Khamis, Mei 26, 2016

PELABUR EMAS TERTIPU LAGI

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan dua pengarah syarikat pelaburan emas, The Gold Label Sdn Bhd membela diri terhadap dua pertuduhan menerima deposit lebih RM400 juta daripada orang awam tanpa lesen yang sah.

Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Liew Choon Khee, 37, dan How Soo Feng, 42, pada akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 14 Julai depan untuk dua pengarah syarikat pelaburan emas itu membela diri.

Pada 23 Okt 2013, Liew dan How mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menerima deposit itu melalui skim melibatkan transaksi emas di A-21-1, Tingkat 21, Northpoint Offices, Tower A, Mid Valley City, No. 1, Medan Syed Putra di sini antara 22 April 2009 dan 6 Mei 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) 1989 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM10 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa dari Bank Negara Malaysia (BNM) Alvin Ong Heng Kiat telah memanggil 17 saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes itu.

Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Liew memberitahu pemberita pihak pembelaan akan memanggil empat saksi pada prosiding membela diri itu. Peguam M. Kavimani mewakili How.

-- BERNAMA