Sabtu, Mei 05, 2018

KJ PUN TAK MAHU SHAHRIL BERTANDING DI KUALA LANGAT



SIJANGKANG: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin berkata beliau tidak mahu Exco Pemudanya, Shahril  Sufian Hamdan,32, bertanding di parlimen Kuala Langat tetapi oleh kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pilih Shahril bertanding maka beliau merestui pilihan Najib.

Katanya, Shahril selaku bekas pegawai khas Khairy (2008-2010) adalah anak didiknya dalam politik.

"Saya mengenali Shahrir sejak di universiti lagi di London dan beliau adalah seorang yang jujur. Sebab itu hari ini saya tinggalkan kawasan saya di Rembau membantu Shahril di sini," katanya di majlis penyampaian bantuan kepada ibu tunggal dan anak yatim bagi DUN Sikangkang di kediaman bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Fatah Iskandar di sini.

Turut hadir adalah calon BN bagi Parlimen Kuala Langat, Shahril Sufian Hamdan dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang, Datuk Sulaiman Karli

"Oleh itu saya menyeru rakyat Kuala Langat mengundi Shahril kerana anak muda ini mampu berbahas di Dewan Rakyat dan mampu membawa pembangunan ke Kuala Langat," kata Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Tambahnya lagi, rakyat Kuala Langat rugi 10 tahun memilih calon PKR, Abdullah Sani kerana beliau tidak membawa sebarang pembangunan ke kawasan tersebut.

Shahril Sufian bakal berhadapan dengan Dr Xavier Jayakumar dari PKR dan Datuk Dr Yahya Baba dari PAS, manakala Sulaiman akan ditentang oleh calon PKR dan penyandang kerusi itu, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dari PAS.







Khairy mahu ahli ahli  BN tawan semula semua kerusi parlimen Kuala Langat dan tiga DUN iaitu DUN Sijangkang, DUN Banting dan DUN Morib.

"Jika BN tawan empat kerusi ini, jika saya dilantik semula menteri saya akan jadikan parlimen Kuala Langat sebagai parlimen angkat saya," kata beliau.

Beliau berada di Kuala Langat dari pukul 3 petang hingga 12 malam untuk berkempen kepada semua calon BN dalam parlimen Kuala Langat.

Sementara itu Datuk Fatah selaku penganjur majlis berkata majlis penyampaian bantuan kepada ibu tunggal dan anak yatim merupakan acara dua kali setahun menjelang buka persekolahan dan menyambut bulan Ramadhan untuk meringankan beban mereka.

"Kali ini ada tambahan bantuan kepada bapa tunggal," katanya yang menjelaskan bahawa 300 orang dari DUN Sijangkang menerima bantuan tersebut dari Majlis Permuafakatan Kuala Langat.




DAIM DAN RAFIDAH ADA MASALAH DALAM UMNO DAHULU TAPI KAMI TAAT KEPADA KETUA

PUTRAJAYA, 5 Mei (Bernama) -- Dua veteran UMNO yang juga bekas menteri iaitu Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz digugurkan keanggotaan parti berkuat kuasa semalam susulan tindakan mereka menyokong pembangkang selain menghentam parti.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Tan Sri Dr Rais Yatim pula masih disiasat berhubung isu sama sebelum tindakan seterusnya diambil.

Beliau berkata surat pengguguran keanggotaan itu dihantar kepada Daim dan Rafidah semalam, sebagaimana yang diperuntukkan oleh perlembagaan parti.

"Bila dia (Rafidah) di atas pentas pembangkang secara automatik saya minta surat dihantar kepada beliau dan digugurkan sebagai anggota UMNO termasuk Tun Daim," katanya kepada media selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya hari ini.

Tengku Adnan yang mempertahankan kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 dicabar oleh Zainal Abidin Kidam (PAS) dan Datuk Dr Samsu Adabi Mamat (PKR-PPBM).

"Saya memberitahu kepada mereka yang saya menyelidik dan tidak dengar 'hearsay' (khabar angin) tapi bila saya dah dapat gambar baru saya suruh 'release' (hantar surat) kepada mereka," katanya lagi.

Tengku Adnan berkata sebagai veteran UMNO, mereka seharusnya tahu yang mereka boleh digugurkan daripada parti apabila bertindak sedemikian.

"Barangkali mereka nak kita gugurkan mereka sebagai anggota dan dia akan cakap macam-macam kepada UMNO, tapi kena ingat tanpa UMNO dan Barisan Nasional (BN) mereka dan negara tidak akan jadi macam apa hari ini.. jangan jadi seperti kacang lupakan kulit," katanya.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN berkata tindakan mereka yang menyokong pakatan pembangkang dan menghentam kerajaan adalah sesuatu yang menyedihkan.

"Ketika mereka bersama kami, kami semua menyokong mereka... bukan mereka dulu tidak ada masalah mereka semua dulu ada masalah.Oleh kerana konsep wala' taat kepada kepimpinan, kita ikut arahan pemimpin serta kita tabayyun."

"....kerana dulu mereka bersama dengan kami dan kita perbetulkanlah sama-sama kerana kita dalam satu jemaah. Namun hari ini, mereka keluar daripada jemaah dan menuding jari. Ini adalah tidak patut dan tidak adil," katanya.

-- BERNAMA