Khamis, Julai 09, 2009

SEMUA PUJI LANGKAH MUHYIDDIN


Pemimpin-pemimpin daripada pakatan pembangkang menyambut baik keputusan kerajaan untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) berkuat kuasa pada 2012.


Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Yusmadi Yusoff berkata, beliau menyokong penuh keputusan itu kerana partinya telah menanti-nantikan keputusan itu sejak sekian lama lagi.


Katanya, pihaknya menyeru kerajaan agar mengeluarkan kertas putih berhubung keputusan itu memandangkan pelaksanaan PPSMI sejak 2003 lalu telah memakan kos yang begitu banyak.


''Pengeluaran kertas putih itu dapat menerangkan matlamat utama pemansuhan PPSMI yang dilihat tidak mempunyai motif politik.


''Ia juga dapat memberi penjelasan secara telus kepada pihak-pihak yang tidak lagi berpuas hati dengan keputusan baru kerajaan itu,'' katanya ketika dihubungi semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan berhubung mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan kebangsaan yang akan diajar dalam bahasa Melayu berkuat kuasa pada 2012.


Manakala, pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula dalam bahasa ibunda masing-masing.


Tambah Yusmadi lagi, kini tanggungjawab kerajaan adalah memberi penjelasan tepat kepada semua pihak termasuk ibu bapa dan orang ramai berhubung pemansuhan PPSMI tersebut.
''Tindakan itu akan membantu kerajaan untuk melaksanakan keputusan baru tanpa apa-apa halangan daripada beberapa pihak yang masih menyokong dasar PPSMI,'' jelasnya.


Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, dasar yang baru diperkenalkan itu membuktikan bahawa kerajaan prihatin terhadap masyarakat negara ini.


''Akhirnya kami berjaya dalam perjuangan kami. Inilah yang kami menanti-nantikan selama ini,'' jelasnya.


Sementara itu, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang menyifatkan keputusan Kabinet itu bukan penyelesaian mutlak kerana ia tidak bersifat serta-merta.


Menurutnya, apa yang perlu ialah keputusan yang berani melalui pendekatan pendidikan baru dengan matlamat untuk meningkatkan pencapaian murid dalam Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.


''Tentu ada cara untuk capai matlamat ini setelah PPSMI gagal. Mungkin perlu ada cara yang berbeza kepada setiap aliran. Sebab murid SJKC mantap dalam Matematik dan Sains manakala untuk aliran kebangsaan lemah dalam ketiga-tiga subjek itu.


''Jadi perlu keputusan berani dan fleksibel ikut keperluan aliran. Ada tinjauan pendapat kata majoriti ibu bapa Melayu di bandar mahu PPSMI diteruskan, mungkin kita perlu fleksibel. Patut beri ibu bapa hak memilih PPSMI atau sebaliknya. Tak boleh tangguh sampai tiga tahun,'' ujarnya.