Jumaat, Ogos 21, 2015

RUPANYA TENGKU RAZALEIGH MASIH RELEVAN

Pendedahan bekas Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali semalam bahawa PAS pernah mencadangkan supaya ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dilantik PM baharu selepas PRU 2013 membuktikan bahawa Ku Li mash relevan dalam persada politik negara.

28 tahun berlalu cita-cita Ku Li menjadi PM melalui Umno hancur berkecai apabila, beliau tewas tipis kepada Dr Mahathir Mohamad dalam pertandingan presiden Umno pada 24 April 1987.  Ekoran kegagalannya itu para penyokongnya membawa kes itu ke mahkamah yang menyebabkan Umno diisytiharkan tidak sah.

Sehubungan dengan itu Dr Mahathir menubuhkan Umno (baru) dan tidak membenarkan para pemimpin Team B menyertai Umno sehingga Ku Li terpaksa berjuang melalui Parti Semangat 46 untuk menghidupkan semula Umno lama.

Dua kali menyerahkan nasib kepada rakyat melalui PRU 1990 dan PRU 1995, akhirnya Ku Li membubarkan Parti Semangat 46 dan kembali kepada Umno pada tahun 1995. pada tahun 1996, beliau mahu tanding jawatan naib presiden Umno tetapi tidak cukup pencalonan, 15 pencalonan apabila keputusan mesyuarat ahli jawatankuasa Umno Gua Musang mencalonkan Ku Li tanding jawatan tersebut dianggap tidak sah kerana pencalonan perlu dibuat dalam persidangan bahagian dan bukannya dalam mesyuarat ahli jawatankuasa bahagian.

Jika bahagian beliau mencalonkan Ku Li dari awal, sudah tentu beliau selaku naib presiden Umno ada peluang untuk menang dan layak dilantik TPM setelah Anwar dipecat dari jawatan TPM. Memang Ku Li tidak ada rezeki untuk jadi PM. Sebab itu apabila PAS mencadangkan nama beliau sebagai calon PM, nampaknya Ku Li lebih dihargai oleh PAS daripada ahli Umno sendiri yang sanggup mengenepikan tokoh yang dikenali di seluruh dunia.


Sewaktu di luar Umno beliau merintis pakatan dengan pembangkang untuk menghadapi PRU satu lawan satu dengan BN pada PRU 1990 dan 1995.

Maka timbullah Angkatan Perpaduan Ummah di mana Parti Semangat 46 bekerjasama dengan PAS untuk menumbangkan BN. Manakala Parti Semangat 46 juga merintis kerjasama dengan DAP melalui Gagasan Rakyat.

Formula ini diteruskan Anwar Ibrahim pada PRU1999 apabila Anwar dipecat dari Umno dan isterinya mengetuai satu lagi parti serpihan Umno, PKR. Asas yang dimulakan ku Li nampaknya mula mendapat perhatian rakyat apabila Pakatan Rakyat menjadi parti pembangkang yang terkuat serta dapat menafikan majoriti dua pertiga BN dua kali berturut-turut pada PRU 2008 dan 2013.

Oleh itu apabila PAS tidak mencalonkan Haji Hadi sebagai calon PM pada PRU 2013 sebaliknya mencalonkan nama ahli Umno, Ku Li sebagai bakal PM membuktikan bahawa Haji hadi bukan orang yang layak jadi PM.

Blogger Sayuti Omar berkata pendedahan Mustafa Ali itu memalukan PAS dan haji hadi. Kata Sayuti, sepatutnya PAS mencalonkan presidennya sendiri dan bukan orang luar.Sejak bila haji Hadi layak jadi PM? jadi MB Terengganu pun beliau tidak layak. Semua orang tahu beliau adalah MB remote control ketika menerajui kerajaan Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004 sebaliknya Mustafa Ali yang jadi MB.

haji hadi MB by name. Haji hadi yang tidak tahu apa, diremote control oleh Mustafa Ali. Apabila cadangan ini dibawa kepada Lim Kit Siang, dia kata dia akan bersetuju jika PKR bersetuju. Apabila PKR berkeras mahu Anwar Ibrahim jadi PM, maka cadangan PAS itu tinggal cadangan sahaja.

Siapa sangka orang di luar pakatan rakyat turut disunting jadi PM. Itulah kehebatan ku Li yangmana  track recordnya menunjukkan bahawa beliau adalah satu-satunya tokoh PM sementara yang boleh ditonjolkan dan akan mendapat sokongan dari ahli parlimen pembangkang dan BN.

Cadangan PAS supaya Ku Li dilantik sebagai PM sementara selama tiga tahun sebelum menyerahkan kerusi itu kepada Anwar Ibrahim. Jika PKR bersetuju dengan cadangan ini mungkin momentum PRU 2013 berubah kerana ramai di kalangan pakatan rakyat pun tidak mahu Anwar yang dikatakan tidak bermoral itu menjadi PM.

jika Ku Li diumumkan sebagai calon PM Pakatan Rakyat dari awal, mungkin BN sudah tumbang pada PRU 2013. Ini menunjukkan Ku Li masih relevan dalam politik Malaysia.

Sejak TPM baharu, Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan ada orang tua dalam BN yang bersekongkol dengan pembangkang untuk dapatkan akuan bersumpah dari 88 ahli parlimen pembangkang dan 37 ahli parlimen BN, negara jadi huru hara.

Seperti kata ketua Umno Bahagian Cheras, Syed Ali al Habshee bahawa dakwaan Dr Zahid menyebabkan timbul perasaan curiga mencurigai sesama pemimpin Umno. Apabila sebuah blog menamakan 20 orang yang terlibat, BBCBN yang diketuai Shahrir Samad terpaksa membuat sidang akhbar menafikan mereka tidak pernah ditemui oleh mana-mana pihak untuk menggulingkan kerajaan. Sebaliknya beliau mendakwa ia adalah rekaan semata-mata.

Ini menimbulkan kemarahan Dr Zahid yang mengatakan beliau ada bukti yang kukuh dan menuduh ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar jangan buat tuduhan melulu. Sebagai menteri dalam negara, sudah tentu beliau mempunyai maklumat risikan yang cukup.

Dr Zahid baru hampir sebulan jadi TPM sudah menimbulkan kenyataan kontroversial menyebabkan ahli Umno nampak beliau bukan calon yang sesuai untuk menggantikan najib. Dalam suasana sekarang jika Najib ditangkap rasuah, maka yang patut menjadi PM ialah Muhyiddin Yasin tetapi sudah ada usaha untuk menyingkirkan Muhyiddin dari Umno. maka calon yang akan menggantikan Najib sudah tentu ialah Dr Zahid.

Bukan sahaja ahli Umno marah kepada Dr Zahid yang membuat pendedahan tersebut malah kononnya syarikat adiknya diberi kontrak mendaftar dalam talian 1.5 juta buruh asing turut menyebabkan sokongan ahli Umno kepada Dr zahid makin luntur.

Ini yang menyebabkan ahli Umno nampak Hishamuddin Husein yang layak menjadi PM baharu menggantikan Najib. Adakah melantik Dr Zahid untuk ditembak dari awal oleh rakyat merupakan strategi najib untuk melonjakkan sepupunya sebagai PM kerana rakyat nampak Dr Zahid penuh dengan kontroversi.

Justru itu kalau rakyat mahu melihat anak Perak pertama jadi PM, maka Dr Zahid hendaklah kurang bercakap. makin banyak bercakap, makin ramai orang meluat. Menilai dua kesilapan Dr Zahid ini, sebenarnya beliau masih ada potensi untuk jadi PM. Sebab itu beliau kena ubah jangan ghairah mencari publisiti sehingga menyebabkan rakyat tertanya-tanya siapa dalang tua yang mahu menggulingkan kerajaan.

 Sebenarnya bukan mereka mahu gulingkan kerajaan BN tetapi
mereka mahu menggulingkan Najib. Jika benar Ku Li dinobatkan sebagai PM baharu, ia masih kerajaan perpaduan yang ditunjangi Umno dan bukannya kerajaan pakatan rakyat. Justru itu menjatuhkan Najib melalui undi tidak percaya di parlimen bukannya satu jenayah. Jika di Perak, kerajaan Pakatan Rakyat boleh dijatuhkan kenapa di peringkat pusat tidak boleh dijatuhkan walaupun Dr Mahathir yakin ahli parlimen BN tidak akan menyokong undi tidak percaya tersebut.