Khamis, Oktober 30, 2008

PENGUNDIAN SEMULA DI KEMAMAN


Pada 22 Oktober lalu saya telah menulis dalam blog ini,”Persidangan UMNO Kemaman tak sah?”. Akhirnya Perhubungan UMNO Terengganu mengarahkan supaya mengadakan pengundian semula pada hari Jumaat, 7 November ini pada jam 3 petang. Peristiwa yang berlaku ini amat memalukan para perwakilan. Nama baik Menteri Besar, Ahmad Said selaku ketua bahagian telah tercemar.

Ini bermakna memang ada bukti kertas undi melebihi para perwakilan. Justru itu dalang atau orang yang terlibat dalam perkara ini perlu dihukum supaya ia menjadi pengajaran kepada semua ahli UMNO.

Pada hari tersebut hanya pengundian semula yang akan diadakan bagi semua jawatan kecuali naib ketua bahagian dan perwakilan G7. Siapa di antara 20 pemenang ahli jawatankuasa bahagian akan kalah pada 7 November nanti? Sudah tentu pemenang ini akan berdebar-debar sama ada mereka dikekalkan semula atau tidak.

Pemenang ahli jawatan kuasa bahagian yang menang pada 18 Oktober lalu ialah Mohamad Awang Tera, Wan Hisham Wan Hamid, Rosli Ahmad, Harun Hassan, Tuan Kechil Tuan Tengh, Shahul Hamid, Bahari Abdullah, Yahya Mamat, Nazri Salleh, Ahmad Mizani, Che Ku Maznah, Rajik Sidek, Haji Ngah Ismail, Hassan Ali, Esah Osman, YB Rosli Othman, Razilah Wahab, Kamarizam Harun, Wan Nordin dan Haji Mustafa Abdul Rahman.

KHALID PATUT LEPAS JAWATAN MB KEPADA ORANG CINA



Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim mempertahankan keputusan melantik Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar PKNS. Katanya, orang marah lantik orang Cina tetapi tak marah bila orang Melayu duduk di situ sampai hilang berjuta ringgit.

Apakah semua orang Melayu tidak amanah? Khalid sudah lupa ke, dulu dia dilantik sebagai CEO PNB kerana dia orang Melayu. Cuba Khalid tukar nama kepada nama Tan, dapatkah dia duduk di situ?

Bila Khalid ada kuasa, tak percaya kepada orang Melayu susahlah. Seolah-olah orang Melayu tidak layak jadi pemangku. Memanglah tak perlu ambil orang luar jadi pemangku. Tak ada orang Melayu yang dah lama dalam PKNS yang layak jadi pemangku ke?

Kalau begitu, beri sahajalah jawatan MB Selangor kepada orang China pasal orang Melayu semuanya tidak amanah bila diberi jawatan seperti kata Khalid.

DAPAT PENCALONAN KERANA JAWATAN DALAM KERAJAAN


Kenyataan Shahidan Kassim bahawa orang yang datang dari negeri kecil seperti Perlis susah dapat sokongan besar kerana Perlis ada tiga bahagian sahaja sedangkan Kedah, Pahang dan Johor banyak bahagian, saya kira ia bukanlah kenyataan yang tepat. Ketokohan seseorang dinilai bukan kerana ia datang dari negeri tertentu.

Sebab itu katanya pemimpin negara biasanya datang dari tiga negeri ini (KPJ). Lepas Datuk Onn (Johor) berpindah ke Tunku Abdul Rahman (Kedah). Lepas itu ke Pahang (Tun Razak). Lepas itu ke Johor semula (Tun Hussein). Balik semula ke Kedah (Dr. Mahathir) dan kini mahu balik ke Pahang semula (Najib) selepas singgah di Pulau Pinang sekejap (Pak Lah), kata Shahidan.

Saya kira andaian Shahidan tidak tepat. Kalau nak kira paling banyak bahagian adalah Perak, Johor dan Sabah tetapi orang Perak tak pernah menjadi pemimpin negara. Begitu juga orang Sabah. Walaupun Sabah pernah menonjolkan Osu Sukam sebagai naib presiden tetapi ia tidak berjaya. Mampukah Shafie Afdal menjadi pemimpin Sabah pertama sebagai naib presiden UMNO pertama? Begitu juga usaha menonjolkan Ramli Ngah Talib sebagai naib presiden dari Perak tidak pernah berhasil. Semoga percubaan Dr. Zahid Hamidi kali ini berjaya menaikkan nama Perak.

Berdasarkan teori KPJ ini atau ada yang panggil PJK, selepas Najib dari Pahang, giliran Hishamuddin dari Johor dan selepas itu giliran Mukhriz pula dari Kedah. Pendek kata orang luar PJK susah nak jadi pemimpin utama UMNO. Ghafar Baba hanya menjadi nombor dua walaupun datang dari negeri kecil, Melaka.

Sama ada seseorang itu jadi pemimpin negara bukannya bergantung kepada PJK kerana ia bergantung kepada kepercayaan orang ramai. Jika Shahidan berkaliber, orang akan pilihnya sebagai naib presiden, timbalan presiden dan seterusnya sebagai presiden UMNO dan tidak timbul soal dia datang dari negeri Perlis.

Shahidan masih terkial mencari pencalonan untuk majlis tertinggi kerana dia bukan lagi Menteri Besar Perlis. Itulah budaya UMNO kerana budaya mencalonkan pemimpin berdasarkan jawatan dalam kerajaan dan bukannya kerana kehebatan tokoh.