 tahun ketika mengetuai kerajaan BN, setiap kali ada pemilihan parti komponen BN, beliau akan buat rombakan kabinet di atas pengesyoran Presiden parti komponen.

Nampaknya Dr Mahathir akan meneruskan tradisi tersebut dalam kerajaan PH apabila beliau tidak menolak berlakunya rombakan kabinet selepas pemilihan parti PKR. Selaku Presiden baru PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh mencadangkan nama baru sebagai menteri kuota PKR jika beliau tidak berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin, Dr Xavier Jayakumar sebagai menteri.

Terpulang kepada Dr Mahathir untuk menerima cadangan tersebut kerana kuasa melantik menteri adalah kuasa prerogatif beliau sebagai Perdana Menteri. Kita harus ingat Tan Sri Muhyiddin pernah kalah bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan Umno 1996, tetapi Dr Mahathir kekalkan beliau sebagai menteri kabinet.

Oleh itu jika Rafizi Ramli yang kalah bertanding timbalan presiden PKR boleh dicadangkan Anwar dilantik menteri setelah dilantik senator kerana itu hak PKR untuk mencadangkan kepada Dr Mahathir. Beliau kena akur dengan pilihan Anwar kerana jika Dr Mahathir menolaknya ia akan mencetuskan krisis antara Dr Mahathir dengan Anwar.

Sebaik-baiknya PKR menggugurkan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri supaya ia diambilalih Anwar Ibrahim supaya lebih jelas pengganti Dr Mahathir selepas ini adalah Anwar Ibrahim  tanpa menimbulkan sebarang prasangka buruk yang merugikan kestabilan kerajaan PH.

Jawatan menteri wanita, keluarga dan masyarakat boleh diisi Zuraida Kamaruddin manakala Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri boleh memegang portfolio Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Anwar boleh mencadangkan rombakan kabinet kuota PKR kepada Dr Mahathir namun demikian terpulang kepada Perdana Menteri mahu mengikut cadangan Anwar atau tidak.